Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah remaja Melayu bawah 21 tahun yang terlanjur meningkat sejak 5 tahun lalu: BABES

Badan khusus bagi membantu kes-kes remaja hamil, Babes Pregnancy Crisis Support mendapati, jumlah remaja Melayu/Islam terlanjur bawah usia 21 tahun yang datang meminta bantuannya, meningkat sebanyak 86% sejak 5 tahun lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Badan khusus bagi membantu kes-kes remaja hamil, Babes Pregnancy Crisis Support mendapati, jumlah remaja Melayu/Islam terlanjur bawah usia 21 tahun yang datang meminta bantuannya, meningkat sebanyak 86 peratus sejak 5 tahun lalu.

Menurut badan bukan pemerintah itu (NGO), salah satu faktor utama adalah tanggapan bahawa pendidikan seks masih lagi satu 'kawasan larangan' oleh sesetengah keluarga Melayu/Islam di sini.

'SUE': ANTARA KES REMAJA TERLANJUR

"Bila saya dapat tahu yang saya muntah-muntah, sakit perut dan macam tak sihat badan. Jadi saya buat keputusan untuk pergi klinik, terkejut dapat tahu mengandung, saya sampai bilang mata air (kekasih) saya, sampai dia terkejut. Kita takut nak bilang ibu bapa kita."

Begitu pengakuan 'Sue', bukan nama sebenar, remaja 19 tahun yang baru melahirkan bayinya dua bulan lalu. 'Sue' menyesal dan terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga bayinya itu.

Namun lebih daripada itu, dia akur, stigma keluarga dan masyarakat terhadapnya lebih 'dahsyat' daripada rintangan kewangan yang dihadapinya.

Bagi menampung perbelanjaan bayinya itu, Sue kini mendapatkan bantuan dari Babes Pregnancy Crisis Support.

Bagi 'Sue', dia akur bahawa perbualan tentang akibat seks luar nikah tidak pernah dibincangkan oleh ibu bapanya di rumah.

BABES: JUMLAH TERTINGGI DALAM MASA 5 TAHUN

Menurut perangkaan BABES jumlah remaja Melayu/Islam di bawah 21 tahun yang meminta bantuannya setelah terlanjur dan hamil, melonjak dengan tinggi.

Tahun lalu ia mencecah 41 kes - iaitu parasnya yang tertinggi sepanjang lima tahun lalu.

Jumlah tahun lalu itu juga lonjakan 86 peratus berbanding 22 kes pada tahun 2013.

Babes Pregnancy memberitahu kami, 40 peratus daripada kes yang membabitkan remaja Melayu, melibatkan mereka yang berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Malah lebih membimbangkan lagi, perangkaan juga menunjukkan kes-kes hamil luar nikah di kalangan remaja Melayu kendalian Babes Pregnancy, jauh lebih ramai berbanding remaja kaum lain sepanjang lima tahun lalu.

ICA: ANGKA TINGGI DI KALANGAN IBU TUNGGAL MELAYU

Angka lebih tinggi kelahiran oleh ibu tunggal di kalangan remaja Melayu juga tercatat dalam perangkaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Perangkaan ICA menunjukkan, kadar kelahiran oleh remaja Melayu di bawah usia 19 tahun, adalah paling tinggi saban tahun sejak 5 tahun lalu - lebih ramai berbanding kaum lain.

Ia berjumlah hampir 960 kes dalam tempoh tersebut. Jumlahnya hampir 850 bagi remaja Cina dan hampir 200 bagi remaja India. Jelas, peratusan kes-kes Melayu jauh melebihi nisbah nasional.

Namun demikian, berita baiknya adalah: Remaja Melayu yang melahirkan bayi selaku ibu tunggal menyaksikan trend merosot sejak lima tahun lalu.

BUKAN MASALAH ORANG MELAYU

Jadi, apakah antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini? Dan adakah sokongan sudahpun mencukupi bagi membantu golongan ini?

BABES menyatakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah kurangnya pendidikan seks yang lebih menyeluruh dan terbuka di kalangan sesetengah keluarga Melayu/Islam. Ini kerana sesetengah mereka masih lagi menganggapnya sebagai satu topik yang tabu.

"Kami mesti terima ini adalah satu masalah sosial dalam golongan Melayu. Jadi kami harus bincangkan topik ini. Kita sudah tidak boleh sembunyi di bawah karpet.

"Pasal ini adalah satu masalah yang besar, dan semuanya bermula dengan perbincangan dan perbualan, yang kita mesti bincangkan, diskusi dan cari penyelesaian," kata Cik Azrahayu Ahmad Afandi, seorang penyelia kes kerja di BABES.

AWARE: BOLEH MEMBAWA KEPADA MASALAH PENYISIHAN SOSIAL

Memberikan respons terhadap masalah ini, kumpulan yang perjuangkan hak-hak wanita AWARE turut berpendapat kurangnya pengetahuan terhadap pendidikan seksualiti merupakan antara faktor yang menyebabkan remaja terhimpit masalah kehamilan pada peringkat muda.

"Ada sikap yang malu-malu nak cakap tentang hal seksual jadi sikap yang lebih terbuka perlu diamalkan. Ibu bapa mesti melengkapkan diri dengan ilmu yang mendalam bukan sekadar tentang 'abstinance' menahan diri sahaja tetapi tentang risiko melakukan seks tanpa perlindungan.

"Dan yang paling penting sekali pendidikan tentang hubungan yang saling menghormati dan perbincangan kesaksamaan gender dalam hal ini," tekan Cik Laika Jumabhoy, seorang pengurus kanan kes kerja di AWARE.

Malah menurut Cik Laika lagi sekiranya masalah ini tidak diberikan perhatian dengan serius, ada kemungkinan berlaku masalah penyisihan sosial terhadap para ibu muda ini.

Jadi, selain daripada perbincangan yang terbuka oleh institusi keluarga, AWARE menyarankan sistem pendidikan di sini ditingkatkan agar lebih komprehensif.

"Pendidikan komprehensif ini patut memecahkan tabu atau stigma bila kami cakap tentang seks. Isu seks atau reproduktif ini patut dipaparkan secara wajar dan bukan secara satu benda yang menakutkan, supaya kanak-kanak dididik dengan ilmu mendalam dan rasa konfiden apabila menyuarakan soalan dan keraguan dengan isu ini," kata Cik Laika lagi.

MSF: BANTUAN DIPERLUASKAN BAGI SEMUA IBU BAPA

Satu lagi sisi yang perlu dibincangkan apabila membicarakan tentang masalah ini adalah sama ada para remaja ini mendapat bantuan dan sokongan yang secukupnya untuk menampung diri mereka dan bayi pada usia yang muda.

Pertolongan dihulurkan demi mengupayakan ibu muda itu mengatasi dan keluar daripada kepompong masalah.

Memberikan respons dalam bentuk emel, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan sokongan diperluaskan bagi semua kanak-kanak tanpa mengira status perkahwinan ibu bapa mereka.

Semua kanak-kanak Singapura juga mempunyai akses kepada bantuan sosial, pendidikan dan subsidi penjagaan kesihatan. Sokongan ini bertujuan untuk menyokong keperluan perkembangan dan pengasuhan kanak-kanak.

Malah pada tahun lalu, cuti bersalin turut dilanjutkan kepada ibu yang tidak berkahwin.

Mengulas tentang masalah terlanjur semasa muda, BABES pula menyatakan adalah tidak wajar bagi sesetengah golongan masyarakat yang melabel dan menganggap masalah ini sebagai masalah orang Melayu hanya dengan melihat kepada peratusan daripada organisasi mereka. Sebaliknya menurut BABES, masalah ini perlu dilihat daripada aspek struktur sesebuah masyarakat.

Ia malah menambah, terdapat juga peratusan lain remaja bawah 21 tahun yang hamil daripada bangsa lain yang datang meminta bantuan.

Peratusan mereka mungkin berkurangan kerana mereka mengetahui cara-cara untuk menyelesaikan masalah ini, sebagai contoh mendapatkan pengguguran bayi secara profesional.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan