Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian: 43% pesakit wanita Melayu S'pura kesan barah payudara pada tahap lanjut

Hampir separuh pesakit wanita Melayu tempatan hanya menyedari bahawa mereka menghidap barah payudara apabila penyakit itu sudah di tahap lanjut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Sep 2016 08:06PM Dikemas Kini : 02 Oct 2016 08:58AM

SINGAPURA: Hampir separuh pesakit wanita Melayu tempatan hanya menyedari bahawa mereka menghidap barah payudara apabila penyakit itu sudah di tahap lanjut.

Malah peratusan pesakit wanita Melayu yang mengesannya lewat, adalah seganda lebih tinggi berbanding pesakit wanita Cina. Demikian dapatan satu kajian lima tahun melibatkan para pesakit di klinik payudara Hospital Tan Tock Seng.

Kajian yang dijalankan antara 2012 dan 2015 itu mendapati 25 peratus daripada pesakitnya dikesan mempunyai barah payudara apabila penyakit tersebut sudah agak lewat, di tahap tiga atau empat.

PERATUSAN PENGESANAN LEWAT LEBIH TINGGI DI KALANGAN MELAYU

Peratusan itu jauh lebih tinggi berbanding sekitar 10 peratus kadar pengesanan pada tahap itu di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Menurut para doktor, pengesanan lewat itu lebih ketara di kalangan pesakit wanita Melayu.

Secara purata, peratusan pesakit Melayu yang mengesan barah payudara setelah di tahap lanjut sejak empat tahun lalu adalah sekitar 43 peratus. Ini hampir seganda lebih tinggi berbanding 25 peratus pesakit Cina yang mengesannya pada tahap lanjut.

DOKTOR: PESAKIT TAKUT PAYUDARA DIBUANG

Profesor Madya Patrick Chan, pengarah Klinik Payudara di TTSH berkata: "Berdasarkan apa yang diberitahu oleh beberapa pesakit saya, ada sebilangan orang Melayu bimbang rawatan barah payudara melibatkan pembuangan payudara dan ini mungkin tidak boleh diterima dalam masyarakat mereka.

"Jadi mereka takut dan sebab itu mereka tidak mendapatkan bantuan perubatan. Saya ingin menambah, sebenarnya jika pesakit itu datang awal, kita mungkin tidak perlu membuang seluruh payudara kerana jika pesakit itu mempunyai ketumbuhan kecil, kita sebenarnya boleh membuang ketumbuhan itu dan tidak perlu membuang payudaranya."

Barah payudara merupakan barah yang paling biasa dihidapi para wanita di sini. Setiap tahun, lebih 2,000 wanita disahkan menghidapi penyakit itu dan 500 kematian akibatnya.

PESAKIT BARAH: KEPUTUSAN JALANI MAMOGRAM SELAMATKAN NYAWA

Seorang pesakit barah payudara, Zahara Said berkata: "Antara satu kebimbangan mereka, mereka takut menjalani pembedahan iaitu mereka akan kehilangan buah dada mereka dan seterusnya mereka takut pada rawatan kemoterapi."

Bagi Cik Zahara, keputusannya untuk menjalani ujian mamogram dua tahun lalu menyelamatkan nyawanya.

Beliau disahkan menghidap barah payudara tahap dua dan kerana ia dikesan awal, beliau diberi pilihan untuk membuang ketumbuhannya sebelum ia merebak.

Beliau kini masih menjalani terapi hormon untuk tiga tahun lagi bagi mencegah penyakit itu daripada kembali semula.

Sempena Bulan Kesedaran Barah Payudara, Hospital Tan Tock Seng akan mengadakan ceramah barah payudara bertajuk "Mitos barah payudara. Apa yang anda perlu tahu," pada 8 Oktober ini. Untuk mendaftar, sila emel kepada BreastClinic [at] ttsh.com.sg atau hubungi 6357 8266.

Ujian mamogram juga disediakan di kebanyakan poliklinik tempatan dengan bayaran kira-kira S$50 selepas subsidi.  


Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan