Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pesanan khidmat penghantaran melonjak kerana COVID-19

Penularan virus COVID-19 menjejas banyak perniagaan di Singapura - dari kedai runcit hingga gerai makanan. Namun khidmat penghantaran sebaliknya mencatat peningkatan jualan sedang lebih ramai orang bekerja dari rumah atau memilih untuk duduk di rumah kerana bimbang akan penularan virus korona itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pesanan khidmat penghantaran melonjak kerana COVID-19

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Feb 2020 01:00PM Dikemas Kini : 19 Feb 2020 01:04PM

SINGAPURA: Penularan virus COVID-19 menjejas banyak perniagaan di Singapura - dari kedai runcit hingga gerai makanan.

Namun khidmat penghantaran sebaliknya mencatat peningkatan jualan sedang lebih ramai orang bekerja dari rumah sebagai sebahagian daripada rancangan kesinambungan perniagaan, atau memilih untuk duduk di rumah kerana bimbang akan penularan virus korona itu.

Wadah e-dagang Lazada menyatakan ia mengalami lonjakan dalam pembelian secara borong melalui khidmat runcit RedMart apabila tahap DORSCON dinaikkan kepada Jingga.

"Pesanan mencecah lebih 300 peratus daripada jumlah purata mingguan RedMart dan kami kini melihat permintaan yang belum pernah berlaku sebelum ini," kata seorang jurucakap Lazada.

"Permintaan untuk pesanan online melonjak walaupun selepas tempoh Tahun Baru Cina, dan jadual penghantaran harian kami beroperasi pada tahap keupayaan hampir penuh sejak DORSCON Jingga diisytiharkan dua Jumaat lalu," kata seorang jurucakap NTUC FairPrice pula.

Walaupun permintaan sudah melepasi kemuncaknya, ia masih lebih tinggi daripada biasa, menurut pasar raya itu.

PENGHANTARAN MAKANAN JUGA MELONJAK

Kedua-dua Grab dan Deliveroo menyatakan mereka melihat lonjakan 20 peratus dalam pesanan makanan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Permintaan yang lebih tinggi bagaimanapun tidak memberi tekanan pada Deliveroo, dengan firma itu menyatakan pasukan perancangan bekalan penghantaran menggunakan analisis data untuk memastikan jumlah penunggang yang mencukupi.

Sementara itu Foodpanda menyatakan pihaknya menyaksikan peningkatan pesanan sebanyak 10 peratus dari minggu ke minggu di pelbagai wadah khidmat penghantaran makanan dan barangan keperluan dapur.

Ketiga-tiga firma itu menyatakan bahawa selain virus korona, faktor lain seperti kempen pemasaran dan promosi restoran juga mungkin menyumbang kepada peningkatan itu

PERLINDUNGAN BAGI PEKERJA PENGHANTARAN

Syarikat-syarikat tersebut menyatakan mereka mempunyai garis panduan untuk melindungi pekerja penghantaran mereka daripada virus itu, yang berjangkit melalui hubungan rapat.

Lazada misalnya memastikan kakitangan logistik menjalani pemeriksaan suhu dan proses pembasmian kuman setiap hari sebelum mereka mengendalikan pakej, sambil menambah penunggang penghantaran RedMart juga "mematuhi protokol kebersihan dengan ketat sebelum dan selepas setiap penghantaran".

Deliveroo pula memberitahu Mediacorp bahawa ia berkongsi "garis pandu rasmi dan kemas kini secara tetap" mengenai situasi COVID-19 dengan para penunggang dan menawarkan pelitup kepada para pekerja penghantaran. Pelitup-pelitup itu boleh diperolehi di tiga dapur pusat Deliveroo Editions.

Foodpanda menyatakan ia "menggalakkan secara aktif" pelanggan mereka untuk menggunakan kaedah pembayaran online berbanding wang tunai (COD) untuk pesanan.

"Sekiranya penunggang menerima pesanan COD, kami juga telah mengeluarkan garis panduan untuk menggunakan pembersih tangan sebaik sahaja selepas mengendalikan wang tunai," menurut firma penghantaran itu, sambil menambah ia menyediakan para pekerja penghantaran pelitup muka dan pembersih tangan secara percuma. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan