Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Juruterbang yang berlepas dari S'pura perlu jalani ujian alkohol rambang mulai 31 Mac

Mulai Ahad (31 Mac), para juruterbang yang meninggalkan lapangan terbang Changi dan Seletar dikehendaki menjalani ujian alkohol yang dijalankan secara rambang, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini (28 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2019 07:57PM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 12:12AM

SINGAPURA: Mulai Ahad (31 Mac), para juruterbang yang meninggalkan lapangan terbang Changi dan Seletar dikehendaki menjalani ujian alkohol yang dijalankan secara rambang, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini (28 Mac).

Ujian-ujian alkohol yang dijalankan secara rambang itu adalah sebahagian daripada usaha CAAS untuk memperketat peraturan tidak mengambil minuman keras bagi para juruterbang.

Ia diumumkan enam bulan selepas Singapore Airlines (SIA) terpaksa membatalkan penerbangan dari Melbourne ke Wellington selepas juruterbangnya gagal ujian alkohol.

"CAAS mengamalkan toleransi sifar terhadap pengambilan minuman keras," menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan media. "Pada 31 Mac 2019, CAAS akan melaksanakan Program Ujian Alkohol Lapangan Terbang serta melakukan ujian alkohol secara rambang terhadap para juruterbang di lapangan terbang Changi dan Seletar."

Sekiranya penerbangan tertentu dipilih bagi menjalani ujian alkohol, para juruterbangnya dikehendaki menjalani ujian nafas.

Para juruterbang yang mempunyai kadar alkohol yang lebih tinggi berbanding had 0.02 gram (20mg) bagi setiap 210 liter nafas yang ditetapkan, tidak akan dibenarkan untuk melakukan penerbangan, menurut CAAS.

"Had itu ditetapkan berdasarkan amalan-amalan terbaik antarabangsa. Ia sejajar dengan piawai 'toleransi sifar', dengan membenarkan hanya jumlah kecil alkohol dalam nafas disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti ubat-ubatan ataupun ubat cuci mulut.

Para juruterbang yang didapati melakukan penerbangan ketika berada di bawah pengaruh alkohol boleh didenda sehingga S$50,000 dan dipenjarakan sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama.

Para pesalah berulang pula mungkin dikenakan denda sehingga S$100,000 dan dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun.

Para pengendali udara Singapura juga perlu memperkukuhkan dasar-dasar tidak mengambil minuman keras.

Misalnya, SIA Group dan Jetstar Asia kini memerlukan para juruterbang untuk tidak mengambil minuman keras selama 10 jam sebelum melakukan penerbangan.

Mulai 1 Mei, syarikat-syarikat penerbangan itu juga perlu melaksanakan Program Pengurusan Alkohol Lapangan Terbang secara proaktif bagi mengenal pasti, mengurus dan membantu para juruterbang dengan masalah pengambilan alkohol supaya menjalani pemulihan.

Syarikat-syarikat penerbangan asing juga digalak supaya melaksanakan program tersebut, menurut CAAS.

"CAAS dan masyarakat penerbangan memandang serius mengenai tindakan juruterbang yang mengendalikan pesawat ketika di bawah pengaruh alkohol.

"Ujian alkohol yang baru dan program-program pengurusan akan membantu memastikan agar keupayaan para juruterbang untuk mengendalikan pesawat tidak terjejas akibat alkohol," kata Ketua Pengarah CAAS, Kevin Shum.

Pada lewat tahun lalu, Jepun juga menyatakan bahawa ia akan mula menjalani ujian alkohol bagi para juruterbang. Ini selepas seorang juruterbang bersama Japan Airlines diberkas di London sejurus sebelum melakukan penerbangan kerana berada dalam keadaan mabuk.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan