Images
  • Citizen's Jury
    Juri Rakyat bagi perangi kencing manis membuat pembentangan buat pertama kali. (Gambar: Cheryl Goh)

Juri Rakyat bentang saranan perangi kencing manis kepada MOH

SINGAPURA: Kempen menggalak masyarakat meminum lebih banyak air putih, memasak hidangan sihat di rumah dan lebih kerap naik tangga.

Itulah antara saranan oleh Juri Rakyat (CJ) untuk membantu pemerintah terus Memerangi Kencing Manis.

Selepas tujuh minggu memerah otak, termasuk sesi selama tiga hari pada hujung minggu, CJ membentangkan senarai saranan memerangi kencing manis yang sudah dikumpul dan dibentangkan kepada Menteri Negara Kanan Dr Amy Khor di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat hari ini (13 Jan).

CJ merupakan model baru mendampingi masyarakat yang memanfaatkan idea-idea rakyat untuk sama-sama mewujudkan dan melaksanakan pendekatan-pendekatan baru bagi isu-isu penting negara.

Pada bulan Oktober lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Institut Pengajian Dasar bekerjasama untuk menubuhkan CJ bagi Memerangi Kencing Manis dan seramai 76 sukarelawan dipilih melalui satu proses pemilihan.

Semua 76 individu itu datang dari latar belakang yang berbeza, termasuk pesakit kencing manis, doktor, para penjaga pesakit dan juga orang awam bagi mendapatkan pandangan yang berbeza-beza.

Sebanyak 12 saranan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Dr Khor.

Antaranya adalah kempen #drinkplainwater (minum air putih), yang bertujuan mengurangkan pengambilan minuman berkalori dengan memasang lebih banyak alat pendingin air atau 'water cooler', supaya mudah untuk masyarakat memperoleh air putih.

Satu lagi idea adalah untuk memberikan insentif kepada rakyat Singapura yang kerap menaiki tangga dan menggalak mereka berjalan kaki menjangkaui 10,000 jejak sehari.

CJ juga membentangkan saranan berkaitan dasar-dasar pemerintah dan mengusulkan agar had tuntutan Medisave bagi Program Pengurusan Penyakit Kronik dinaikkan dari $400 kepada $750 setiap tahun, bagi setiap akaun.

Ini bagi membantu para pesakit kencing manis menangani beban kewangan semasa menguruskan penyakit mereka.

Selepas mendengar saranan-saranan tersebut, Dr Khor berkata beliau berbesar hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh CJ untuk bekerjasama dengan MOH bagi menangani kencing manis.

"Sepanjang tujuh minggu lalu, anda mendapatkan nasihat daripada para pakar, meneliti dan membahaskan idea-idea untuk mencapai kata sepakat berhubung saranan-saranan yang ingin diketengahkan," kata beliau.

"Saya akan sampaikan saranan-saranan anda sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan."

Dr Khor menambah MOH akan meneliti saranan-saranan tersebut dan memberikan respons dalam tempoh tiga bulan. 

- CNA/NK/nk

Top