Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pengunjung Pasar Geylang mungkin dikawal jika berlaku kesesakan jelang Raya

Kemasukan pengunjung ke dalam Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka akan dihentikan buat sementara waktu sekiranya ada ruang-ruang tertentu dalam pasar menjadi sesak pada bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemasukan pengunjung ke dalam Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka akan dihentikan buat sementara waktu sekiranya ada ruang-ruang tertentu dalam pasar menjadi sesak pada bulan Ramadan ini.

Penyesuaian itu akan dijalankan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kerana jumlah pengunjung di kedua-dua pasar tersebut dijangka meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"NEA memohon kerjasama orang ramai bahawa penyesuaian ini perlu dijalankan demi mengawal kesesakan dan bagi memastikan jarak selamat di dalam pasar dapat dilaksanakan dengan berkesan," menurut NEA.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh agensi tersebut sebagai respons terhadap pertanyaan BERITAmediacorp tentang langkah-langkah tambahan yang akan diambil di pasar-pasar popular sempena bulan Ramadan.

NEA dalam kenyataannya turut mendedahkan bahawa pengerahan para pegawai jarak selamat di Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka akan turut diperhebat.

JIKA JUMLAH PENGUNJUNG MELEBIHI HAD...

Menerangkan lebih lanjut, NEA menyatakan bilangan pengunjung di Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka masing-masing dihadkan kepada 300 dan 200 orang.

Jumlah itu ditentukan berdasarkan saiz, bilangan gerai dan reka bentuk pasar.

NEA dan pihak Majlis Bandaran kerap menyemak keperluan mengawal jumlah pengunjung di pasar-pasar popular sejak bermula 'circuit breaker' pada April tahun lalu dan kemasukan pengunjung ternyata masih dikawal di Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka.

"Pengunjung perlu beratur untuk memasuki pasar sekiranya jumlah pengunjung di dalam pasar mencecah had yang ditetapkan," kata jurucakap NEA.

Gambar fail. 

Dalam erti kata lain, jika terlalu ramai pengunjung menjelang Syawal ini, anda mungkin perlu menunggu lama sedikit sebelum akhirnya dapat berbelanja di pasar.

"Papan tanda akan dipasang untuk memaparkan masa menunggu yang dijangkakan untuk masuk Pasar Geylang Serai dan Pasar Tekka," tambah jurucakap NEA.

PEGERAI JUGA DINASIHATKAN SUPAYA JANGAN LETAK BARANGAN DI LUAR KEDAI

Dalam pada itu, NEA turut menasihatkan para pengunjung supaya sebaik mungkin ke pasar di luar waktu sibuk atau pada hari-hari biasa.

Para pegerai pula diingatkan supaya jangan meletakkan jualan atau barangan di luar kedai kerana ia boleh menghalang para pengunjung daripada menjaga jarak selamat.

Lantai di pasar terdahulu sudah ditandakan untuk membimbing para pengunjung menjaga jarak selamat - sebelum memasuki pasar mahupun ketika sedang membeli-belah.

"Kami mohon kerjasama para pengunjung dan pegerai dan langkah-langkah ini adalah perlu demi memastikan jarak selamat dapat terus dipatuhi dan risiko penularan COVID-19 dalam masyarakat dapat dikawal," menurut NEA lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan