Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar kemalangan di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok 'tidak banyak berbeza' dari kadar keseluruhan: Chee Hong Tat

Kadar kemalangan di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok, di mana dua bas awam bertembung pada 11 Julai, adalah sama dengan kadar keseluruhan kemalangan membabitkan bas, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat pada Isnin (26 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kemalangan di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok 'tidak banyak berbeza' dari kadar keseluruhan: Chee Hong Tat

(Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 08:45PM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 11:14PM

SINGAPURA: Kadar kemalangan di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok, di mana dua bas awam bertembung pada 11 Julai, adalah sama dengan kadar keseluruhan kemalangan membabitkan bas, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Chee Hong Tat pada Isnin (26 Jul).

"Data tentang kemalangan dan nahas yang hampir berlaku di pusat pertukaran bas Bukit Batok tidak begitu berbeza daripada apa yang saya laporkan dalam situasi umum tadi, dari segi kadar kemalangan dan juga jumlah kemalangan yang berlaku di dalam pusat-pusat pertukaran bas serta pelbagai lokasi lain," kata beliau di Parlimen.

Encik Chee berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan oleh Anggota Parlimen (AP) Tan Wu Meng (PAP - Jurong), yang ingin tahu sama ada pihak berkuasa memantau jumlah kemalangan yang berlaku di pusat pertukaran Bukit Batok.

Sebanyak 17 orang cedera apabila dua perkhidmatan bas nombor 945 bertembung di pusat pertukaran itu, menyebabkan salah satu daripadanya menaiki bendul jalan, merempuh penghadang dan terbalik ke sisinya. Hanya bas yang terbalik sedang membawa penumpang ketika itu.

Sebilangan besar daripada 15 individu yang dibawa ke hospital sudah dibenarkan pulang, kongsi Tower Transit pada 12 Jul.

Polis juga menahan seorang pemandu bas berusia 65 tahun kerana bertindak melulu sehingga menyebabkan kecederaan teruk. Tower Transit sebelum ini menyatakan bahawa pemandu bas tanpa penumpang sudahpun digantung kerja sementara menanti siasatan.

Pada Isnin di Parlimen, Encik Chee berkata salah satu daripada bas berkenaan sedang membuat pusingan dalam pusat pertukaran apabila ia bertembung dengan sebuah bas lain yang baru memasuki tempat itu.

Meski tidak memberi komen lanjut tentang peristiwa tersebut disebabkan siasatan masih dijalankan, Encik Chee berkata jumlah kemalangan yang melibatkan bas awam di pusat-pusat pertukaran bas dan tempat-tempat lain "semakin merosot".

Terdapat 148 kemalangan antara bulan Januari dengan Mei tahun ini, kurang daripada 270 bagi tempoh yang sama pada 2017, tambah beliau.

Kadar purata tahunan bagi kemalangan bas awam juga berkurangan daripada sekitar 0.15 kes bagi setiap perjalanan 100,000 km pada 2017, kepada sekitar 0.10 kes bagi setiap 100,000 km dari Januari hingga Mei 2021, kata Encik Chee.

Beliau berkata 148 kemalangan yang berlaku tahun ini juga melibatkan "jenis berlainan" termasuk pejalan kaki, penunggang basikal dan pemandu.

"Kemalangan yang berlaku selalunya disebabkan faktor manusia, seperti tidak cukup berwaspada, atau tidak memberi laluan kepada mereka yang mempunyai hak lalu," kata beliau.

"Pengendali bas awam dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah melaksanakan proses untuk mengumpul dan mengongsi pengajaran daripada kemalangan serta nahas yang hampir berlaku untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kapten bas dan kurangkan risiko berlaku kemalangan pada masa depan".

REKA BENTUK PUSAT PERTUKARAN BUKIT BATOK

AP Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) juga bertanya jika LTA akan menyemak semula reka bentuk pusat pertukaran Bukit Batok, yang menurut beliau dibina pada sekitar 1987.

"Kemalangan itu telah menyebabkan ramai penduduk saya rasa prihatin, terutama sekali tentang bagaimana bas berkenaan jatuh 2 meter," kata Encik Murali.

Menjawab, Encik Chee berkata beliau ingin memberi jaminan bahawa semua pusat pertukaran bas dilengkapi langkah-langkah keselamatan yang memenuhi piawai keselamatan sedia ada.

"Pusat pertukaran bas direka untuk memastikan pergerakan selamat bagi penumpang dan kapten bas," kata Encik Chee.

"Sebelum mula beroperasi, LTA menjalankan analisa dan percubaan untuk memastikan bas dapat dipandu dalam pusat pertukaran dengan selamat."

Bas yang dipandu dalam pekarangan pusat pertukaran juga perlu mematuhi had kelajuan 15 km/jam, sementara sistem amaran mengundur dipasang bagi memberi isyarat kepada pemandu bas apabila bas lain sedang berundur.

Meskipun demikian, Encik Chee berkata memandu dengan selamat adalah faktor paling penting, sambil menekankan bahawa infrastruktur semata-mata tidak boleh mengelak kemalangan yang disebabkan oleh kesilapan manusia.

"Keempat-empat pengendali bas menjalankan latihan keselamatan secara berterusan untuk pemandu bas, mengenakan prosedur disiplin bagi pemandu yang melakukan kesalahan, serta menyediakan insentif jika memandu dengan selamat," terang Encik Chee.

"Mereka juga telah membuat pelaburan memasang sistem telematik di dalam bas, yang memantau cara kapten bas memandu dan mengenal pasti secara proaktif mereka yang perlu mengulangi latihan."

Dalam jawapan berasingan, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pengangkutan Baey Yam Keng berkata pengendali bas seperti SBS Transit sedang menguji teknologi baru untuk membantu memantau dan memperbaiki tingkah laku ketika memandu.

"Kapten bas yang menunjukkan cara memandu yang berisiko tinggi akan dikenal pasti dan dihantar segera untuk latihan semula," tambah beliau

Sumber : CNA/IH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan