Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengangguran rakyat S'pura naik sedikit kepada 3.2% dalam suku pertama 2019

Kadar pengangguran dalam kalangan warga Singapura meningkat sedikit pada suku pertama tahun ini. Demikian menurut perangkaan awal yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (26 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pengangguran rakyat S'pura naik sedikit kepada 3.2% dalam suku pertama 2019

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 26 Apr 2019 05:24PM Dikemas Kini : 26 Apr 2019 05:29PM

SINGAPURA: Kadar pengangguran dalam kalangan warga Singapura meningkat sedikit pada suku pertama tahun ini. Demikian menurut perangkaan awal yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (26 Apr).

Menurut MOM, kadar pengangguran rakyat tempatan ialah 3.2 peratus pada Mac lalu berbanding 3.1 peratus pada Disember 2018.

Kadar pengangguran keseluruhan yang disesuaikan mengikut musim (2.2 peratus) dan kadar pengangguran penduduk (3.0 peratus) kekal mantap pada suku pertama setelah naik dalam tiga bulan terakhir 2018.

Pertumbuhan tenaga kerja keseluruhannya dalam suku pertama 2019 (tidak termasuk pembantu rumah asing) merosot kepada 12,000 berbanding 14,700 pada suku sebelumnya disebabkan faktor-faktor musiman, menurut MOM. Bagaimanapun, perangkaan tersebut lebih tinggi berbanding 400 sepanjang tempoh yang sama pada 2018.

Sebahagian besar pertumbuhan pada suku pertama 2019 dicatatkan dalam sektor-sektor perkhidmatan seperti khidmat masyarakat, sosial dan peribadi, khidmat kewangan serta pengangkutan dan penyimpanan.

Pengambilan pekerja bagi sektor binaan naik sedikit setelah merosot buat 11 suku berturut-turut. Namun, sektor pengilangan terus memberhentikan pekerja.

JUMLAH PEMBERHENTIAN KERJA SAMA SEPERTI SUKU SEBELUMNYA

Bilangan pekerja yang diberhentikan pada suku pertama 2019 sebanyak 2,500, hampir sama dengan suku sebelumnya yakni 2,510 namun tinggi sedikit berbanding 2,320 yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Pemberhentian pekerja dalam sektor perkhidmatan berkurangan sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini tetapi meningkat bagi sektor pengilangan manakala kekal tidak berubah bagi sektor binaan.

Dengan penyusunan semula ekonomi yang berterusan dan tanda-tanda tekanan ekonomi luar negara serta keadaan ekonomi yang tidak pasti pada 2019, MOM menyatakan ia akan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan perikatan tiga pihak untuk membantu rakyat mendapatkan pekerjaan yang baik melalui Inisiatif Suai-Maju.

Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay berkata: " Kita harus bersedia bagi sebarang ketidaktentuan ekonomi serta cabaran-cabaran penyusunan semula struktur yang akan kekal menjadi dua cabaran utama bagi 2019.

"Meskipun pemberhentian pekerja, secara keseluruhan, lebih rendah pada 2018 dan suku pertama 2019, kita harus jangkakan keadaannya turun naik dari satu suku ke suku yang lain terutama sekali dengan ketegangan perdagangan berterusan Amerika-China dan beberapa pilihan raya politik utama di seluruh dunia yang secara semula jadi menyebabkan keadaan yang tidak pasti," katanya.

Encik Tay juga menekankan perlunya untuk menajamkan kemahiran para pekerja di tengah-tengah pasaran buruh yang semakin ketat.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan