Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Josephine Teo ikrar tingkatkan piawai asrama pekerja asing selepas COVID-19 reda

Piawai asrama-asrama pekerja di sini perlu dipertingkatkan, akur Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Isnin (6 April) sambil berikrar akan menumpukan perhatian kepada isu itu selepas wabak COVID-19 berakhir.

Anggaran Waktu Membaca:
Josephine Teo ikrar tingkatkan piawai asrama pekerja asing selepas COVID-19 reda

Dormitori S11 di Punggol (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 07 Apr 2020 10:19AM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 10:29AM

SINGAPURA: Piawai asrama-asrama pekerja di sini perlu dipertingkatkan, akur Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Isnin (6 April) sambil berikrar akan menumpukan perhatian kepada isu itu selepas wabak COVID-19 berakhir.

Dalam catatan di Facebooknya, Cik Teo berkata setiap kali Kementerian Tenaga Manusia (MOM) cuba meningkatkan taraf penginapan asrama di sini, ia akan menghadapi bantahan daripada pihak majikan disebabkan oleh kos tambahan yang timbul daripada langkah tersebut.

"Bagaimanapun, saya berharap episod COVID-19 dapat menunjukkan kepada para majikan dan orang ramai bahawa meningkatkan piawai di asrama pekerja bukan sahaja perkara yang memang wajar dilakukan tetapi juga demi kepentingan kita sendiri. Kita sepatutnya bersedia menerima kos yang tinggi seiring dengan piawai yang lebih tinggi," kata Cik Teo.

Isu asrama pekerja di sini mendapat perhatian selepas dua asrama, Dormitori S11 @ Punggol di Seletar North Link dan Dormitori Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East, diwartakan sebagai "kawasan pengasingan" pada Ahad selepas menyaksikan peningkatan pada jumlah kes COVID-19 yang dikaitkan dengan kedua-dua tempat itu.

Para pekerja di asrama-asrama tersebut diarahkan supaya jangan keluar bilik selama 14 hari mulai Ahad, dengan makanan disediakan untuk mereka.

The Straits Times kemudian melaporkan bahawa para pekerja di asrama tersebut hidup dalam keadaan yang tidak bersih dan diberikan makanan pada jadual yang tidak menentu.

Dalam catatannya, Cik Teo menarik perhatian bagaimana keadaan tempat tinggal pekerja sudah bertambah baik. Walaupun majikan sebelum ini pernah menempatkan pekerja mereka di tapak kerja tanpa kawal selia, kini terdapat 43 asrama yang sudah dibina khas.

Sungguhpun demikian, Cik Teo memberikan jaminan bahawa kementeriannya akan menangani perkara itu dan menggesa rakyat Singapura supaya jangan "menuding jari" ke arah pasukannya bagi memastikan ia tidak akan melemahkan semangat mereka untuk terus memberi tumpuan kepada usaha membendung penularan COVID-19 di asrama-asrama pekerja.

"Ayuh kita atasi cabaran penting ini semasa 'pemutus rantaian jangkitan' ini dan kemudian kita boleh menangani masalah ini dengan cara yang lebih tertumpu. Saya berjanji kepada anda," katanya.

TEMPAT TINGGAL LEBIH BERSIH, MAKANAN MENCUKUPI UNTUK PEKERJA

Dalam maklumannya pada Isnin, MOM menyatakan bahawa pihaknya sedang meningkatkan kerja-kerja pembersihan dan memastikan makanan yang mencukupi disediakan untuk hampir 20,000 pekerja yang dikuarantin di kedua-dua asrama tersebut.

Akur bahawa terdapat "cabaran pada awalnya", kementerian itu menyatakan bahawa ia sedang mengambil langkah-langkah untuk memastikan agar keperluan dan kesejahteraan pekerja asing yang tinggal di kedua-dua asrama itu dijaga dengan baik.

Sementara itu, pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan kes-kes yang disahkan sebelum ini sudahpun dikuarantin secara berasingan, dengan pondok perubatan dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk merawat pekerja yang tidak sihat.

NGO GESA TEMPAT TINGGAL LEBIH BAIK, PEMERIKSAAN BERAMAI-RAMAI

Pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) sebelum ini menarik perhatian kepada bagaimana asrama sedemikian boleh menjadi tempat penularan virus korona, terutama sekali kerana ramai pekerja yang tinggal berdekatan antara satu sama lain.

Encik Cai Yinzhou, pengarah Citizen Adventures, yang menjadakan lawatan di kawasan-kawasan seperti Geylang untuk memahami isu-isu sosial yang dihadapi masyarakat terpinggir seperti pekerja asing, mengatakan bahawa terdapat ketidakpastian dalam kalangan pekerja di sini.

Menurut beliau, sebahagian daripada mereka membangkitkan keprihatinan mengenai sama ada mereka akan dibayar gaji walaupun mereka mesti berkurung di asrama mereka mulai Selasa, sejajar dengan arahan untuk semua orang dalam perkhidmatan tidak penting untuk duduk di rumah.

Ada juga yang menyuarakan kebimbangan jika mereka terus menginap di asrama mereka, maka virus itu boleh terus menular bagi tempoh yang panjang, kata Encik Cai yang berusia 30 tahun.

Dalam kenyataan di laman webnya Jumaat lalu, Transient Workers Count Too (TWC2) menggesa agar penginapan yang lebih baik disediakan untuk para pekerja.

Badan itu menyatakan bahawa meletakkan 12 hingga 20 orang di dalam satu bilik asrama menjadikan jarak selamat satu idea yang "tidak masuk akal" dan menggesa ruang bagi setiap orang di dalam bilik dinaikkan sekurang-kurangnya seganda, dengan tidak lebih daripada empat orang di dalam sesebuah bilik.

TWC2 juga menyarankan untuk menjadikan tempat letak kereta kosong di Lapangan Terbang Changi atau Changi Expo untuk dijadikan tapak bagi menempatkan pekerja asing atau meletakkan mereka di berek tentera yang tidak lagi digunakan.

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Migrasi (HOME), yang menyokong hak asasi pekerja asing di sini, menggesa agar pemeriksaan secara beramai-ramai dijalankan ke atas para penghuni di tempat tinggal pekerja yang disahkan berlaku kes jangkitan.

"Kami akur terdapat kekangan sumber bagi pemeriksaan beramai-ramai. Namun kepadatan dan risiko yang tinggi di asrama-asrama besar memerlukan tindakan awal yang pantas," menurut kenyataannya pada Isnin.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan