Images
  • hdb flat 1
    Keretakan pada jubin lantai di flat HDB yang terletak di Punggol Drive dan Bukit Panjang. (Gambar: John Choo, Zul Effandy) 

Jubin lantai flat HDB 'meletup' di beberapa kawasan S'pura

SINGAPURA: Para penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di beberapa kawasan di Singapura mengadu tentang "jubin lantai yang meletup-letup" di rumah mereka pada hujung minggu lalu.

Kejadian itu dilaporkan di kawasan Punggol, Sengkang, Bukit Panjang, Woodlands, Hougang dan Jurong West.

Encik Bobin Thomas, isteri beliau serta dua lagi anak mereka terbangun selepas mendengar bunyi jubin lantai satu persatu "meletup" di bahagian ruang tamu flat mereka di Block 638A Punggol Drive pagi semalam (14 Jan).

Encik Thomas memberitahu Mediacorp bahawa beliau dan isteri ternampak jubin lantainya membengkok ke dalam. Mereka segera meninggalkan rumah bersama anak perempuan dan lelaki mereka yang masing-masing berusia dua dan tujuh tahun.

"Jubin lantai mula membengkok ke dalam satu persatu seolah-olah ada kuasa ghaib. Ia seperti apa yang anda tonton dalam filem," kata Encik Thomas.

"Kami memanggil anak-anak lalu meninggalkan flat kami," kata jurutera IT berusia 35 tahun itu.

Sedang mereka keluar dari rumah, Encik Thomas berkata jubin lantai yang dipijak bergoyang dan "tenggelam" sedikit.

"Pada masa itu, kami hanya berfikir bangunan akan roboh.Tetapi, kami sedar bahawa hanya unit kami yang terjejas kerana tiada seorang pun jiran kami meninggalkan rumah mereka," kata Encik Thomas.

Encik Thomas, yang menyewa flat tersebut kemudian memberitahu pemiliknya, yang kemudian menghubungi HDB.


(Gambar: John Choo)

Perkara yang serupa juga dialami oleh Encik Zul Effandy dan keluarganya.

Encik Zul, yang tinggal di Block 185, Jelebu Road di Bukit Panjang, memberitahu Mediacorp bahawa beliau bersama isterinya sedang menonton televisyen pada sekitar 8.00 malam apabila terdengar "bunyi retak" dari bawah permaidani di ruang tamu.

Bunyi itu semakin kuat sehingga pasangan itu terpaksa beralih dari tempat mereka. Apabila bunyi tersebut berhenti, mereka menarik permaidani dan mendapati jubin lantai yang "meletup".

"Kami bimbang. Saya khuatir kalau ia akan berlaku lagi. Kami tidak tidur nyenyak malam itu," tambah beliau.

Encik Zul mengatakan bahawa ini kali pertama jubin lantai rumahnya retak sejak beliau pindah pada 2000.

Mediacorp sudahpun menghubungi HDB, Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang untuk mendapatkan komen.

Encik Tan Chim Hoon, seorang penasihat di Persatuan Kontraktor dan Pembekal Bahan Singapura, mengatakan bahawa mutu kerja yang kurang baik mungkin punca keretakan yang berlaku. Namun, cuaca sejuk juga antara faktor yang mungkin menyebabkan perkara ini berlaku.

"Sekarang, cuaca kadang kala sangat sejuk dan kadang sangat panas. Dan ada sedikit gegaran. Jadi ini menyebabkan jubin lantai tidak mempunyai ruang untuk berkembang. Oleh sebab itu, jubin lantai bergelembung," katanya.  

- CNA/AQ/aq

Top