Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pemberhentian pekerja lebih rendah pada 2017, pengambilan pekerja tempatan naik seganda

Selepas mengalami kemerosotan selama tiga suku pertama 2017, jumlah pengambilan pekerja - tidak termasuk pembantu rumah asing - naik pada suku keempat disebabkan pertumbuhan musiman dalam sektor perkhidmatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Jan 2018 02:10PM Dikemas Kini : 26 Jan 2018 10:18PM

SINGAPURA: Selepas mengalami kemerosotan selama tiga suku pertama 2017, jumlah pengambilan pekerja - tidak termasuk pembantu rumah asing - naik pada suku keempat disebabkan pertumbuhan musiman dalam sektor perkhidmatan.

Bagaimanapun, pengambilan pekerja pada 2017 keseluruhannya merosot buat pertama kali sejak 2003 iaitu sebanyak 10,700. Demikian menurut anggaran awal yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (26 Jan).

Menurut MOM, penguncupan berlaku kerana jumlah pengambilan pekerja asing semakin berkurangan, terutama sekali jumlah pemegang permit kerja dalam sektor binaan dan industri marin.

Sebaliknya, pengambilan pekerja tempatan naik 0.9 peratus tahun lalu, dengan 21,300 pekerjaan baru diwujudkan.

Ini merupakan pertumbuhan hampir seganda berbanding 11,200 pekerjaan baru yang diwujudkan pada 2016. Peningkatan ini berlaku dalam kebanyakan sektor perkhidmatan, termasuk khidmat masyarakat, sosial dan peribadi, serta khidmat kewangan dan insurans.

Pada Disember 2017, 67.2 peratus tenaga kerja Singapura terdiri daripada warga tempatan sementara warga asing membentuk 32.8 peratus tenaga kerja di sini.

Jumlah pekerja yang diberhentikan juga berkurangan iaitu 14,340 berbanding 19,170 pekerja pada tahun 2016.

Pada tiga bulan terakhir 2017 sahaja, seramai 3,300 pekerja yang diberhentikan, tidak banyak berbeza dengan suku sebelumnya yang menyaksikan 3,400 pekerja diberhentikan. Penurunan itu dicatatkan dalam sektor pengilangan, binaan dan perkhidmatan.

Purata kadar pengangguran bagi rakyat Singapura naik 3.3 peratus tahun lalu, berbanding 3.1 peratus pada 2016.

Secara purata, 70,600 penduduk - termasuk 62,600 rakyat Singapura - menganggur tahun lalu. Pada 2016, 67,400 penduduk menganggur dan 59,100 daripadanya merupakan rakyat Singapura.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan