Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

K Shanmugam tentang radikalisasi: ‘Perjuangan hati dan minda’

Menangani kandungan radikal online adalah satu cabaran yang melibatkan "perjuangan hati dan minda", menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (9 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
K Shanmugam tentang radikalisasi: ‘Perjuangan hati dan minda’
Diterbitkan : 09 Feb 2018 11:08PM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 11:36AM

SINGAPURA: Menangani kandungan radikal online adalah satu cabaran yang melibatkan "perjuangan hati dan minda", menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (9 Feb).

Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama Mediacorp beberapa jam selepas Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengeluarkan kenyataan tentang seorang warga Malaysia yang bekerja di Singapura yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dihantar pulang ke Malaysia.

Muhammad Nur Hanief Abdul Jalil, 33 tahun, bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat kargo udara Singapura. Tugas Hanief membolehkan dirinya memasuki kawasan terlarang Pusat Kargo Udara Changi, yang menyediakan khidmat ke Lapangan Terbang Changi.

Meskipun tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain untuk menjadi radikal ataupun merancang untuk melancarkan serangan di Singapura, MHA menyatakan ideologi radikal itu menjadikan Hanief sebagai ancaman keselamatan.

Encik Shanmugam berkata: "Setiap kes radikalisasi adalah serius; kami turut prihatin apabila seorang penolong tadika yang mempunyai akses kepada kanak-kanak menjadi radikal. Ibu bapa sangat bimbang.

"Kami memandang serius isu ini, kami sedar akan risiko-risikonya di pelbagai sektor buat beberapa ketika. Kami sudahpun dan akan terus mengambil langkah yang terdaya di bawah kuasa kami."

Tahun lalu, Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari, 22 tahun, yang merupakan seorang penolong jagaan bayi di PCF Sparkletots ditahan di bawah ISA.

Apabila ditanya tentang kehadiran bahan-bahan online yang menyokong radikalisasi, Encik Shanmugam berkata bahawa bahan-bahan sedemikian "selalu mendatangkan cabaran" dan kita harus "realistik tentang beberapa jauh ia boleh ditangani".

Encik Shanmugam berkata "penawar sebenarnya" adalah untuk menggalak golongan muda "supaya ke masjid dan juga menghayati kandungan yang diterbitkan MUIS dan pemimpin-pemimpin Islam kami".

Berhubung isu mendapatkan akses kepada kandungan radikal online, Encik Shanmugam mengatakan ia adalah "perjuangan hati dan minda", sambil berkata "kita harus berjuang dan menunjukkan apa yang salah dengan ajaran yang menyimpang ini - dan apa yang penting bagi kita untuk hidup sebagai negara berbilang kaum, berbilang agama dengan keharmonian kaum, sosial."

Nota Editor: Dalam laporan awal, kami silap menukil Encik Shanmugam sebagai berkata pihak berkuasa perlu memantau bahan-bahan yang diterbitkan MUIS dan pemimpin-pemimpin Islam lain, dan menunjukkan apa yang salah jika perlu. Kesilapan ini sudahpun diperbetulkan.

Encik Shanmugam sebetulnya berkata ajaran-ajaran di masjid, serta kandungan yang diterbitkan pemimpin-pemimpin Islam tempatan dan MUIS yang menjadi penawar sebenar bagi membanteras penyebaran kandungan radikal online. Beliau juga berkata kita harus menunjukkan - dan berjuang - apa yang salah dalam ajaran menyimpang yang ditemui dalam kandungan radikal online.

Kami memohon maaf atas kesilapan ini.

Sumber : CNA/SM/sm/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan