Images
  • drug (1)

Jumlah pesalah dadah Melayu yang alami ketagihan semula atau 'relapse' selepas 2 tahun merosot sejak 2013

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin membentangkan buku rekod mengenai penyalahguna dadah dalam masyarakat Melayu dalam satu seminar anjuran AMP hari ini (16 Mac).

Menurut beliau jumlah pesalah dadah Melayu yang mengalami ketagihan semula atau 'relapse' selepas dua tahun sudah merosot sejak 2013.

Jumlah pesalah pula berkurangan hampir separuh sepanjang tempoh 25 tahun dari 1993.

Meskipun demikian, jumlah pesalah yang ditahan terus meningkat, sejajar dengan trend di kalangan kaum-kaum lain.

Salah satu sebab utamanya adalah jumlah penyalah guna bahan psikoaktif baru yang meningkat.

ADA BERITA BAIK & BURUK

Usaha memerangi gejala dadah dalam kalangan masyarakat Melayu bukan suatu usaha baru.

Malah, ia sudah dijalankan sejak berdekad-dekad lamanya.

Namun, apa yang membimbangkan ialah perangkaan yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan jumlah pesalah dadah dalam kalangan masyarakat Melayu membentuk kumpulan terbesar berbanding kaum lain.

Walaupun begitu, Setiausaha Parlimen Kanan MHA, Encik Amrin Amin berkata masyarakat perlu melihat isu itu secara menyeluruh.

Misalnya, dalam membincangkan tentang 'berita buruk' ini terdapat juga 'berita baik' yang boleh dibanggakan.

Pertama, dalam jangka 25 tahun, jumlah pesalah guna dadah sudah merosot sebanyak 45 peratus dari 3,211 pada 1993 kepada 1,760 tahun lalu.

Jumlah pesalah yang mengalami ketagihan semula kesalahan dalam masa dua tahun, juga merosot 12 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.


Ini sekaligus bermakna, sekiranya pada 2013 terdapat empat dalam kalangan 10 pesalah, sekali lagi terjebak dalam kegiatan tersebut, tiga daripada 10 pesalah berulang berbuat demikian pada tahun lalu.

Encik Amrin berkata,"Ini satu perkara yang membanggakan kerana ini menunjukkan usaha yang kukuh, yang baik yang telah disumbangkan oleh masyarakat kita, oleh pemerintah, dan ini telah berbaloi."

BADAN MELAYU/ISLAM MAINKAN PERANAN PENTING

Namun, Encik Amrin menambah, 'berita baik' ini tidak boleh sama sekali diambil ringan dan usahanya perlu konsisten.

Menurutnya, kerjasama masyarakat dan badan-badan Melayu/Islam sudah membantu menangani masalah itu.

"Badan-badan Melayu/Islam juga bergiat lakarkan program-program mereka, dan baru-baru ini mereka AMP telah memperkenalkan program Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP) di mana 200 pesalah dan keluarga mereka diberikan bantuan. Ini adalah program perintis yang pertama, di mana kita ada 'true care approach' di mana pertolongan atau pendekatan diberi semasa mereka di penjara, sehingga mereka keluar dan juga membantu keluarga mereka," kata Encik Amrin.

AMP: DADAH BUKAN MASALAH MASYARAKAT MELAYU SAJA

Di pihak AMP sendiri, pelbagai usaha dan langkah akan dijalankan pada masa akan datang bagi meluaskan lagi DRP untuk menjangkaui lebih ramai keluarga pesalah dadah Melayu.

Misalnya, AMP turut akan bekerjasama dengan sinergi MUIS, MENDAKI dan MESRA atau M3, di samping berkolaborasi dengan badan dan organisasi nasional.

Namun langkah pertama yang akan diambil AMP ialah untuk memperbetulkan tanggapan masyarakat bahawa masalah dadah bukan masalah 'kaum Melayu sahaja'.

"Salah satu inisiatif AMP adalah untuk mengadakan seminar CIR seperti ini untuk kita menukar pendapat dan bentuk idea bagaimana kita harus mengubah pendekatan kita supaya masyarakat kita tidak terbelenggu dalam masalah ini tetapi masalah ini bukan sahaja membelenggu masyarakat Melayu/Islam Singapura, ianya juga isu yang terkait kepada semua lapisan masyarakat," menurut Pengerusi AMP, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Encik Zhulkarnain menambah, sayap penyelidikan AMP, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) turut akan menjalankan penyelidikan terhadap dasar-dasar berkaitan dengan masalah dadah untuk memberikan jalan keluar yang inovatif dalam menangani masalah tersebut.

- BERITAmediacorp/na

Top