Images
  • dr hadijah

Jubli Emas NJC: Dr Hadijah kongsi pengalaman manis 44 tahun lalu

SINGAPURA: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Menyandang jawatan sebagai Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia di NIE/NTU dan turut dikenali sebagai seorang tokoh akademik, Dr Hadijah Rahmat pulang ke sekolah pos-menengahnya, Maktab Rendah Nasional (NJC) setelah 44 tahun tidak menjejakkan kakinya di sini.

Sebagai seorang alumni yang bersekolah di kampus lama di Linden Campus, Dr Hadijah berkongsi dua kenangan manis yang tidak dapat dilupakannya.

"Pertama, pengalaman perjalanan dari rumah saya di Kampung Haji Salam.

"Nak keluar dari kampung sahaja 15 minit, kemudian naik bas ke Bukit Timah baru sampai. Jadi perjalanannya lebih kurang satu jam setengah, balik pun begitu, agak mencabar," kongsi beliau.

Dr Hadijah yang berasal dari sekolah aliran Melayu turut berkongsi pengalaman bergaul bersama pelajar dari pelbagai kaum sebagai kenangan paling manis sepanjang dua tahun di NJC.

"Apabila saya datang ke maktab ini, suasananya sudah berubah sebab tiba-tiba sekarang kita belajar dalam satu kelas bersama dengan pelajar-pelajar berlainan aliran, lain bangsa, lain budaya jadi untuk pelajaran matematik, ekonomi, pendidikan jasmani, kita bersama-sama.

"Jadi, saya rasa dunia saya bertukar dari dunia kampung dengan lingkungan Melayunya sahaja, sekarang kita terdedah dengan dunia yang budaya yang lain bahasa dan kebudayaan pelbagai.

"Ini merupakan satu pengalaman sosial yang luas yang membuka jendela, mata dan juga perspektif saya terhadap kehidupan di Singapura," kongsinya lagi.

Selain Dr Hadijah alumni NJC lain termasuk Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong.

Beberapa pemimin masyarakat Melayu juga mendapatkan pendidikan di situ, antaranya ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli, Mantan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Encik Hawazi Daipi.

KEPERIBADIAN TERBENTUK DI NJC

Dr Hadijah yang menggenggam ijazah Doktor Falsafah dari Universiti London pada 1996 berkata cita-citanya untuk mencapai pendidikan tertinggi sebenarnya terbentuk di maktab rendah ini.

Beliau akur moto sekolah tersebut "berkhidmat dengan kehormatan" menjadi pembakar semangat untuk dirinya memberikan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Keyakinan diri saya itu dikukuhkan di sini, kemudian satu lagi ialah kesedaran terhadap tanggungjawab terhadap negara itu juga dibentuk di sini, selain daripada tanggungjawab terhadap masyarakat, keluarga.

"Tetapi, di sini kerana pendedahan bercorak nasional, pendedahan kepada pelbagai bangsa, jadi saya rasa timbul kesedaran untuk berbakti kepada negara," kata beliau.

Yang pasti meskipun singkat, ternyata kesan pendidikan di maktab rendah ini amat mendalam.

"Walaupun dua tahun tapi kesannya, impaknya amat besar kepada diri saya," kongsinya. 

- BERITAmediacorp/tq

Top