Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar kematian COVID-19 di S'pura antara terendah di dunia, namun mungkin cecah 2,000 setahun: MOH

Kadar kematian angkara COVID-19 di Singapura adalah 0.2 peratus, iaitu lebih rendah berbanding kadar kematian 3 peratus di negara-negara lain, menjadikannya salah satu negara dengan kadar kematian terendah di dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kematian COVID-19 di S'pura antara terendah di dunia, namun mungkin cecah 2,000 setahun: MOH

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 04:05PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 04:06PM

SINGAPURA: Kadar kematian angkara COVID-19 di Singapura adalah 0.2 peratus, iaitu lebih rendah berbanding kadar kematian 3 peratus di negara-negara lain, menjadikannya salah satu negara dengan kadar kematian terendah di dunia.

Walaupun ini bermakna kadar kematian COVID-19 di Singapura adalah serupa dengan jangkitan radang paru-paru, negara ini mungkin mencatat 2,000 kematian setiap tahun "meskipun dengan adanya jagaan perubatan yang terbaik mungkin".

Sebelum pandemik, sekitar 4,000 pesakit - sebahagian besar golongan warga emas dan individu kurang sihat - meninggal dunia disebabkan demam selesema, radang paru-paru berjangkit dan penyakit pernafasan yang lain.

Menteri Negara Kanan di Kementerian Kesihatan Janil Puthucheary berkata demikian di Parlimen pada Isnin (1 Nov) dalam memberikan kemas kini di unit jagaan rapi (ICU) dan keupayaan hospital di sini. Beliau juga membentangkan matlamat Singapura untuk memastikan jumlah keseluruhan kematian di sini adalah sejajar dengan tahun-tahun tanpa jangkitan koronavirus.

Dr Puthucheary turut memberi perkembangan kes jangkitan semula di mana 32 kes sedemikian dikesan sehingga pertengahan Ogos, yang mana kesemuanya belum divaksin.

Menurutnya Singapura dapat memastikan kadar kematian kekal rendah disebabkan oleh langkah-langkah sekatan ketat seperti penjejakan kontak yang bantu memastikan jumlah kes dalam masyarakat kekal rendah pada permulaan pandemik.

"Walaupun jumlah kes meningkat pantas, kadar kematian kini kekal rendah kerana kita sudah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi, dan pesakit menerima rawatan yang diperlukan," katanya.

Beliau turut berkata walaupun sistem jagaan kesihatan menghadapi tekanan, ia tidak diluar kemampuannya.

Ini "tidak seperti kebanyakan negara pada tahun lalu, di mana hospital terpaksa menolak pesakit dan doktor terpaksa memilih pesakit yang perlu diselamatkan dulu".

Negara-negara itu mengalami "jumlah kematian berlebihan", di mana lebih ramai orang daripada jangkaan meninggal dunia dalam setahun.

Singapura katanya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan keadaan serupa daripada berlaku di sini dengan mengekalkan langkah-langkah sekatan ketat pada tahun lalu sebelum melaksanakan pembukaan semula dengan penuh berhati-hati setelah sebahagian besar penduduk sudah divaksin.

Namun, "kami perlu menerima hakikat bahawa akan berlaku kematian", kata Dr Puthucheary.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan tidak berlaku kematian yang berlebihan disebabkan oleh ketidakupayaan untuk menyediakan rawatan perubatan yang mencukupi," katanya. "Kami dapat melakukannya setakat ini dan kami ingin terus melakukannya."

Beliau berkata sehingga baru-baru ini, Singapura dapat mengekalkan jumlah korban yang kecil dengan memastikan hanya segelintir individu terkena jangkitan COVID-19 dan mereka yang dijangkiti diberikan rawatan dan jagaan yang baik.

Keadaannya bagaimanapun sudah berubah, kata Dr Puthucheary kerana "kita perlu tinggal bersama COVID-19" dan vaksinasi tidak menawarkan perlindungan sepenuhnya, yang menyebabkan lebih banyak jangkitan.

Walaupun akan ada kematian, beliau berkata Singapura sedang cuba mengelakkan kadar kematian yang berlebihan melalui gabungan langkah termasuk kadar vaksinasi yang tinggi, dos penggalak dan "lebih perlindungan dari jangkitan ringan".

Beliau menambah langkah alternatif iaitu membuka sempadan dan membiarkan jumlah kes naik, bukanlah satu pilihan.

"Kerana dengan kemunculan lebih banyak kes ini bermakna lebih banyak katil ICU akan digunakan, dan apabila ia mencecah satu tahap tertentu yang akan memaksa kita untuk menerima piawai jagaan yang lebih rendah, dan justeru ini mungkin menyebabkan lebih banyak kematian yang boleh dielakkan," katanya.

Beliau berkata meskipun kes di ICU melonjak secara mendadak di sebalik langkah berhati-hati yang dilaksanakan, sistem jagaan kesihatan akan melakukan sebaik mungkin untuk menjaga setiap pesakit. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan