Images

Jumlah pelajar yang berkurangan dorong 18 sekolah digabungkan antara 2022 hingga 2024

SINGAPURA: Sekolah Rendah Juying dan Sekolah Rendah Pioneer - yang kedua-duanya terletak di estet matang Jurong West - akan digabungkan tahun depan disebabkan oleh jumlah kemasukan murid yang terus-menerus berkurangan kebelakangan ini.

Pada 2025 pula, kedua-dua sekolah yang digabungkan itu akan ditempatkan semula di Tengah dan akan menjadi sekolah rendah pertama di kawasan perumahan baru itu.

Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (7 Apr) turut mengumumkan lagi tiga pasang sekolah rendah dan lima pasang sekolah menengah yang akan digabungkan antara 2023 hingga 2024.

"Kadar kelahiran yang sedang merosot dan demografi yang berubah-ubah di estet-estet perumahan menyebabkan jumlah kemasukan pelajar berkurangan di beberapa sekolah. Pada masa yang sama, beberapa kawasan menyaksikan permintaan yang semakin tinggi," jelas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sekolah) merangkap Pengarah Sekolah-Sekolah MOE, Cik Liew Wei Li.

Lantaran itu, MOE menyemak dengan kerap keperluan untuk membina sekolah baru atau menggabungkan sekolah-sekolah tertentu.

"Ini akan memastikan para pelajar di merata Singapura dapat menikmati kerencaman program pendidikan dan kegiatan luar darjah (yang boleh diikuti)," tambah beliau.

Senarai sekolah yang akan digabungkan adalah seperti berikut:


Tiada seorang pun kakitangan MOE akan diberhentikan kerja sebagaimana penggabungan sekolah-sekolah lain sebelum ini.

Nama bagi sekolah-sekolah yang digabungkan pula akan diumumkan sebelum sekolah-sekolah itu digabungkan.

MENGAPA JUYING & PIONEER DIGABUNGKAN SEAWAL TAHUN DEPAN?

Menurut MOE, Sekolah Rendah Juying (JYPS) dan Sekolah Rendah Pioneer (PPS) akan digabungkan "lebih awal" berbanding sekolah-sekolah lain, untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Laluan Daerah Jurong (JRL).

Laluan tersebut akan melalui tapak PPS sekarang ini.

"Untuk Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memenuhi garis masa yang ditetapkan, tapak PPS akan diserahkan kepada para kontraktor LTA pada 2022 supaya kerja-kerja pembinaan bagi bahagian JRL boleh segera dimulakan," menurut MOE.

Tiada kohort baru Darjah 1 akan dibuka sehingga kampus baru siap dibina di Tengah pada 2025.

Tapak JYPS akan menempatkan para murid terjejas sehingga 2026, iaitu tahun kohort terakhir tamat persekolahan. Ini bermakna, antara 2025 hingga 2026 nanti, sekolah yang digabungkan itu akan mempunyai dua kampus yang beroperasi secara serentak.

"Kami komited untuk bekerja rapat dengan sekolah-sekolah terjejas bagi memastikan peralihan lancar bagi para murid dan kakitangan terjejas. Kami juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan sekolah agar mereka terus menyokong institusi pendidikan itu," kata Cik Liew.

SEKOLAH MENENGAH FUCHUN, WOODLANDS RING PULA DIGABUNGKAN LEBIH LEWAT

Sementara itu, semua sekolah lain dalam pengumuman hari ini (7 Apr) akan digabungkan pada 2023.

Namun Sekolah Menengah Fuchun (FCSS) dan Sekolah Menengah Woodlands Ring (WRSS) akan digabungkan lebih lewat, iaitu pada 2024.

Ini kerana kerja-kerja naik taraf bagi WRSS tertangguh disebabkan oleh COVID-19. Proses tersebut kini dijangka selesai pada 2023.

"Sebab itu WRSS dan FCSS akan digabungkan pada 2024, iaitu selepas kampus dipertingkat siap beroperasi."

Bagi semua sekolah yang digabungkan, satu sudut khas akan dibuka untuk merakam sejarah dan warisan kedua-dua sekolah di tapak kedua-dua sekolah itu digabungkan.  

- BERITAmediacorp/aq

Top