Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah kebakaran libatkan PMD cecah rekod tertinggi; 73 dari Jan-Sep 2019

Jumlah kebakaran yang berlaku akibat alat mobiliti peribadi (PMD) mencecah rekod tertinggi dengan 73 kebakaran dilaporkan antara Januari hingga September tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah kebakaran libatkan PMD cecah rekod tertinggi; 73 dari Jan-Sep 2019

PMD diletakkan di dapur ini menjadi punca satu insiden kebakaran di Ang Mo Kio. (Gambar: SCDF/Facebook)

Diterbitkan : 16 Dec 2019 10:51PM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 10:54PM

SINGAPURA: Jumlah kebakaran yang berlaku akibat alat mobiliti peribadi (PMD) mencecah rekod tertinggi dengan 73 kebakaran dilaporkan antara Januari hingga September tahun ini.

Terdapat 50 kebakaran berkaitan PMD tahun lalu, 40 dalam 2017, sembilan dalam 2016 dan hanya satu dalam 2015, menurut perangkaan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Tiada kebakaran melibatkan PMD dilaporkan sebelum tahun 2015.

Menurut SCDF dalam laman Facebooknya pada Ahad (15 Dis), seorang lelaki meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 70 mangsa cedera dalam kebakaran-kebakaran sedemikian.

Lelaki berusia 40 tahun itu mati akibat kebakaran e-skuter di sebuah flat di Bukit Batok pada Julai lalu.

Sejak September pula, lebih banyak kes kebakaran berlaku akibat PMD. Pada 5 Dis, tiga orang dipindahkan dari sebuah flat di Clementi setelah e-skuter yang dibiarkan untuk dicas di koridor flat berkenaan terbakar.

Pada 28 Oktober, dua kebakaran melibatkan PMD berlaku pada hari yang sama dengan satu insiden memaksa 40 penduduk dari blok terjejas di Bedok North terpaksa dipindahkan.

Awal bulan itu, seorang lelaki dan bayi dikejarkan ke hospital setelah kebakaran berlaku di sebuah lagi flat di Bukit Batok manakala seorang lelaki tua dibawa ke hospital selepas kebakaran di sebuah flat di Marsiling.

Pada Julai, pihak berkuasa melarang penjualan PMD yang tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran UL2272. Piawai UL2272 adalah peraturan keselamatan yang termasuk sistem bateri.

Tarikh akhir bagi PMD menerima pensijilan UL2272 dipercepatkan enam bulan kepada 1 Julai tahun depan.

Skim insentif pembuangan awal PMD - di mana S$100 diberikan kepada mereka yang membuang e-skuter berdaftar yang tidak mematuhi pensijilan UL2272 - ditawarkan sehingga hujung tahun ini.

Mulai April 2020, semua e-skuter perlu menjalani pemeriksaan wajib untuk memastikan mematuhi pensijilan UL2272 serta had bidang, berat dan kelajuan PMD.

Dalam satu video di laman Facebooknya, SCDF menasihatkan pengguna PMD untuk membuang peranti mereka yang tidak diiktiraf pensijilan UL2272.

PMD juga tidak seharusnya diubah suai atau dibiarkan dicas untuk tempoh waktu yang panjang. Bateri peranti itu juga harus diperiksa secara kerap bagi mengesan sebarang kerosakan mahupun kecacatan seperti kembung, hakisan atau sisa serbuk, jelas SCDF.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan