Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadir Maideen ambil alih tugas Esa Masood sebagai Ketua Eksekutif MUIS

Mulai 1 November, Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Kadir Maideen akan mengambil alih tugas Encik Esa Masood sebagai Ketua Eksekutif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai 1 November, Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Kadir Maideen akan mengambil alih tugas Encik Esa Masood sebagai Ketua Eksekutif.

Demikian diumumkan oleh Encik Esa menerusi satu catatan di laman Facebook MUIS pada Jumaat (17 Sep).

"Perjalanan bersama anda semua mencabar terutama sekali dengan COVID-19, tetapi amat memuaskan," tulis Encik Esa yang sudah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif MUIS sejak empat tahun yang lalu.

Menerusi pelbagai inisiatif, tambahnya, MUIS giat berusaha memenuhi keperluan masyarakat Muslim di Singapura, tidak kira sama ada dalam memberi panduan agama, menyokong para asatizah, menyantuni golongan memerlukan, mengukuhkan institusi-institusi agama mahupun memupuk perpaduan sosial.

Untuk terus berbuat demikian dan mencapai matlamat tersebut, Encik Esa menekankan bahawa pembaharuan dan pembangunan kepimpinan menjadi kunci dan perlu dipercepatkan.

Ini merupakan pengumuman peralihan pucuk kepimpinan atasan kedua oleh MUIS dalam tempoh tujuh minggu, selepas melantik Presiden MUIS yang baru bulan lalu.

"Saya yakin bahawa (Encik) Kadir, bersama pasukan kepimpinan di MUIS, akan mampu membawa pertubuhan ini ke hadapan sedang kami terus mendukung dan mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap MUIS.

"Saya mengucapkan yang terbaik untuknya dalam menyandang pelantikan barunya ini," tulis beliau.

Encik Kadir dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif MUIS sejak Januari tahun ini dan memimpin banyak bidang kerja MUIS selama hampir setahun yang lalu, termasuk tindak balas masyarakat terhadap COVID-19.

"Ia satu penghormatan bagi saya untuk diamanahkan tanggungjawab untuk memimpin MUIS," tulis Encik Kadir pula dalam satu lagi catatan Facebook MUIS yang dimuat naik menyusuli catatan Encik Esa.

Dalam ucapan ringkasnya itu, beliau turut menggariskan beberapa cabang kerja yang akan diberikan tumpuan.

"Kami akan terus mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan institusi agama yang kita cintai. Dan juga meneruskan pembangunan profesional para asatizah kita. Tidak lupa juga untuk terus menyokong golongan yang kurang dibantu di dalam masyarakat kita. Saya memohon sokongan berterusan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan. Bersama kita terus membina sebuah masyarakat Islam yang dapat mempamerkan semangat rahmatan lil alamin untuk semua Insya-Allah," jelas Encik Kadir.  

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sokongan masyarakat yang berterusan.

"Saya mengalu-alukan sokongan berterusan masyarakat untuk membangunkan masyarakat Muslim yang mencerminkan semangat Rahmatan lil Alamin kepada semua."

PRESIDEN MUIS YAKIN KADIR MAIDEEN DAPAT TERUSKAN USAHA ESA MASOOD DI MUIS

Mengulas tentang perubahan pucuk kepimpinan itu, Presiden MUIS Encik Mohd Sa'at Abdul Rahman berkata Encik Esa mempamerkan kepimpinan yang tegas dan stabil dalam mempimpin MUIS untuk membantu masyarakat menangani cabaran kehidupan beragama sepanjang pandemik COVID-19.

Beliau yang sudah mengenali Encik Kadir sejak beliau berkhidmat di SCDF juga yakin Encik Kadir dapat meneruskan segala usaha yang dilakukan Encik Esa di MUIS.

MASAGOS ZULKIFLI RAKAM PENGHARGAAN TERHADAP "SUMBANGAN BESAR" ESA MASOOD; PENGALAMAN LUAS KADIR MAIDEEN DAPAT BANTU PERKUKUH MUIS

Menulis di Facebooknya, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli merakamkan penghargaan terhadap "sumbangan besar" Encik Esa.

Menurutnya, Encik Esa memimpin MUIS melalui pelbagai transformasi dan peristiwa penting.

Salah satu pencapaian beliau termasuk menyelia Jawatankuasa Asatizah Masa Depan.

Di bawah kepimpinan Encik Esa juga, institusi keagaamaan seperti masjid dan madrasah dapat terus berkhidmat kepada masyarakat Islam walau negara sedang dilanda pandemik COVID-19.

Mengulas pelantikan Encik Kadir pula, Encik Masagos menyebut tentang pengalaman luas Encik Kadir dan yakin MUIS "akan berkembang, diperkukuh sebagai institusi berwibawa dan terus memenuhi keperluan masyarakat Islam tempatan". 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan