Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah wakaf di S'pura naik 6 kali ganda kepada lebih S$900 juta

Dalam masa dua dekad, jumlah wakaf di Singapura naik enam kali ganda kepada lebih S$900 juta kini berbanding S$150 juta pada tahun 2000. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam masa dua dekad, jumlah wakaf di Singapura naik enam kali ganda kepada lebih S$900 juta kini berbanding S$150 juta pada tahun 2000.

Menurut Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), peningkatan itu merupakan bukti dan hasil bagi pandangan jauh para pemimpin agama dan masyarakat di sini.

"Pandangan jauh pemimpin agama dan masyarakat kita yang lalu memastikan wakaf dapat terus memberi manfaat buat masyarakat selaras dengan hasrat para pewakif dan terus merancakkan sektor wakaf kita. MUIS komited untuk terus memperkukuhkan wakaf kita serta mengurus, mentadbir dan membangunkan aset-asetnya dengan lebih baik bagi memastikan wakaf dapat terus menjana pendapatan yang sihat di masa-masa akan datang," ujar Encik Esa Masood lagi.

Tahun ini, MUIS akan mengagihkan S$4,018,273 juta dana wakaf itu.

Daripada jumlah itu, sekitar S$2,936,016 juta akan disalurkan kepada para penerima tempatan seperti masjid, madrasah dan pertubuhan Muslim.

Baki S$1,082,257 pula, akan disalurkan kepada para penerima bantuan luar negara seperti di India, Indonesia dan Yemen.

LEBIH S$1.4 JUTA DIAGIH KEPADA SEKTOR MASJID

Sektor masjid akan menerima sejumlah S$1,458,104 juta bagi menampung kos pengurusan dan operasi masjid serta kerja-kerja naik taraf.

Masjid Khalid di Joo Chiat Road. (Gambar: Masjid Khalid/Facebook)

Antara masjid yang menerima sokongan dana wakaf tersebut adalah Masjid Jamae Chulia dan Masjid Khalid.

Sebanyak S$200,000 pula akan diperuntukkan bagi menyediakan latihan-latihan buat para asatizah di masjid untuk melengkapi diri mereka dengan kemahiran kaunseling perkahwinan serta bimbingan di bawah program "Bersamamu Naib Kadi".

Selain itu, enam madrasah sepenuh masa dan separuh masa pula akan menerima S$464,884 bagi menyokong program-program dan inisiatif madrasah dalam melahirkan generasi pemimpin agama masa hadapan Singapura.

PERTUBUHAN MUSLIM DAPAT LEBIH S$200,000

Bagi menyokong keperluan sosial masyarakat Muslim, S$285,826 akan diagihkan kepada 26 pertubuhan Muslim.

Antaranya termasuk 4PM, Club Heal, PPIS, Rumah-Rumah Pertapis dan Pertubuhan Kesatuan India Muslim.

Agihan tersebut bertujuan menyokong pertubuhan-pertubuhan Muslim, terutamanya badan kebajikan yang menyokong pelbagai keperluan masyarakat.

Sementara itu, MUIS kini sedang mengkaji saranan-saranan oleh jawatankuasa penasihat Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Jawatankuasa itu memberi saranan mereka berkenaan strategi-strategi untuk menyokong institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program-program masyarakat.

Menurut MUIS, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan kemampanan institusi-institusinya seperti masjid dan madrasah agar masyarakat kekal berdaya bingkas dalam memenuhi keperluan agama mereka walaupun di tengah-tengah waktu krisis.

Di samping itu, bagi aset-aset wakaf yang terjejas oleh pandemik COVID-19, Encik Esa Masood berkata MUIS akan terus bekerjasama dengan penyewa supaya wakaf dapat membantu mereka meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan