Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jualan rumah privet baru di S'pura kembali rancak; naik 9% pada Okt

Penjualan rumah privet baru di Singapura meningkat hampir sembilan peratus pada Oktober setelah mengalami kemerosotan sepanjang dua bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet baru di S'pura kembali rancak; naik 9% pada Okt

(Gambar: Facebook/Normanton Park)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 04:31PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 04:41PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura meningkat hampir sembilan peratus pada Oktober setelah mengalami kemerosotan sepanjang dua bulan.

Tidak termasuk kondominium eksekutif, para pemaju menjual 909 buah rumah privet bulan lalu, naik daripada 834 pada bulan September, menurut data yang didedahkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (15 Nov).

Penjualan turut meningkat hampir 39 peratus berbanding Oktober 2020, yang mana 654 rumah privet dijual.

Syarikat pemaju hartanah melancarkan sebanyak 661 unit pada Oktober, jumlah yang lebih kecil berbanding bulan sebelumnya. Tiada projek kondominium eksekutif baru dilancarkan.

Penjualan keseluruhan rumah privet baru, termasuk kondominium eksekutif, merosot 19.4 peratus dari bulan ke bulan, daripada 1,296 ke 1,045.

Sekalipun demikian, jumlah itu adalah jualan yang tertinggi pada Oktober sepanjang lima tahun lalu, menunjukkan daya tahan pasaran hartanah, kata Naib Presiden Kanan OrangeTee & Tie, Christine Sun.

PROJEK PALING LARIS

Sebahagian besar rumah yang dijual terletak di Kawasan Luar Pusat Bandar (OCR), di mana 347 urus niaga dijalankan. Sebanyak 281 rumah privet dijual masing-masing di Kawasan Tengah Bandar (CCR) dan Baki Kawasan Bandar (RCR).

Momentum pembelian dirangsang sambutan bagi Jervois Mansion yang hampir habis dijual pada hujung minggu pembukaannya, kata Pengarah Kanan Huttons, Lee Sze Teck.

Parc Greenwich, Normanton Park, Dairy Farm Residences, The Jovell, The Florence Residences and Parc Clematis melengkapi senarai projek yang paling laris pada bulan Oktober.

Sentimen pasaran dijangka terus meningkat, dengan permintaan yang menjangkaui bekalan dalam setiap pasaran, tambah Cik Sun.

Beliau menarik perhatian bahawa bekalan rumah-rumah baru dijangka berkurangan tahun depan, dengan bilangan jualan en bloc yang lebih rendah pada tahun-tahun lalu dan bilangan "sederhana" bidang tanah yang dijual di bawah program penjualan tanah pemerintah.

"Memandangkan bekalan perumahan terhad, ramai pembeli kini membuat pembelian kerana bimbang harga akan terus naik dan pilihan rumah terhad pada masa hadapan," kata Cik Sun.

Pembelian oleh warga asing juga meningkat kepada hampir tujuh peratus pada Oktober dan minat mungkin bertambah sedang Singapura melancarkan lebih banyak Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan lebih banyak negara, kata juruanalisis Ohmyhome, Mohan Sandrasegeran.

"Kami menjangkakan Singapura akan bertahap-tahap kembali sebagai destinasi yang terbaik bagi pemerolehan hartanah dan pelaburan," tambah Encik Mohan.

Penjualan rumah privet baru pada 10 bulan pertama 2021 mencecah 10,918. Ini menjangkaui penjualan tahunan sepanjang tiga tahun lalu, kongsi Cik Sun.

Para penganalisis menjangkakan pasaran perumahan privet akan tutup tinggi antara 12,000 dengan 13,000 jualan.

Bagaimanapun, tempoh "penjualan lancar dan rancak" mungkin tidak akan menjangkaui 12 bulan mendatang, memandangkan kadar pinjaman dalam negeri dijangka meningkat pada separuh kedua 2022, menurut Ketua Kajian Knight Frank Singapore, Leonard Tay.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan