Images
  • singapore boys' home
    (Gambar: Google Maps)

Jumlah belia diberkas merosot 13.4% dalam tempoh empat tahun

SINGAPURA: Jumlah belia yang ditangkap merosot 13.4 peratus dalam tempoh empat tahun.

Seramai 2,700 belia ditahan pada tahun lalu berbanding 3,100 orang pada tahun 2014.

Jumlah itu didedahkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga sedang kementerian itu mengadakan simposium tentang kesalahan belia.

Javier, 17 tahun, merupakan pejuang anti-dadah dengan Biro Narkotik Pusat (CNB). Namun, Javier dahulunya pernah dianggap sebagai belia berisiko.

Tiga tahun lalu, Javier disebat kerana menghisap vape dan terlibat dengan kegiatan samseng.

Javier hanya berhenti apabila ibunya merayu kepadanya supaya berhenti terlibat dalam kegiatan-kegiatan sedemikian.

Bagi membantu golongan belia seperti Javier, Pemerintah sedang meningkatkan usaha mereka.

Ia sedang berusaha menyelaraskan usaha campur tangan dengan mendapatkan sokongan daripada agensi-agensi, termasuk melatih mereka yang berada di barisan depan untuk mengenal pasti keperluan lebih meluas dan merujukkan bantuan tersebut kepada agensi yang relevan, selain memperbaiki proses perkongsian data.

"Rangkaian Masyarakat Setempat pertama menyediakan sokongan yang menyeluruh. Sekolah-sekolah dan agensi masyarakat di Boon Lay dan kawasan Jurong West sedang melaksanakannya bulan ini," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee.

"Agensi-agensi Pemerintah dan rakan-rakan masyarakat akan berkongsi data antara satu sama lain bagi mengenal pasti belia yang berisiko dan mengukuhkan penyelarasan dengan lebih baik."

BELIA HULURKAN TANGAN BANTU RAKAN SEBAYA BERISIKO

Bagi membantu golongan itu, kumpulan belia sendiri tampil untuk membantu mereka dengan menyertai Kumpulan Penasihat Belia.

"Pada saya, jikalau anak tidak mendapat sokongan daripada ibu bapa, mereka akan rasa tersingkir daripada keluarga itu. Maka sokongan ibu bapa sangat penting," ujar Nur Afikah Norazmi, seorang anggota kumpulan penasihat belia.

"Dari dialog ini, saya dapat fahami program-program yang dianjurkan oleh agensi-agensi lain. Saya harap saya dapat bekerjasama kerana saya rasa dengan bersatu-padu, kita akan dapat menyelesaikan masalah ini untuk remaja-remaja yang berisiko," jelas Muhammad Asyraf Chumino, seorang lagi anggota kumpulan penasihat belia.

Kumpulan belia tersebut turut membantu menyemak dasar-dasar bagi terus menolong golongan belia yang disasarkan itu. 

- CNA/HA/fz

Top