Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Juruwang DBS Nahariah Mohd Nor dipuji PM Lee; peran contoh pekerja mapan berani timba kemahiran baru

Usia bukan penghalang untuk seseorang pekerja menimba kemahiran baru apatah lagi pekerja mapan yang ingin mempertingkatkan diri dan kerjaya masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Juruwang DBS Nahariah Mohd Nor dipuji PM Lee; peran contoh pekerja mapan berani timba kemahiran baru

Juruwang DBS, Nahariah Mohd Nor. (Gambar-Gambar: DBS Bank)

BERITAmediacorp: Usia bukan penghalang untuk seseorang pekerja menimba kemahiran baru apatah lagi pekerja mapan yang ingin mempertingkatkan diri dan kerjaya masing-masing.

Keberanian Nahariah Mohd Nor menyahut cabaran untuk menimba kemahiran digital meskipun berusia dalam lingkungan 40an tahun menerima pujian Perdana Menteri Lee Hsien Loong baru-baru ini.

"Usaha melatih semula diri mesti bermula apabila kita berusia 40an dan 50an tahun. Tidak muda lagi, tetapi tidak begitu tua.

"Maka itu, kita akan memiliki kemahiran yang berguna walaupun hampir mencecah usia persaraan dan kita boleh terus mempertingkatkan diri meskipun dalam lingkungan 60an tahun," kata PM Lee semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019 pada Ahad (18 Ogos).

Perdana Menteri menyifatkan Cik Nahariah, seorang Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Mesin Juruwang Bervideo (VTM), sebagai peran contoh seorang pekerja dewasa yang berani merebut peluang untuk menjalani latihan semula.

"Dengan itu, Nahariah kini melakukan pekerjaan yang baru, berkhidmat kepada lebih ramai pelanggan berbanding sebelum ini serta menjadi lebih produktif dan berdaya saing kepada para majikan untuk bertahun-tahun akan datang. Syabas, Nahariah!"

Dalam ucapannya, PM Lee turut memuji majikan Cik Nahariah, DBS Bank, kerana berusaha untuk melatih semula para kakitangannya sedang syarikat itu memodenkan operasinya dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi sejak setahun lalu.

HAMPIR PUTUS ASA PADA MULANYA

Bagi mengikuti perkembangan industri yang kian berubah-ubah, DBS menyatakan ia menumpukan perhatian kepada usaha untuk meningkatkan daya saing para kakitangannya di samping membantu mereka menajamkan kemahiran masing-masing.

Cik Nahariah, yang kini berusia 47 tahun, merupakan salah seorang pekerja bank yang sudahpun menjalani latihan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi persekitaran pekerjaan yang sudah berubah dengan begitu pantas.

Bagaimana pada suatu masa tidak lama dahulu, Cik Nahariah sebenarnya mahu berhenti bekerja pada hari pertama beliau menjalani latihan sebagai seorang pegawai khidmat pelanggan digital.

Cik Nahariah akur bahawa pada mulanya beliau berasa sangat tertekan.

Jika pada masa lalu, Cik Nahariah hanya membantu para pelanggan untuk membuka akaun baru, serta menyimpan atau mengeluarkan wang, namun beliau kini membantu mereka menerusi sebuah skrin komputer pula.

"Saya merasakan bahawa rakan-rakan sekerja lebih pantas mempelajari kemahiran baru kerana mereka semuanya lebih muda," kata Cik Nahariah, yang sebelum ini bertugas sebagai seorang eksekutif perkhidmatan selama sembilan tahun, seperti ditukil daripada laman DBS Bank.

KINI LEBIH YAKIN DENGAN KEUPAYAANNYA

Cik Nahariah mengambil masa selama enam bulan sebelum akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan peranan barunya itu. Malah, Cik Nahariah berkata beliau kini "lebih bahagia" dan juga lebih yakin dengan keupayaannya.

"Saya bersyukur kerana saya dapat memberanikan diri menyahut cabaran untuk mempelajari kemahiran baru kerana kini, saya berasa lebih yakin untuk menghadapi masa hadapan di mana teknologi merubah cara para pelanggan melakukan kegiatan perbankan," katanya, seperti dipetik daripada laman DBS Bank.

Namun sikap positif Cik Nahariah bukan sahaja mendapat perhatian Perdana Menteri, malah para pelanggan DBS Bank yang pernah dilayaninya turut memuji dan memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

Ramai pelanggan memuji Cik Nahariah kerana sentiasa kelihatan ceria semasa memberikan layanan yang ramah dan mesra kepada mereka.

Kisah Cik Nahariah tentu sekali wajar diteladani para pekerja dewasa yang ingin menceburi bidang kerjaya baru mahupun mempertingkatkan diri bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Inilah nasihat Cik Nahariah bagi mereka yang berhasrat untuk menjalani latihan semula: "Anda perlu memberikan peluang kepada diri anda kerana jika tidak, anda tidak akan tahu sama ada anda boleh melakukannya.

"Saya berani mencuba dan kini saya seorang pegawai juruwang bervideo yang berjaya."

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan