Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kaedah digital boleh dimanfaatkan bagi pupuk 'semangat kampung' S'pura

Penggunaan teknologi bagi menggalak kerja sukarela dalam kalangan masyarakat dikaji sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan "sebuah masyarakat di mana semua orang memberi dan menerima sokongan yang mereka perlukan".

Anggaran Waktu Membaca:
Kaedah digital boleh dimanfaatkan bagi pupuk 'semangat kampung' S'pura

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 08 Mar 2018 12:11AM Dikemas Kini : 08 Mar 2018 12:14AM

SINGAPURA: Penggunaan teknologi bagi menggalak kerja sukarela dalam kalangan masyarakat dikaji sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan "sebuah masyarakat di mana semua orang memberi dan menerima sokongan yang mereka perlukan".

Demikian menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Grace Fu di Parlimen hari ini (7 Mar).

Berucap di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi kementeriannya, Cik Fu berkata 50 peratus rakyat tempatan sudahpun tahu tentang 'pemberian secara online', dan 25 peratus secara aktif menyokong kempen-kempen amal di media sosial.

"Teknologi memudahkan lagi bagi kami untuk menghulurkan bantuan, bekerjasama dan membentuk sebuah masyarakat," katanya.

Oleh itu, kementerian itu sedang meninjau cara untuk menyediakan wadah sehenti di mana rakyat Singapura, khususnya mereka yang ingin membantu tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, untuk mencari peluang-peluang melakukan kerja-kerja sukarela. Cik Fu turut menarik perhatian kepada aplikasi SG cares yang dilancarkan baru-baru ini. Beliau menyifatkan aplikasi mudah alih yang percuma itu sebagai "permulaan baik" bagi orang ramai untuk melakukan kerja-kerja sukarela.

Dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan MCCY, ia akan mempertingkatkan Giving.sg dan menyepadukan peningkatan itu ke dalam aplikasi SG Cares. Giving.sg buat masa ini mempunyai 133,000 sukarelawan berdaftar dan penderma, serta 490 badan amal. Dengan ada peningkatan itu, jumlah derma yang terkumpul mencecah S$112 juta. Menurut kementerian itu, 124,000 sukarelawan juga mendaftarkan diri.

"Kami ingin mengajak para pengguna Giving.sg untuk menggunakan aplikasi SG Cares, di mana para pengguna juga boleh mengongsi cerita mereka dan mendapat akses kepada bahan-bahan pembelajaran," menurut MCCY.

"Kami akan menyepadukan dua platform itu bagi memberi para pengguna pengalaman lebih baik. Ia juga wadah untuk membina rangkaian sosial golongan sukarelawan dan usahawan teknologi sosial, di mana mereka dapat berkongsi pengalaman, dan belajar daripada satu sama lain, serta berkhidmat kepada masyarakat secara bersama-sama."

CARI JALAN LIBATKAN SYARIKAT

Tambahan lagi, Cik Fu berkata kementeriannya akan menumpukan perhatian kepada usaha menggalak syarikat-syarikat di Singapura untuk mengambil bahagian dalam gerakan SG Cares.

Cik Fu menekankan lagi apa yang dikatakan Anggota Parlimen Lim Wee Kiak, iaitu firma-firma seharusnya menjadi "pemain utama dalam bidang sukarela". "Kebanyakan anda meluangkan banyak masa di tempat kerja dan (seharusnya) bekerja dengan syarikat yang berbakti kepada masyarakat."

Salah satu cara ialah melalui Program 'Company of Good' anjuran Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC). Program ini akan disemak dan dipertingkat menjelang suku pertama 2019.

MEMENUHI KEPERLUAN MASYARAKAT DENGAN LEBIH BAIK

Cik Fu juga menyebutkan tentang dua program perintis di Bedok dan Jurong East di mana inisiatif-inisiatif pelbagai pertubuhan diselaraskan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

"Gerakan SG Cares membantu menyatukan pihak berkepentingan, melakarkan keperluan, peranan, bahan-bahan dan bidang-bidang di mana kami memerlukan lebih ramai sukarelawan," kata Cik Fu.

"Dengan menggabungkan segala usaha dan sumber yang ada, kami mempunyai gambaran lebih baik tentang keperluan dalam masyarakat dan bagaimana pelbagai pihak boleh bekerjasama untuk memberi sokongan kepada rakyat yang memerlukan."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan