Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kaedah pembayaran, tokokan kad EZ-Link di 7-Eleven digantung selepas Wirecard gantung khidmat

Kaedah pembayaran dan khidmat tokokan kad EZ-Link di cawangan 7-Eleven digantung selepas syarikat pembayaran Wirecard dari Jerman menggantung semua khidmat bayarannya di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kaedah pembayaran, tokokan kad EZ-Link di 7-Eleven digantung selepas Wirecard gantung khidmat

(Gambar: Wikimedia Commons)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 05:16PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 05:23PM

SINGAPURA: Kaedah pembayaran dan khidmat tokokan kad EZ-Link di cawangan 7-Eleven digantung selepas syarikat pembayaran Wirecard dari Jerman menggantung semua khidmat bayarannya di Singapura.

"Khidmat tokokan dan kaedah pembayaran menggunakan EZ-Link di 7-Eleven disediakan menerusi Wirecard," demikian menurut seorang jurucakap EZ-Link pada Khamis (15 Okt) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Perkhidmatan itu terjejas akibat penggantungan khidmat pembayaran Wirecard di Singapura."

Menurut laman EZ-Link, kad EZ-Link boleh digunakan di ratusan cawangan runcit serta kedai makanan dan minuman (F&B). Namun tidak semua khidmat tersebut disediakan melalui Wirecard.

Seorang jurucakap kumpulan syarikat Dairy Farm Group, yang memiliki 7-Eleven memberitahu Mediacorp pada Jumaat (16 Okt) bahawa ia sedang bekerjasama dengan EZ-Link untuk menyambung semula khidmatnya di kesemua cawangan 7-Eleven "secepat mungkin".

Pada bulan lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengarahkan Wirecard supaya berhenti menawarkan khidmat pembayaran di Singapura dan mengembalikan wang pelanggan sebelum 14 Okt.

Syarikat Wirecard yang berpangkalan di Munich lingkup pada Jun setelah pengauditnya EY enggan menutup akaun syarikat itu bagi tahun 2019 kerana ia tidak boleh mengesahkan jumlah €1.9 billion (S$3 bilion) yang didakwa dalam simpanan rakan kongsi pihak ketiga di luar negara.

MAS menyatakan langkah itu "mengambil kira kepentingan orang awam" dan ia "memberi lebih kepastian" kepada pelanggan. Kaedah pembayaran kad kredit di kedai-kedai yang menggunakan khidmat Wirecard SG serta penggunaan kad prabayar yang dikeluarkan oleh Wirecard SG akan terjejas, tambah MAS.

Para pelanggan yang belum melakukan aturan alternatif harus melakukannya segera, nasihat MAS.

Jurucakap EZ-Link berkata par a pelanggan boleh melakukan tokokan pada kad-kad EZ-Link menerusi aplikasi EZ-Link.

"Apabila Wirecard memfailkan muflis pada Jun, kami mula menghubungi dan mendekati peniaga dan rakan kongsi kami, termasuk 7-Eleven, untuk membantu memudahkan peralihan ke syarikat pembayaran yang lain," kata jurucakap itu.

"Kami akan terus bekerjasama dengan 7-Eleven untuk menyambung semula khidmat EZ-Link di cawangan 7-Eleven untuk pelanggan."

Jurucakap Dairy Farm itu berkata ia sudah pun meletakkan pemberitahuan dalam kedai untuk menasihatkan pelanggan supaya menggunakan kaedah pembayaran yang lain.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan