Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat Muslimah yakin tegakkan piawai jagaan, utamakan keselamatan pesakit, kata Masagos Zulkifli

Keselamatan pesakit dan kakitangan menjadi keutamaan, sekumpulan pekerja jagaan kesihatan wanita Muslim memberitahu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Isnin (1 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keselamatan pesakit dan kakitangan menjadi keutamaan, sekumpulan pekerja jagaan kesihatan wanita Muslim memberitahu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Isnin (1 Nov).

Encik Masagos melawat Hospital Besar Singapura (SGH) pagi tadi untuk bertemu dengan beberapa karyawan jagaan kesihatan dan bertanya khabar mereka sempena hari pertama tudung dibenarkan sebagai sebahagian daripada pakaian seragam pekerja itu, sekiranya mereka mahu.

"Mereka yang saya temui hari ini kelihatan kemas dalam pelbagai bentuk pakaian seragam SingHealth untuk memenuhi persekitaran atau peraturan kerja berbeza di mana mereka bertugas," kongsi Menteri Kedua Kesihatan itu di Facebooknya.

Kakitangan jagaan kesihatan wanita Muslim dalam satu perjumpaan bersama Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam di SGH pada 1 Nov 2021. (Gambar: Masagos Zulkifli/ Facebook)

Encik Masagos berkata perjumpaan itu bertujuan untuk memahami pandangan kakitangan jagaan kesihatan Muslimah dalam membuat penyesuaian tersebut. Selain itu, beliau ingin tahu bagaimana Kementerian Kesihatan (MOH) boleh terus menyokong mereka dan masyarakat lebih luas dalam menyesuaikan diri kepada perubahan tersebut.

"Kakitangan yang saya temui berkongsi mereka dan rakan-rakan sekerja serta juga pesakit mereka daripada semua kaum berpendapat bahawa memberikan pilihan kepada pekerja jagaan kesihatan wanita Muslim untuk memakai tudung bersama uniform mereka adalah satu langkah positif," ujar Menteri Kedua Kesihatan.

Menurut Encik Masagos, kakitangan itu sudah menghadiri sesi pendampingan mengenai Fatwa dan garis panduan uniform baru yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Fatwa baru-baru ini.

"Mereka bersyukur diberi peluang untuk menyampaikan maklum balas selain memahami keprihatinan berhubung keselamatan operasi serta prinsip dan nilai Islam yang menjadi tunjang kepada Fatwa agar mereka boleh membuat pilihan terbaik serta penyesuaian yang perlu," kata Encik Masagos.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga itu menambah beliau kagum dengan sikap tanggungjawab profesional yang tertanam dalam diri mereka sebagai pekerja barisan hadapan dalam sistem jagaan kesihatan negara.

Karyawan wanita Muslim itu meluahkan keyakinan kepada Encik Masagos bahawa mereka akan berusaha untuk menegakkan piawai jagaan pesakit dan peraturan kawalan jangkitan dengan terus menghulurkan jagaan yang saksama, melindungi keselamatan pekerjaan serta kakitangan kesihatan.

"Marilah kita memberikan sokongan berterusan kepada semua pekerja jagaan kesihatan kita lebih-lebih lagi tatkala waktu mencabar ini," gesa beliau.

Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam bertemu dengan kakitangan jagaan kesihatan wanita Muslim di SGH pada 1 Nov 2021. (Gambar: Masagos Zulkifli/ Facebook)

Ini kerana, jelas Cik Rahayu dalam satu catatan Facebook, mereka boleh menunaikan tanggungjawab keagamaan dan menjalankan tanggungjawab sebagai karyawan jagaan kesihatan sekali gus pada masa yang sama.

"Saya bangga dengan dedikasi yang ditonjolkan kakitangan jagaan kesihatan Muslimah itu terhadap pekerjaan mereka. Saya berharap perubahan ini membantu mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Saya menantikan untuk mendampingi lebih ramai pekerja jagaan kesihatan Muslim dari semasa ke semasa!," ujar Cik Rahayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan