Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

JTC terima "tanggungjawab penyeliaan" bagi kawasan tanah Kranji

Kawasan tanah yang ditebang itu diperuntukkan untuk pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan. Ia terletak di kawasan hijau penting di sepanjang Koridor Rel.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Feb 2021 08:46PM Dikemas Kini : 22 Feb 2021 11:42PM

SINGAPURA: Perbadanan JTC hari ini (22 Feb) menerima "tanggungjawab penyeliaan" dalam kes di mana sebahagian kawasan hutan Kranji "tersilap" dibersihkan, sambil menambah ia sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas proses-prosesnya untuk menentukan penyebab kesilapan itu.

Pada Selasa lalu (16 Feb) agensi itu menyatakan sebahagian kawasan hutan Kranji "tersilap dibersihkan" oleh kontraktor sebelum satu kajian penilaian alam sekitar diselesaikan, mengundang kritikan daripada para pejuang alam sekitar.

Kawasan tanah yang ditebang itu diperuntukkan untuk pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan. Ia terletak di kawasan hijau penting di sepanjang Koridor Rel.

Dalam satu sidang media hari ini, JTC menyatakan tapak yang hendak dibangunkan itu seluas 25 hektar, yang mana kawasan seluas 11.9 hektar sudah dibersihkan manakala baki 13.1 hektar masih tidak disentuh.

Khususnya, berdasarkan dapatan awal, kawasan yang tersilap ditebang itu seluas 4.5 hektar atau sama dengan saiz enam padang bola sepak.

CEO JTC Corp, Tan Book Kai berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana kawasan itu secara tidak sengaja telah dibersihkan, dengan kerjasama penuh pihak-pihak terlibat untuk membangunkan tapak tersebut.

"Walau apa pun, sebagai pemaju projek itu, JTC bertanggungjawab atas tapak tersebut. Kami tidak lari daripada memikul tanggungjawab ini. Kami tidak akan mahupun berniat (untuk lari)," kata Encik Tan.

"JTC kini sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas proses-proses dan prosedur untuk meneliti sama ada terdapat kekurangan yang boleh menyebabkan isu-isu yang sudah berlaku," tambah beliau.

"Apabila siasatan itu selesai, kami pasti akan melihat bagaimana kami boleh memperbaikinya. Kami berusaha untuk melakukan lebih baik. Kami akui bahawa kami boleh melakukan lebih baik, dan kami harus melakukannya."

TANAH SEMAK-SAMUN

Tapak itu, yang merupakan kawasan bagi sebahagian laluan kereta api KTM, tidak memerlukan Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) memandangkan ia "tidak terletak berhampiran mana-mana kawasan alam sekitar yang sensitif", menurut JTC.

Sebahagian besar tapak itu meliputi kawasan "semak samun yang tidak digunakan" dengan beberapa pokok besar, yang kebanyakannya merupakan pokok Albizia, tambahnya.

JTC menambah tanah it sekarang ditumbuhi semula pokok bukan tempatan, Alibizia. Pokok-pokok itu tumbuh mekar selepas khidmat kereta api dihentikan dan tanah itu dikembalikan kepada Singapura pada 2011.

Memberikan garis masa pembangunan itu JTC menyatakan meskipun EIA tidak diperlukan, kajian dasar kepelbagaian flora diselesaikan pada Julai 2019.

Tinjauan lanjut dasar itu serta Program Pemantauan dan Pengurusan Sekitaran (EMMP) kemudian diperlukan pada Ogos 2020.

Ini kerana saliran air baru, yang disarankan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan tersebut, akan menyalurkan air ke dalam Sungei Pang Sua, mewujudkan risiko pencemaran yang disebabkan oleh aliran mendapan.

  • 2 Mei 2019: Khidmat CPG Consultants (CPG) diambil untuk meneruskan kerja-kerja perancangan dan rekaan.
  • 22 Julai 2019: CPG menyerahkan Pelan Pembangunan kepada NParks bagi penebangan pokok dengan pelan tinjauan pokok.
  • 29 Julai 2019: CPG selesai kajian dasar kepelbagaian flora
  • 29 Ogos 2019: NParks keluarkan Arahan Bertulis untuk meluluskan permintaan mendesak CPG bagi penebangan pokok di plot 4,5 dan 9.
  • 2 Mac 2020: Dengan kelulusan itu, kerja-kerja membersihkan kawasan dimulakan bagi plot 9.
  • 21 Ogos 2020: Penyerahan semua Pelan Pembangunan CPG menunjukkan saliran air yang baru akan mengalirkan air ke dalam Sungei Pang Sua. NParks kemudian meminta EMMP dan kajian dasar fauna dijalankan.
  • Ogos - September 2020: Penebangan diteruskan bagi plot 8, 10-1, 10-7 dan jalan 2, sementara kajian dasar fauna dijalankan.
  • 29 September 2020: NParks meluluskan Pelan Pembangunan bagi kerja-kerja menebang pokok, tertakluk kepada syarat-syarat EMMP dan kajian fauna.
  • 3 November 2020: CPG meminta NParks kebenaran untuk melakukan kerja-kerja penebangan di lebih banyak plot. Ia hanya meluluskan kerja-kerja pembersihan di sebahagian plot.
  • 15 Disember 2020: Plot 4 dan 5 mula dibersihkan berdasarkan kelulusan dari Ogos 2019.
  • 23 Disember 2020: Khidmat perunding diperolehi bagi kajian dasar fauna dan EMMP.
  • Hujung Disember 2020 hingga 13 Januari 2021: Kontraktor meneruskan kerja-kerja menebang di kawasan seluas 4.5 hektar.
  • 13 Januari 2021: Pengurus projek JTC mendapat tahu tentang penebangan tersebut. Semua kerja-kerja penebangan dihentikan dengan segera dan JTC memulakan siasatan dalaman.
  • 15 Januari 2021: Amaran tegas dikeluarkan kepada kontraktor. Siasatan masih dijalankan.
  • 16 Februari 2021: JTC mengeluarkan kenyataan media dan kontraktor memohon maaf.

APA YANG AKAN BERLAKU SEKARANG?

Semua kerja di tapak itu terus digantung, menurut JTC.

Ia menambah kajian dasar fauna dan EMMP dijangka selesai menjelang April 2021.

Selepas itu, JTC menyatakan ia akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan berhubung dapatan kajian itu. Keputusannya juga akan dikongsi dengan masyarakat umum.

Secara berasingan NParks sedang menjalankan siasatan untuk meneliti sama ada terdapat pelanggaran Akta Taman dan Pokok serta Akta Hidupan Liar.

Pesuruhjaya Taman dan Riadah di NParks, Dr Leong Chee Chiew, menekankan bahawa andaian mengenainya tidak boleh dibuat kerana hukuman di bawah undang-undang itu "bukan kecil", dengan jumlah denda sehingga S$50,000 dan penjara enam bulan.

Selain siasatan oleh JTC dan NParks, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing serta Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee sudah mengarahkan semakan dibuat terhadap kerja-kerja penyelarasan antara agensi. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan