Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah burung merpati terus bertambah selagi penduduk tak henti beri makanan, tegas AVA

Perbuatan kerap memberi makanan kepada burung merpati dan membuang makanan merata-rata adalah faktor utama yang menambah jumlah burung tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah burung merpati terus bertambah selagi penduduk tak henti beri makanan, tegas AVA

Burung merpati. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 29 Apr 2018 08:45AM Dikemas Kini : 29 Apr 2018 08:49AM

SINGAPURA: Jika anda bimbang najis burung merpati mengotorkan jemuran atau menimbulkan isu-isu kebersihan lain, mungkin anda akan terkejut apabila mendapat tahu bahawa masalah tersebut bukan disebabkan burung-burung itu.

Punca sebenar adalah mereka yang memberi makanan kepada burung merpati.

Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) menyatakan perbuatan kerap memberi makanan kepada burung merpati dan membuang makanan merata-rata adalah faktor utama yang menambah jumlah burung tersebut.

AVA menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp tentang punca sebenar masalah yang sudah membelenggu penduduk sejak berpuluh tahun lamanya serta keberkesanan denda yang sedia ada ke atas mereka yang memberi makan kepada burung merpati.

Seorang jurucakap memberi amaran bahawa jumlah burung merpati akan terus bertambah sekiranya sentiasa terdapat makanan. Ini yang akan memburukkan lagi isu-isu berkaitan unggas tersebut, termasuk najisnya pada belebas tingkap.

"Langkah penguatkuasaan sahaja tidak akan menghuraikan masalah itu," kata jurucakap berkenaan.

Sesiapa yang memberi makan kepada burung merpati boleh dikenakan denda sehingga S$500.

Tahun lalu, jumlah itu naik kepada 218, lapan daripadanya pesalah degil.

Sehingga 20 Mac tahun ini, 93 orang didenda, seorang daripadanya adalah pesalah berulang.

Dalam pada itu, perangkaan AVA menunjukkan kebimbangan tentang burung merpati kian meningkat, dengan 5,500 aduan diterima pada tahun 2017, naik 34 peratus dari 4,100 pada 2016.

Jurucakap itu menambah burung merpati bukanlah burung tempatan dan merupakan spesis invasif.

"Najisnya mengotorkan sekitaran manakala sisa makanan yang ditinggalkan burung merpati mungkin mengundang haiwan perosak lain, seperti tikus, yang membawa penyakit serta risiko kesihatan umum," kata beliau.

Ia juga boleh menularkan penyakit kepada manusia menerusi najis yang tercemar atau hubungan dengan burung yang berpenyakit atau sudah mati, tambah beliau.

KAMERA DIPASANG SEBAGAI 'MATA' AVA

AVA sudahpun memasang sekitar 100 kamera sejak tahun 2016, ujar jurucakap itu.

"Menerusi kamera-kamera tersebut, AVA mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pesalah degil yang masih terus memberi makanan kepada burung merpati, yang dikenakan denda lebih berat," kata beliau.

Kamera juga menjadi alat mencegah perbuatan memberi makanan kepada unggas tersebut, katanya, sambil menambah dalam kes di mana terdapat gambar atau video individu yang didakwa pemberi makanan, AVA juga akan bekerjasama dengan Majlis Bandaran untuk meletakkan notis di tempat-tempat di mana burung merpati diberi makanan untuk merayu kepada orang ramai supaya memberikan maklumat.

AVA menyatakan ia mengambil pendekatan serampang berbilang mata, yang melibatkan perancangan jangka panjang untuk lebih memahami dan menangani isu tersebut dari akarnya. Ia juga mengambil langkah jangkah pendek untuk segera menangani ancaman kepada kesihatan dan keselamatan umum.

Bagi jangka panjang, AVA menjalankan kajian dan pemantauan analisis dan data maklum balas untuk menetapkan pendekatan pengurusan berdasarkan sains dan meneruskan usaha untuk mendidik orang ramai tentang sikap yang betul terhadap haiwan, tambah jurucakap berkenaan.

"Memandangkan isu-isu berkaitan haiwan selalunya rumit, maka tidak ada setakat satu huraian," kata beliau.

Beliau menambah masyarakat juga perlu memainkan peranan.

"Orang ramai boleh memainkan peranan lebih besar untuk menangani isu berkaitan burung merpati menerusi perbincangan dengan orang lain tentang kemudaratan memberi makanan kepada unggas itu. Dengan memanfaatkan pengaruh mereka, orang awam boleh membantu merubah perbuatan dan perspektif dalam kalangan masyarakat," kata beliau.

AVA juga menggesa orang ramai supaya jangan memberi makan kepada burung merpati dan membuat aduan sekiranya mereka mengenal pasti individu-individu yang melakukannya.

BAGAIMANA HURAIKAN ISU BERI BURUNG MERPATI MAKAN?

Undang-undang untuk memperkasa rakyat supaya berhenti memberi makanan kepada haiwan, termasuk mereka yang memberi makanan kepada burung merpati, boleh dikuatkuasakan, jika AP GRC Nee Soon Louis Ng mengikut kemahuannya sendiri.

Encik Ng memberitahu Mediacorp tentang rancangan masa akan datang untuk mengadakan perbincangan umum berhubung pindaan Akta Haiwan Liar dan Burung.

Beliau mahu memfailkan Rang Undang-Undang anggota privet untuk membuat pindaan kepada Akta tersebut, yang beliau percaya, buat masa ini terdapat jurang.

Beliau berkata kad waran boleh dikeluarkan untuk mengarahkan pemberi makanan supaya berhenti dan mengambil maklumat mereka.

"Para pemberi makanan akan menyedari bahawa mereka diperhatikan," katanya.

Antara perubahan lain yang mahu diperkenalkan adalah denda memberi makanan kepada haiwan liar tidak mengira lokasi.

Beliau berkata perubahan tersebut akan dapat menangani para pemberi makan tidak mengira di mana haiwan itu berada. Undang-undang sedia ada mengasingkan antara kawasan yang dilindungi dengan kawasan awam lain.

Mengulas tentang burung merpati, beliau menekankan, perbuatan memberi makanan kepada haiwan itu dan mudahnya ia mendapatkan makanan adalah satu masalah.

"Isunya adalah kita cuba menyelesaikan simptom - iaitu burung merpati - dan bukan punca sebenar, iaitu mudahnya haiwan itu mendapatkan makanan," kata beliau. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan