Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar bunuh diri remaja 10 hingga 19 tahun naik 37.5% pada 2020

Kes bunuh diri dalam kalangan muda berusia antara 10 dengan 19 tahun naik 37.95 peratus pada 2020 berbanding 2019 dan berlaku semasa pandemik COVID-19, dedah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar bunuh diri remaja 10 hingga 19 tahun naik 37.5% pada 2020

Gambar hiasan: istock

Diterbitkan : 27 Jul 2021 10:57PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 11:05PM

SINGAPURA: Kes bunuh diri dalam kalangan muda berusia antara 10 dengan 19 tahun naik 37.95 peratus pada 2020 berbanding 2019 dan berlaku semasa pandemik COVID-19, dedah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (27 Jul).

Menjawab soalan Encik Murali Pillai, Anggota Parlimen SMC Bukit Batok, Encik Chan berkata kesejahteraan pelajar, termasuk kesihatan mental mereka "amat penting" kepada Kementerian Pendidikan (MOE).

"Kami sedang memantau dengan teliti isu pelajar membunuh diri. Sebab di sebalik berlaku kejadian bunuh diri adalah rumit," kata Encik Chan dalam jawapan bertulisnya.

"Sering terdapat beberapa sebab, termasuk masalah hubungan dengan orang dewasa dan rakan sebaya, isu kesihatan mental, masalah berkaitan akademik dan masalah peribadi," tulis beliau.

"Kami mendapati situasi COVID-19 memburukkan lagi sebab-sebab tekanan sedia ada. Ini termasuk kekecewaan disebabkan gangguan kepada rutin seharian, ketidaktentuan masa hadapan yang semakin meningkat dan konflik yang bertambah di rumah disebabkan sekatan pergerakan."

Encik Chan berkata pemerhatian-pemerhatian itu sejajar dengan dapatan kajian antarabangsa yang menunjukkan bahawa "pandemik menambah tekanan psikologi dan isu-isu berkaitan kesihatan mental dalam kalangan belia".

Memetik data Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Encik Chan berkata bahawa kadar berlakunya insiden bunuh diri dalam kalangan mereka yang berusia antara 10 dengan 19 tahun meningkat daripada 4.0 bagi setiap 100,000 orang pada 2019 kepada 5.5 bagi setiap 100,000 orang pada 2020.

Ini membentuk kenaikan 37.5 peratus.

Encik Chan memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah di Singapura dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) sedang menangani isu-isu kesejahteraan mental dan daya bingkas peribadi dalam kurikulum sekolah.

Para guru dan kakitangan juga dilatih mengenal pasti tanda-tanda tekanan dalam kalangan pelajar, memantau kesejahteraan mereka dan menghulurkan bimbingan serta sokongan, kata beliau.

Encik Chan menambah sewaktu COVID-19, MOE memperkenalkan langkah-langkah lanjut seperti guru menanya khabar pelajar mereka untuk memantau dengan teliti kesejahteraan mereka serta masa dalam bilik darjah juga dimanfaatkan untuk mengajar mereka bagaimana untuk menangani pandemik tersebut.

Awal bulan ini, Samaritans of Singapore (SOS), pusat mencegah kes bunuh diri menarik perhatian kepada bilangan insiden bunuh diri di Singapura pada 2020 yang mencecah jumlah tertinggi sejak 2012 sementara bilangan kes dalam kalangan warga senja berusia 60 tahun dan ke atas adalah yang paling tinggi sejak 1991.

Data ICA yang dipetik SOS mendedahkan tentang insiden bunuh diri dalam golongan usia 10 hingga 29 tahun tetapi tidak memberi perangkaan bagi lingkungan usia antara 10 dengan 19 tahun.

Pada Isnin, Encik Louis Chua, AP GRC Sengkang bertanya Menteri Kesihatan Ong Ye Kung tentang statistik bunuh diri dan program-program bagi mencegahnya daripada berlaku serta usaha meningkatkan kesedaran tentang isu tersebut.

Encik Ong memberi pecahan perangkaan kes bunuh diri yang terkandung dalam laporan tahunan ICA mengenai Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Ia menunjukkan bilangan kes bunuh diri dalam golongan usia 10 hingga 29 tahun naik kepada 30 pada 2020, daripada 23 pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 30.4 peratus.

Encik Ong menambah bahawa pada tahun kewangan 2020, geran pemerintah dan dana masyarakat sebanyak S$28 juta telah disalurkan kepada program-program bagi mengatasi isu-isu sedemikian yang disepadukan dengan program-program kesihatan mental dan kesejahteraan aliran utama.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan