Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengambilan kerja penduduk S'pura jangkaui paras sebelum pandemik; masih terjejas dek COVID-19

Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura sudah meningkat ke paras sebelum pandemik melanda meskipun kadar pengangguran kekal tinggi, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan awal mengenai laporan Tenaga Buruh Singapura 2021 pada Rabu (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pengambilan kerja penduduk S'pura jangkaui paras sebelum pandemik; masih terjejas dek COVID-19

Orang ramai melintasi jalan raya di Raffles Place pada 6 Sep 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 02:03PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 02:05PM

SINGAPURA: Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura sudah meningkat ke paras sebelum pandemik melanda meskipun kadar pengangguran kekal tinggi, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataan awal mengenai laporan Tenaga Buruh Singapura 2021 pada Rabu (1 Dis).

“Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk tempatan meningkat melepasi paras sebelum COVID-19, disokong oleh usaha perikatan tiga pihak di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited,” menurut MOM.

"Meskipun permintaan bagi tenaga kerja sementara yang timbul daripada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan COVID-19 menyumbang kepada pekerjaan yang lebih tinggi, bilangan penduduk yang menyandang pekerjaan tetap juga meningkat."

Kadar pengangguran dan kadar kurang pekerjaan berkaitan masa juga sudah bertambah baik, namun masih melepasi paras sebelum pandemik, tambah kementerian itu.

Pendapatan nominal dan sebenar bagi penduduk juga sudah meningkat, dengan pendapatan median melepasi paras sebelum pandemik. Meskipun pertumbuhan pendapatan benar disederhanakan oleh inflasi yang lebih tinggi, ia melebihi sedikit penurunan yang disaksikan pada 2020.

"Pasaran buruh beransur pulih pada 2021, meskipun belum kembali sepenuhnya ke paras sebelum COVID-19 melanda," menurut MOM.

“Kami menjangkakan pemulihan pasaran buruh akan berterusan pada separuh kedua tahun ini dan hingga ke 2022, namun tidak sama rata bagi semua sektor."

KADAR PENGAMBILAN PEKERJA MENINGKAT BAGI SEMUA DEMOGRAFIK

Kadar pengambilan pekerja bagi penduduk berusia 15 tahun dan ke atas setakat Jun 2021 adalah 67.2 peratus berbanding 64.5 peratus pada Jun lalu dan juga melebihi 65.2 peratus yang dilaporkan pada Jun 2019.

Lebih 146,000 orang ditempatkan ke dalam pekerjaan atau peluang latihan amali dan latihan pekerjaan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited setakat hujung September tahun ini.

Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan, yang menyokong majikan untuk memperluaskan pengambilan pekerja tempatan, membantu 58,000 perniagaan menggajikan lebih 400,000 penduduk setempat antara September 2020 dengan Mei 2021.

Kadar pengambilan pekerja meningkat bagi semua profil demografi.

Kadar pengambilan pekerja untuk belia yang berusia 15 hingga 24 tahun mencecah paras 37.2 peratus pada Jun berbanding 30.9 peratus yang dicatatkan setahun lalu, dengan "lebih ramai pelajar bekerja sambilan atau melakukan kerja sementara", jelas MOM.

Bagi penduduk yang berusia antara 25 hingga 64 tahun, kadar pengambilan pekerja bagi golongan itu adalah 81.8 peratus, melebihi 80.3 peratus yang dilaporkan pada 2020. Kaum lelaki dalam kumpulan usia ini menyaksikan peningkatan dari 87.9 peratus kepada 88.9 peratus, manakala kadar untuk kaum wanita meningkat kepada 75.1 peratus daripada 73.2 peratus.

“Disokong oleh usaha berterusan untuk meningkatkan daya kerja warga emas, seperti Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia, kadar pengambilan pekerja warga emas berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 28.5 peratus pada Jun tahun lalu walaupun di tengah-tengah kemelesetan dan terus meningkat lebih pantas kepada 31.7 peratus pada Jun 2021,” dedah MOM.

Dalam kalangan pekerja tempatan, 88 peratus menyandang pekerjaan tetap, dengan bilangan pekerja tersebut meningkat sebanyak 50,900.

Peratusan pekerja yang terikat dengan kontrak jangka tetap mencecah paras tertinggi yang baru iaitu 8.4 peratus disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dan permintaan tenaga kerja sementara yang berkaitan dengan pandemik. Jun lalu, perangkaan tersebut mencecah 7.3 peratus.

PENGANGGURAN MEROSOT, NAMUN MASIH TINGGI

Kadar pekerjaan yang tidak disesuaikan mengikut musim menguncup bagi kedua-dua golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan bukan PMET pada Jun, namun belum turun sampai ke tahap sebelum COVID-19.

Pengangguran dalam kalangan bukan PMET kekal pada 5.1 peratus, susut berbanding 6.4 peratus yang dicatatkan setahun lalu. Dalam kalangan PMET pula, kadarnya adalah 3.4 peratus, turun sedikit daripada 3.5 peratus yang dilaporkan pada Jun 2020.

“Kadar pengangguran jangka panjang bagi penduduk tempatan kekal stabil pada 0.8 peratus untuk PMET dan 0.9 peratus bagi bukan PMET selepas meningkat tahun lalu,” menurut MOM.

Kurang pekerjaan berkaitan masa juga merosot tahun ini, jatuh kepada 3.5 peratus daripada 4.1 peratus yang dicatatkan pada Jun lalu. Kadar ini juga kekal melepasi paras sebelum pandemik.

Kadar kurang pekerjaan berkaitan masa mengambil kira pekerja sambilan berusia 15 tahun dan ke atas yang biasanya bekerja kurang daripada 35 jam seminggu tetapi bersedia dan sanggup melakukan kerja tambahan.

"Kebanyakan kumpulan mencatatkan peningkatan, termasuk pekerja berpendidikan rendah dan lanjut usia yang lebih terjejas tahun lalu," dedah MOM.

“Terjejas oleh penggantungan khidmat duduk makan di luar dan kelas tuisyen/pengayaan secara fizikal semasa tempoh Kewaspadaan Dipertingkat, kadar kurang pekerjaan berkaitan masa mencecah paras tertinggi bagi khidmat makanan dan minuman serta pendidikan pada Jun 2021 dan kadarnya juga lebih tinggi berbanding tahap sebelum COVID-19.”

PENDAPATAN MEDIAN MENINGKAT

Pendapatan median nominal bagi penduduk tempatan yang bekerja sepenuh masa meningkat 3.2 peratus pada Jun berbanding penyusutan 0.6 peratus pada tahun lalu. Ini termasuk sumbangan majikan bagi Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Pertumbuhan pendapatan median sebenar adalah lebih sederhana iaitu 1.1 peratus selepas mengambil kira inflasi. Bagaimanapun, ia mengimbangi penyusutan 0.4 peratus yang disaksikan pada 2020.

Pendapatan sebenar pada persentil ke-20 meningkat 4.6 peratus, pulih ke paras sekitar sebelum pandemik, menurut MOM.

Setelah mengambil kira agihan berkaitan Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) daripada Pemerintah, pendapatan persentil ke-20 adalah 0.6 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik, berdasarkan data awal.

“Sepanjang tempoh lima tahun (2016 hingga 2021), pertumbuhan pendapatan sebenar pekerja bergaji rendah kekal kukuh, membolehkan mereka untuk terus merapatkan jurang pendapatan median,” menurut MOM.

“Disokong oleh usaha seperti Model Gaji Progresif untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah, pertumbuhan pendapatan sebenar pada persentil ke-20 (2.8 peratus setahun) penduduk tempatan yang bekerja sepenuh masa adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan pendapatan median (2.2 peratus setahun). ”

Menurut MOM, kedua-dua majikan dan pekerja akan terus disokong sedang Singapura bangkit semula daripada pandemik.

Laporan Tenaga Buruh Singapura 2021 menggunakan hasil Tinjauan Tenaga Buruh Menyeluruh pertengahan tahun dan menganalisis pelbagai penunjuk pasaran buruh termasuk kadar pengambilan pekerja dan pertumbuhan pendapatan. Data ini tidak meliputi laporan pasaran buruh suku tahunan MOM.

Sebanyak 26,637 keluarga ditinjau tahun ini, dengan tinjauan tersebut dijalankan dari 18 Mei hingga 31 Julai.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan