Images
  • Judika main
    Penyanyi pop Indonesia, Judika meraih empat anugerah dalam Anugerah Planet Muzik 2018. (Gambar: Mediacorp Suria) 

Judika menang besar APM 2018; Rossa terima penghargaan

BERITAmediacorp: Penyanyi pop Indonesia, Judika menjadi pemenang terbesar Anugerah Planet Muzik (APM) tahun ini apabila beliau meraih empat anugerah iaitu bagi Lagu Terbaik APM, Lagu Terbaik (Indonesia), Artis Terbaik (Lelaki) dan Kolaborasi Terbaik (Artis) bagi duetnya dengan penyanyi legenda Malaysia, Siti Nurhaliza.


Gambar Siti Nurhaliza dan Judika. (Gambar: Mediacorp Suria)

Anugerah disampaikan di acara penuh gilang-gemilang di MES Theatre, Mediacorp pada Jumaat (28 Sep).


Gambar penyanyi tanah air, Sufi Rashid. (Gambar: Mediacorp Suria)

Penyanyi tempatan, Sufi Rashid dan penyanyi Malaysia Khai Bahar masing-masing membawa pulang dua anugerah. Sufi Rashid menang anugerah bagi Lagu Paling Popular (Singapura) dan Artis Paling popular (Singapura) menerusi lagunya Aku Sendiri.

Khai Bahar turut digelar sebagai Artis Paling Popular APM buat dua tahun berturut-turut. Beliau juga membawa pulang Anugerah Ikon Media Sosial yang dimenangi Ayda Jebat sebelum ini.

Pada tahun ini pula, Ayda Jebat memenangi Anugerah Lagu Terbaik (Malaysia) bagi single terbarunya, Mata.

Isyana Sarasvati digelar sebagai Artis Terbaik (Wanita). Calon-calon lain bagi kategori itu termasuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Raisa.

Anugerah Kumpulan Terbaik dimenangi Sheila on 7 bagi lagu terbarunya, Film Favorit.


Gambar penyanyi Brunei, Jaz. (Gambar: Mediacorp Suria)

Antara mereka yang memenangi anugerah pertama APM dalam acara malam semalam (28 Sep) termasuk Jaz dari Brunei, GAC, Sara Fajira dan Adrian Khalif dari Indonesia serta Haqiem Rusli dari Malaysia dan penyanyi tempatan, Farhan Shah. 


Gambar ratu pop Indonesia, Rossa. (Gambar: Mediacorp Suria)

Anugerah Planet Muzik 2018 lebih istimewa dengan memberikan penghargaan kepada ratu pop Indonesia, Rossa.

Digelar sebagai salah seorang penyanyi Indonesia paling berpengaruh, Sri Rossa Roslaina Handiyani yang juga dikenali sebagai Te' Ocha atau Dato' Rossa diberikan Anugerah Khas Planet Muzik, atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang rakaman muzik.

Selain di Indonesia, penyanyi yang membawakan lagu-lagu seperti Aku Bukan Untukmu dan Ayat Ayat Cinta dengan lebih 10 juta rekod dijual di merata dunia, turut mengeluarkan album-album popularnya di Asia Tenggara dan Jepun.

Secara keseluruhannya, 18 anugerah disampaikan kepada para artis dan bakat terbaik dan popular dalam industri muzik Melayu serantau. Acara anjuran bersama Mediacorp Suria, stesen radio Warna 94.2FM dan Ria 89.7FM, diadakan buat kali ke-17. Ia dihoskan oleh Fiza O (Singapura), Daniel Mananta (Indonesia) dan Nabil (Malaysia). 

- BERITAmediacorp/AI/ai

Top