Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah aduan dera kanak-kanak, warga emas bertambah sejajar kesedaran lebih tinggi: MSF

Jumlah penderaan terhadap kanak-kanak dan warga senja sepanjang lima tahun lalu menunjukkan trend meningkat, menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Muhamamad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah aduan dera kanak-kanak, warga emas bertambah sejajar kesedaran lebih tinggi: MSF

Gambar Hiasan. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 11 Feb 2019 03:46PM Dikemas Kini : 11 Feb 2019 03:58PM

SINGAPURA: Jumlah penderaan terhadap kanak-kanak dan warga senja sepanjang lima tahun lalu menunjukkan trend meningkat, menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Meskipun tidak mendedahkan bilangan bagi setiap tahun, beliau berkata Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak MSF menyiasat secara purata 600 kes penderaan anak setiap tahun sepanjang lima tahun lalu. Sejak Khidmat Perlindungan Dewasa ditubuhkan pada 2015, MSF secara purata menyiasat 78 kes setahun berhubung warga emas berusia 65 ke atas, kata Dr Faishal.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada AP GRC Ang Mo Kio Intan Azura Mokhtar berhubung jumlah kes dera anak dan dera warga tua yang dilaporkan setiap tahun dan soalan susulan oleh AP Parti Pekerja (WP) Faisal Manap sama ada terdapat trend menunjukkan kenaikan atau penurunan.

Dr Faishal menjelaskan peningkatan jumlah kes itu disebabkan oleh kesedaran lebih tinggi bahawa mangsa-mangsa penderaan tidak sepatutnya berdiam diri.

"Hasil usaha kami untuk meningkatkan kesedaran dan kaedah yang digunakan pihak-pihak yang terlibat (dalam membantu) bidang ini, orang ramai lebih mudah mengenal pasti kes-kes tersebut dan melaporkan apa-apa yang tidak kena," kata Dr Faishal.

MSF sedang melatih para pendidik, karyawan jagaan kesihatan, kaunselor dan pekerja khidmat sosial untuk menajamkan kaedah yang digunakan untuk memberi respons dan mendampingi golongan terjejas oleh penderaan, tambah beliau.

Dr Intan juga bertanya apakah jenis-jenis penderaan yang lazimnya berlaku kepada kanak-kanak dan warga emas, dan apakah hubungan kekeluargaan antara pendera dengan mangsa.

Hampir 90 peratus pesalah dalam kes penderaan kanak-kanak yang disiasat MSF adalah ahli keluarga sendiri, melibatkan seorang ibu bapa kandung atau tiri. Dalam kalangan kes penderaan warga senja, 80 peratus pesalah adalah ahli keluarga termasuk anak-anak dan pasangan mereka, kata Dr Faishal. Kebanyakan kes dera bagi kanak-kanak dan warga emas melibatkan penderaan fizikal atau pengabaian, tambah beliau.

"MSF akan terus bekerjasama dengan keluarga-keluarga dan rakan sokong masyarakat untuk memastikan keselamatan setiap individu," kata Dr Faishal.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan