Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumpa bomoh, ambil suplemen saja antara punca pesakit barah payu dara Melayu tidak hidup lama

Masih lagi cenderung mendapatkan khidmat bomoh dan sekadar menggunakan suplemen dan herba sahaja, merupakan antara punca-puncanya, sebilangan pesakit barah payu dara Melayu tidak hidup lama selepas didiagnosis dengan penyakit tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masih lagi cenderung mendapatkan khidmat bomoh dan sekadar menggunakan suplemen dan herba sahaja, merupakan antara punca-puncanya, sebilangan pesakit barah payu dara Melayu tidak hidup lama selepas didiagnosis dengan penyakit tersebut.

Malah, walaupun di peringkat nasional kadar pesakit barah payu dara hanya 10.6% peratus sahaja di kalangan orang Melayu - berbanding 80.5% bagi masyarakat Cina - kadar kematian di kalangan pesakit Melayu jauh lebih tinggi berbanding Cina.

KISAH PERIBADI RAHIMAH BAHRI - PESAKIT BARAH BUAH DADA

Cik Rahimah Bahri seorang jururawat berpengalaman.

Namun, tidak terlintas di fikirannya akan terkena barah payu dara, sehinggalah ia benar-benar berlaku pada 2009, pada usia 40-an tahun.

Ternyata, ia merupakan barah Tahap 2. Cik Rahimah akur dan terus terang mengakui akan kesilapan yang dilakukannya.

"Seperti saya, saya tidak periksa, dan saya tidak tahu gumpalan itu sudah berapa lama, cuma malam itu terasa, tapi barah saya sudah pergi ke nodus limfatik, jadi apabila mereka buat ujian nodus limfatik, dua sudah positif," kata beliau kepada BERITAMediacorp. Beliau kini sudah 30 tahun bekerja sebagai jururawat.

Lantaran itu, bagi bekas pesakit barah buah dada itu, Cik Rahimah ada nasihat ini untuk golongan wanita di luar sana.

“Bagi mereka yang sudah mendapati tanda-tanda bagi barah payu dara walaupun ianya tidak sakit dan tidak parah, namun bagi saya wajib untuk seseorang itu pergi ke hospital berjumpa dengan pakar-pakar dan mendapatkan rawatan yang betul," ujarnya.

Malah, beliau turut menasihatkan kaum wanita untuk membuat pemeriksaan sendiri lima hari setelah datangnya haid, untuk memastikan tidak ada sebarang gumpalan dekat bahagian payu dara.

Ini kerana menurutnya barah payu dara boleh merebak ke tempat lain dan menular dengan cepat - dari payu dara itu sendiri, ia boleh 'memakan' tulang, otak, dan juga ke hati.

RAMAI PESAKIT BARAH PAYU DARA MELAYU MENINGGAL

Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Daftar Barah Singapura minggu lalu, kadar dapat terus hidup di kalangan pesakit barah payu dara Melayu adalah paling rendah iaitu sekitar 60%, berbanding lebih 82% bagi kaum Cina , dan sekitar 72% di kalangan masyarakat India.

Ini bermakna ramai pesakit Melayu meninggal dunia setelah menghidap barah payu dara, meskipun jauh lebih ramai orang Cina yang menghidap barah payu dara.

"Risiko kematian di kalangan pesakit Melayu (barah payu dara Tahap 3) ialah - 60% akan hidup selama lima tahun, manakala 40% daripada mereka meninggal dunia.

"Ini bermakna 4 daripada 10 wanita (Melayu yang menghidap barah payu dara) mati disebabkan penyakit ini dalam masa 5 tahun," ujar Profesor Madya Mikael Hartman, Ketua Program Pencegahan Barah Payu Dara, Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock dari Universiti Nasional Singapura (SSHSPH).

Dua perkara disebut sebagai penyumbang utama gejala tersebut. Pertama, gagal mendapatkan pemeriksaan awal kerana kurangnya kesedaran.

Kedua, enggan mendapatkan rawatan doktor walaupun setelah mendapat tahu mereka menghidap penyakit tersebut. Antara sebab-sebab bagi faktor kedua ini, menurut para pengkaji, ialah:

- Sikap kononnya tahu 'cara yang terbaik' untuk mengubati penyakit barah dengan mengambil suplemen dan herba sahaja

- Berdiam diri kerana tidak mahu menjadi 'beban' kepada keluarga dan orang tersayang

- Mendapatkan rawatan tradisional seperti berjumpa bomoh dan bukannya doktor

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

"Apa yang kami dapati ialah kepercayaan mendapatkan pertolongan magis, mendapatkan pertolongan kuasa ghaib menerusi cara spiritual atau pergi ke bomoh untuk merawat penyakit ini. Ramai yang mendapatkan bantuan atau rawatan ghaib, bukan sahaja di negara ini tetapi di luar negara," jelas Profesor Cynthia Chou, seorang Profesor Jabatan Antropologi Universiti Iowa kepada BERITAMediacorp.

Pendapat ini turut dipersetujui oleh Profesor Madya Mikael Hartman.

"Ada di antara mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan pada tahap yang lambat apabila tumor sudah merebak ke daerah payu dara.

"Masalah yang kedua ialah apabila pihak pakar ingin berikan bantuan, namun mereka akan katakan kepada kami 'tidak mengapa'. Kami mungkin akan mengarahkan mereka untuk melalui pembedahan, atau kemoterapi, dan radioterapi - dan mereka akan menerima satu atau dua daripadanya, dan akan menolak salah satu daripadanya perubatan yang dinasihatkan," kata Prof Madya Hartman.

Profesor Madya Mikael Hartman (kiri) dan Profesor Cynthia Chou mengetuai kerjasama antarabangsa untuk lebih memahami respons wanita terhadap barah payu dara (Gambar: NUS) 

Profesor Madya Mikael Hartman (kiri) dan Profesor Cynthia Chou mengetuai kerjasama antarabangsa untuk lebih memahami respons wanita terhadap barah payu dara (Gambar: NUS) 

PARA PENGKAJI HARAP BEKERJASAMA DENGAN PEMIMPIN AGAMA, MASJID

Semua ini merupakan antara dapatan kajian pakar-pakar antropologi dari Universiti Iowa yang sedang bekerjasama dengan pakar-pakar Universiti Nasional Singapura (NUH) untuk lebih mendalami faktor-faktor yang mempengaruhi pesakit wanita Melayu dalam mendapatkan rawatan awal.

Kajian yang mengambil sosio-budaya ini bermula pada tahun 2014, dan setakat ini terdapat 40 wanita yang ditemu bual. 13 daripadanya terdiri dari masyarakat Melayu, 18 dari orang Cina dan 9 darinya dari masyarakat India.

Profesor Cynthia menambah, kajian ini masih lagi berterusan dan beliau berharap lebih ramai pesakit barah payu dara dari masyarakat Melayu tampil untuk berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit barah bayu dara, pasukan ini turut berharap untuk bekerjasama dengan para pemimpin agama dan masjid tempatan.

Antara lain untuk menganjurkan sesi ceramah dan perkongsian bersama masyarakat Melayu/Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan