Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kes denggi paling rendah dalam 16 tahun

Jumlah kes denggi pada 2017 adalah 2,772, paling rendah yang pernah dicatat dalam tempoh 16 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kes denggi paling rendah dalam 16 tahun

Gambar: Marwin Recinos/AFP

Diterbitkan : 09 Feb 2018 06:12PM Dikemas Kini : 09 Feb 2018 06:44PM

SINGAPURA: Jumlah kes denggi pada 2017 adalah 2,772, paling rendah yang pernah dicatat dalam tempoh 16 tahun.

Demikian diumumkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (9 Feb).

Dalam satu kenyataan media, NEA menyatakan "jumlah yang agak rendah itu" mungkin disebabkan imuniti penduduk tempatan menyusuli jumlah kes denggi yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Jumlah rendah kes denggi pada awal tahun ini disebabkan usaha bersama pihak-pihak berkepentingan sebagai respons terhadap penularan virus Zika pada separuh kedua 2016 mungkin juga menjadi salah satu faktor," menurut NEA.

NEA juga mengenal pasti bahawa penghapusan nyamuk-nyamuk Aedes aegypti oleh rangkaian perangkap Gravitrap yang diletakkan di seluruh negara turut menyumbang kepada jumlah kes denggi yang lebih rendah.

NEA meletakkan sekitar 50,000 perangkap Gravitrap untuk memantau bilangan nyamuk Aedes di Singapura. Selain menyediakan maklumat untuk membantu NEA menumpukan pemeriksaannya di kawasan-kawasan dengan jumlah nyamuk Aedes yang tinggi, perangkap-perangkap itu juga membunuh banyak nyamuk Aedes aegypti dewasa pada tahun lalu.

MASYARAKAT PERLU TERUS BERJAGA-JAGA

Sekalipun begitu, NEA menggesa orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan supaya terus mencegah nyamuk daripada membiak untuk mengurangkan bilangan nyamuk Aedes dan mengekalkan kes denggi pada paras rendah.

Menurut NEA lagi, jumlah jangkitan denggi yang rendah sekarang memberi peluang untuk menjejas penularannya dengan lebih berkesan dalam kalangan masyarakat.

Lantaran itu, usaha masyarakat dan kawalan vektor yang berterusan diperlukan untuk mencegah jumlah nyamuk Aedes daripada bertambah dan membanteras denggi. Malah, usaha-usaha sedemikian juga dapat membantu menghambat penularan jangkitan virus Zika dan Chikungunya, menurut kenyataan media itu lagi.

NEA selanjutnya mengingatkan pihak-pihak berkepentingan supaya lebih berjaga-jaga semasa membersihkan rumah, membuang sampah dan meletakkan tumbuh-tumbuhan hiasan di rumah untuk mengelak daripada secara tidak sengaja mewujudkan tempat pembiakan nyamuk. NEA juga mengingatkan mereka yang melancong ke luar negara pada musim cuti supaya memastikan membuat rumah mereka "dilindungi daripada nyamuk".

Maklumat terkini tentang kes denggi di Singapura boleh diperolehi di laman NEA, laman Facebook Stop Dengue Now atau menerusi aplikasi myENV.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan