Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengangguran keseluruhan susut empat bulan berturut-turut pada Februari

Kadar keseluruhan pengangguran di Singapura merosot kepada tiga peratus dalam bulan Februari daripada 3.2 peratus dalam bulan Januari.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pengangguran keseluruhan susut empat bulan berturut-turut pada Februari

Orang ramai Raffles Place. (Gambar hiasan: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 01:27PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 01:28PM

SINGAPURA: Kadar keseluruhan pengangguran di Singapura merosot kepada tiga peratus dalam bulan Februari daripada 3.2 peratus dalam bulan Januari.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan bulanan keadaan pengangguran yang dikeluarkan pada Rabu (7 Apr).

Ini menandakan kemerosotan buat empat bulan berturut-turut dalam kadar keseluruhan pengangguran di Singapura.

Kadar pengangguran penduduk iaitu rakyat Singapura dan penduduk tetap - dalam bulan Februari merosot dari 4.3 peratus kepada 4.1 peratus.

Bagi rakyat Singapura, kadar pengangguran dalam bulan Februari merosot dari 4.5 peratus kepada 4.3 peratus.

Menurut laporan MOM, 96,800 penduduk menganggur dalam bulan Februari, termasuk 85,900 rakyat Singapura.

"Meskipun kadar pengangguran kekal tinggi dan belum kembali kepada paras sebelum COVID-19, kami melihat kemajuan baik dalam pertumbuhan kerja," kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dalam catatan di laman Facebooknya pada Rabu (7 Apr).

Beliau menambah bahawa kementerian itu baru-baru ini membuat bayaran di bawah Insentif Pertumbuhan Kerja (JGI) kepada 27,000 majikan yang keseluruhannya menggajikan 130,000 penduduk tempatan dalam tempoh tiga bulan pertama skim itu dilaksanakan.

JGI adakah skim subsidi gaji yang menggalak syarikat-syarikat untuk menggajikan lebih ramai rakyat Singapura dan penduduk tetap.

Ia diumumkan buat kali pertama dalam bulan Ogos tahun lalu dan bertujuan untuk bertahan selama lima bulan, sebelum diberikan dana rangsangan tambahan S$5.2 bilion dalam Belanjawan 2021 dan dilanjutkan sehingga September.

"Saya terdorong melihat sokongan Pemerintah kepada para majikan untuk menggajikan para pekerja tempatan sudah menggalakkan mereka untuk menimbangkan lebih ramai pekerja dari pelbagai latar belakang. Ini termasuk mereka dari sektor berbeza, mereka yang sebelum ini tidak bekerja dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas," kata Cik Teo.

Beliau juga memberi amaran bahawa dengan setiap kemerosotan kadar pengangguran, kemerosotan seterusnya "berkemungkinan lebih sukar untuk dicapai".

Keseluruhan kadar pengambilan pekerja di Singapura mencatat kemerosotan paling besar dalam tempoh 20 tahun pada 2020 setelah pandemik COVID-19 menjejas teruk ekonomi dan tempoh pemutus rantaian jangkitan memaksa banyak perniagaan untuk menggantung operasinya dalam bulan April dan Mei.

Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk mencecah 4.8 peratus dalam bulan September dan keseluruhan kadar pengangguran pada bulan itu adalah 3.5 peratus.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan