Images
  • delivery box parcel
    Gambar fail menunjukkan penghantaran bungkusan. (Gambar: RoseBox/Unsplash)

Jurulatih bola tampar dijel atas kesalahan dadah setelah methamphetamine dihantar ke salah rumah

SINGAPURA: Seorang jurulatih bola tampar dipenjara dua tahun hari ini (21 Okt).

Ini setelah dia ditangkap bagi kesalahan dadah selepas seorang pekerja penghantaran tersilap hantar sebungkus methamphetamine ke alamat flat yang salah.

Marvin Chew Xuan Han, 37 tahun, mengaku bersalah atas dua tuduhan mengambil dadah dan satu tuduhan memiliki methamphetamine. Dua lagi tuduhan dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Menurut notis Daftar Jurulatih Nasional pada Jun 2021 oleh Sport Singapore, Chew digantung daripada tugasnya mulai 17 Ogos 2020 sementara menunggu siasatan dijalankan.

Mahkamah diberitahu Chew berkawan dengan seorang lelaki yang dikenalinya sebagai "Josh". Josh mengerahkan seorang pekerja penghantaran untuk mengambil sebungkus methamphetamine daripada Chew dan menghantarkan bungkusan tersebut kepada Josh di flatnya.

Pada 4 Mei 2020, Chew menyerahkan sebuah beg kertas berisi sebungkus methamphetamine kepada seorang pekerja penghantaran, yang sepatutnya menghantarkannya kepada Josh dengan bayaran khidmat S$12.

Pada hari yang sama, Josh menerima satu makluman daripada syarikat penghantaran tersebut bahawa penghantaran sudahpun selesai dilakukan. Namun, dia tidak menerima beg tersebut. Dia kemudian menghubungi pekerja penghantaran itu, yang memberitahu beliau sudah menghantarkan barang tersebut.

Bagaimanapun, pekerja itu menambah beliau mungkin sudah membuat kesilapan dengan menghantarkan barang tersebut ke tingkat enam dan bukannya tingkat lima.

Josh naik ke flat jirannya dan meminta bungkusan tersebut dikembalikan kepadanya tetapi jirannya enggan berbuat demikian. Sebaliknya, wanita itu menghubungi polis dengan mengatakan beliau menerima bungkusan yang mengandungi barang mencurigakan.

Para pegawai polis merampas beg kertas itu dan memberkas Chew. Chew memberikan dua sampel air kencing yang dianalisis dan didapati mengandungi methamphetamine.

Chew mengaku dia mengambil methamphetamine beberapa hari sebelum dia ditangkap. Dia berkata dia memperolehi dadah itu daripada seorang lelaki tidak dikenali yang ditemuinya secara online.

BEBAS DENGAN IKAT JAMIN TAPI DICEKUP SEKALI LAGI

Chew dibebaskan dengan ikat jamin tetapi diberkas sekali lagi pada 11 Oktober 2020. Dia memberikan dua lagi sampel air kencing yang turut didapati mengandungi methamphetamine. Dia mengaku mengambil dadah dengan menyuntik dirinya.

Chew dibenarkan menangguhkan permulaan tempoh penjaranya ke November.

Mediacorp sudah menghubungi Sport Singapore untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. 

- CNA/FZ/fz

Top