Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar jangkitan COVID-19 dalam masyarakat rendah di S'pura setakat hujung Mac: Kajian

Kadar penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat kekal rendah sehingga dua minggu terakhir Mac, menurut satu kajian di Singapura yang menguji sampel darah dari masyarakat umum.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar jangkitan COVID-19 dalam masyarakat rendah di S'pura setakat hujung Mac: Kajian

Seorang wanita memakai pelitup berjalan ke arah Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) di Singapura pada 3 April 2020. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 29 Apr 2020 08:39PM Dikemas Kini : 29 Apr 2020 08:45PM

SINGAPURA: Kadar penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat kekal rendah sehingga dua minggu terakhir Mac, menurut satu kajian di Singapura yang menguji sampel darah dari masyarakat umum.

Untuk mengukur sejauh mana keadaan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Sekolah Perubatan Duke-NUS memeriksa sisa sampel darah dari orang ramai yang mengambil darah mereka sebagai sebahagian rawatan rutin.

Sampel dikumpulkan dari pelbagai hospital dan klinik, tanpa diketahui identiti penderma.

Namun, ia dikelompokkan berdasarkan usia untuk menguji sama ada orang dewasa lebih berkemungkinan membawa antibodi berbanding kanak-kanak, memandangkan sebilangan jangkitan ringan atau tanpa gejala ditemui terutamanya dalam kanak-kanak.

Daripada 774 sampel yang diuji, tidak satu pun dikesan positif COVID-19. Dapatan ini mengesahkan bahawa "beban COVID-19 pada kanak-kanak kekal rendah", menurut NCID dalam kenyataan media pada Rabu (29 Apr).

Pusat itu menambah: "Ini menunjukkan bahawa pendedahan COVID-19 dalam masyarakat sangat jarang berlaku, lantas tidak ada penularan yang meluas dalam masyarakat pada dua minggu terakhir Mac."

Ujian tersebut dilakukan sebelum berlakunya lonjakan mendadak kes dalam kalangan masyarakat pekerja asing, terutamanya mereka yang tinggal di dormitori. Jumlah kes sedemikian meningkat dari 1,000 pada 1 April kepada 15,641 setakat Rabu.

Kajian itu yang pertama dilakukan untuk COVID-19, namun kaedah ini sudah digunakan untuk penyakit berjangkit lain seperti campak, denggi dan H1N1. Ujian seroepidemiologis menggunakan antibodi yang kekal di dalam darah seseorang untuk mengenal pasti segmen penduduk yang terdedah kepada penyakit berjangkit.

Kajian tersebut adalah salah satu daripada tiga kajian yang dibiayai oleh Kumpulan Kerja Kajian COVID-19, dan dirancang pada bulan Januari, sejurus selepas COVID-19 mula menular ke luar China.

SEPARUH YANG DIJANGKITI TIDAK TUNJUK BANYAK GEJALA

Satu lagi kajian yang bertujuan untuk menganggarkan jumlah jangkitan COVID-19 tanpa gejala mendapati bahawa setiap kes COVID-19 menyebarkan penyakit tersebut kepada 5 peratus anggota keluarga yang tinggal bersama. Daripada kes-kes tersebut, separuh daripadanya tidak menunjukkan gejala atau mengalami simptom ringan sahaja.

Sekitar 2,000 keluarga dan mereka yang ada hubungan rapat dengan kes COVID-19 dihubungi untuk kajian ini, yang dijangka selesai dalam dua bulan.

Namun hasil daripada sekitar 300 peserta menunjukkan bahawa 2.5 peratus mempunyai antibodi yang "menunjukkan dengan jelas" bahawa mereka dijangkiti COVID-19, meskipun ujian tidak menunjukkan positif ketika mereka dikuarantin, menurut NCID.

2.7 peratus lagi diuji positif virus itu semasa tempoh kuarantin, yang bermakna sekitar 5 peratus anggota keluarga akhirnya dijangkiti virus tersebut.

CUKUP PERLINDUNGAN UNTUK PEKERJA BARISAN HADAPAN

Dapatan awal dari kajian ketiga yang memberi tumpuan pada sejauh mana pendedahan dan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan di Singapura mendapati tiada jangkitan dalam kalangan pekerja dalam kajian berkenaan. Mereka termasuk kakitangan barisan hadapan yang berhubungan langsung dengan pesakit COVID-19, kakitangan hospital yang bekerja dalam jagaan pesakit bukan COVID-19, dan juga kakitangan sokongan.

"Walaupun beberapa kakitangan telah bekerja dengan pesakit COVID-19 selama sekurang-kurangnya dua bulan sebelum darah mereka diambil, analisis kami menunjukkan bahawa tidak ada pekerja yang mempunyai hasil antibodi yang menunjukkan adanya jangkitan COVID-19 pada saat mereka menyertai kajian," menurut NCID.

"Ini memberikan bukti yang kuat bahawa prosedur kawalan dan pencegahan jangkitan di hospital-hospital awam Singapura cukup memadai untuk melindungi para pekerja kesihatan barisan hadapan."

Kajian itu adalah salah satu kajian seroepidemiologi COVID-19 pertama di dunia ke atas pekerja penjagaan kesihatan. Setakat ini hampir 1,100 pekerja penjagaan kesihatan sudah berdaftar untuk kajian tersebut yang dijangka diteruskan hingga suku ketiga 2021.

Kes positif COVID-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk beberapa pekerja kesihatan. Seorang jururawat di Hospital Besar Changi (CGH) adalah antara kes baru pada Isnin, dan pada 24 April, seorang jururawat di Poliklinik Bukit Merah diuji positif virus korona.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan