Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar kematian berdasarkan usia kekal 'stabil' dalam tempoh 5 tahun ini - MOH

Singapura menjejaki semua jumlah dan punca kematian setiap tahun dan naik turun kadar kematian dari bulan ke bulan dipantau sepanjang tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kematian berdasarkan usia kekal 'stabil' dalam tempoh 5 tahun ini - MOH

Seorang pekerja jagaan kesihatan menyediakan dos vaksin COVID-19 di sebuah pusat vaksinasi di Singapura pada 21 Apr 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 07:20PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 07:23PM

SINGAPURA: Kadar kematian berdasarkan usia kekal stabil dalam tempoh lima tahun kebekalangan ini.

Demikian didedahkan Kementerian Kesihatan (MOH), sebagai menjawab dakwaan yang dibuat online bahawa terdapat kematian yang berlaku selepas suntikan vaksin COVID-19.

Singapura menjejaki semua jumlah dan punca kematian setiap tahun dan naik turun kadar kematian dari bulan ke bulan dipantau sepanjang tahun, menurut MOH dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

Menurut statistik daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), terdapat 11,391 kematian dari Januari hingga Jun tahun ini.

Sebanyak 1,868 kematian dicatatkan pada bulan Januari manakala 1,763 kematian pada bulan Februari, menurut buletin suku tahunan ICA.

Jumlah kematian meningkat menjangkaui 1,900,pada Mac, April, Mei dan Jun dengan kematian tertinggi dicatat pada bulan Mei, iaitu 1,972 kematian.

Secara keseluruhan, terdapat 11,292 kematian dalam tempoh sama - iaitu Januari hingga Jun - pada 2020 dan 10,582 kematian dalam tempoh yang sama pada 2019.

Terdapat "kenaikan serupa" pada 2017 dengan 1,902 kematian pada Mei dan 1,925 kematian pada Jun tahun yang sama, menurut MOH dalam kenyataannya.

"Sedang penduduk kita semakin menua, jumlah kematian juga akan terus meningkat setiap tahun," menurut kementerian itu.

"Bagaimanapun, setelah mengenepikan kesan penuaan, kadar kematian berdasarkan usia kekal stabil dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini."

Menurut Jabatan Statistik Singapura, kadar kematian berdasarkan usia bermaksud jumlah kematian dalam kumpulan usia tertentu, bagi setiap 1,000 penduduk dalam kumpulan usia yang sama.

"Malah, terdapat sedikit penurunan pada tahun 2020 dan 2021, tahun yang mana kita dibelenggu COVID-19," tambah MOH.

Awal bulan ini, MOH membalas dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh pengguna Facebook, Iris Koh, yang berkata dia mengenali orang yang meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Dalam catatan Facebook Iris Koh itu, dia mendakwa "seseorang daripada laman hardware zone" mengeluarkan statistik menunjukkan kadar kematian sekarang ini di Singapura.

Dia menggesa pihak berkuasa "menjelaskan kenaikan mendadak jumlah kematian itu".

Pada 4 September, kementerian itu memberikan respons yang menegaskan bahawa bukan menjadi kepentingan Kementerian Kesihatan (MOH) atau Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk merahsiakan kesan buruk yang timbul akibat vaksinasi COVID-19

"Sebagai penguasa kawal selia jagaan kesihatan yang bertanggungjawab, penting untuk menilai sama ada semua (kejadian buruk) atau kematian yang dilaporkan ada hubung kait dengan vaksinasi memandangkan vaksin hanya diluluskan secara sementara oleh HSA," menurut MOH pada waktu itu.

MOH kemudian menambah bahawa apabila kematian berlaku, pihaknya akan bergantung kepada koroner yang memutuskan dan menentukan punca kematian tersebut.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan