Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah orang alami demensia pada usia muda kian meningkat; boleh turunkan risiko 40%

Jumlah orang yang mengalami demensia pada usia muda (YOD) iaitu di bawah usia 65 tahun kian bertambah tahun demi tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah orang yang mengalami demensia pada usia muda (YOD) iaitu di bawah usia 65 tahun kian bertambah tahun demi tahun.

Malah jumlah mereka yang mengalami demensia atau nyanyuk dijangka akan meningkat sebanyak 50 peratus dalam masa sedekad kepada 150,000 orang di negara ini.

Bagi para pesakit seperti Encik Rosli Anjang, hidupnya bagaikan "runtuh" apabila disahkan mengalami Demensia Permulaan Muda (YOD) dan Demensia Lewy Body lima tahun lalu pada usianya 52 tahun.

Beliau mula mengalami gejala sindrom itu 10 tahun sebelum mengambil keputusan berjumpa doktor.

"Oh gila! Gila! Pasal apa dah sepuluh tahun kita dah mengalami simptom-simptom itu semua. Kemurungan, kita marah, kita ternampak halusinasi, ternampak benda ini itu semua. Dikatakan ok memang benar cik Anjang ada itu. Jadi segala-galanya runtuh," menurut Encik Anjang.

SEMBUNYIKAN ALAT-ALAT TAJAM

Menurut isterinya, Encik Anjang dahulu seorang ketua keluarga yang tegas dan bukan jenis yang menunjukkan kelemahannya.

Namun, semua berubah dalam sekelip mata.

"Tahun 2017, 2018 masa itu, dia bangun malam-malam. Masa itu cik dah tidur. Dia pergi dapur, nangis-nangis ambil pisau. Cik bangun tengok dia ambil pisau yang tajam. Dengan Cik, dia tidak kenal cik lagi, dia bawa pisau itu pergi balkoni, dia tutup pintu. Sejak hari itu, pisau semua cik dah sembunyikan baik-baik benda tajam dia dah tidak tahu mana cik simpan," kongsi Cik Sarimah.

TIMBA ILMU FAHAMI DEMENSIA

Meski tahu bahawa demensia tiada penawar, Encik Anjang yang kini berusia 57 tahun enggan menjadi ibarat melukut di tepi gantang, sebaliknya melengkapi dirinya mengenai ilmu untuk mengawal sesetengah gejala penyakit itu.

"Pada tahun 2018, bila doktor beritahu pada isteri cik bahawa cik mungkin ada 2 hingga 3 tahun untuk hidup dan mereka suruh hantar cik ke rumah penjagaan. Jadi isteri cik menangis. Jadi itu yang membuat cik Anjang berdoa kepada Allah, Ya Allah engkau berikanlah kepada aku segala-gala ilmu untuk aku memahami tentang penyakit aku.

"Cik tidak mahu, nanti suatu hari cik terus hilang ingatan, dah tidak boleh melakukan apa-apa, tidak boleh mandi, tidak boleh membuang air besar. Cik tidak mahu isteri cik akan lakukan itu. Bukan kerana cik malu tapi cik tidak mahu menyusahkannya," menurut Encik Anjang.

BERAT BADAN PERNAH SUSUT 8KG

Beliau mendedahkan bahawa pada suatu ketika dahulu, berat badannya turun mendadak sehingga lapan kilogram dek tidak boleh makan mahupun minum.

Malah, beliau juga kehilangan segala derianya dan tidak mampu bergerak langsung; terlantar di katil sahaja.

Menurut Encik Anjang keadaan yang dialaminya itu amat melelahkannya.

"Kita rasa dalam suatu kawasan yang berkabus. Kita tidak dapat melihat, mendengar dengan betul, tidak dapat bau, tidak dapat berfikir. Badan begitu letih. Jadi kita begitu terlantar lah. Cuma mata yang dapat bergerak," ujar Encik Anjang.

Selain itu, antara cabaran lain yang dihadapinya adalah menangani rasa kehilangan yang dirasainya setiap kali hilang ingatan.

Encik Anjang berkongsi bahawa dia banyak bertafakur bagi melawan perasaan itu.

SEBAR KESEDARAN MENGENAI DEMENSIA

Melihat betapa pentingnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang demensia atau nyanyuk, beliau menubuhkan The Chapal Malay Dementia Community.

Pertubuhan tersebut bertujuan mendampingi para pesakit demensia dan ahli keluarga mereka.

Encik Anjang sendiri dan para sukarelawan yang lain akan melakukan lawatan ke rumah pesakit untuk berkongsi tip-tip dan amalan yang dilakukannya bagi mengawal demensia.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa sokongan dan sikap prihatin masyarakat am amat penting bagi para pesakit demensia.

Lantas, Encik Anjang menaruh harapan agar stigma negatif oleh masyarakat terhadap mereka yang menghadapi penyakit itu dapat dihapuskan.

150,000 ORANG DI S'PURA DIRAMAL ALAMI DEMENSIA JELANG 2030

Perangkaan oleh Institut Neurosains Nasional menunjukkan bahawa jumlah pesakit baru yang disahkan alami YOD kian meningkat sejak 2013.

Malah secara keseluruhan, Persatuan Demensia Singapura menganggarkan seramai 100,000 orang di Singapura kini mengalami demensia, dan meramalkan jumlah itu akan melebihi 150,000 menjelang 2030.

Namun menurut pakar perubatan geriatrik Hospital Raffles, Dr Nur Farhan Alami, kesedaran mengenai demensia dalam masyarakat Melayu masih rendah, malah ramai yang menganggap masalah mudah lupa itu perkara biasa apabila lanjut usia.

"Sangat penting untuk kalau anda rasa ibu atau ayah ada masalah ingatan atau ada apa-apa perubahan, kita harus pergi ke doktor. Ramai pesakit yang datang jumpa saya mereka ada penyakit demensia yang sudah teruk dan keluarga mereka sangat tertekan sebab susah untuk menjaga," kata Dr Farhan.

DEMENSIA PADA USIA MUDA BIASANYA SEBAB GENETIK

Menurut beliau lagi, mereka yang mengalami YOD biasanya disebabkan genetik, namun masih boleh mengurangkan risiko alami demensia.

"Kita boleh mengurangkan risiko mengalami penyakit ini sebanyak 40 peratus. Tidak ramai orang tahu bahawa mereka boleh mengurangi risiko mereka. Kita harus mencegah penyakit seperti kencing manis, seperti darah tinggi dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif," menurut Dr Farhan.

Lantaran itu, beliau berharap masyarakat Melayu akan bersikap lebih peka dan tidak ambil ringan penyakit ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan