Images
  • jolovan
    (Gambar: Reuters)

Jolovan Wham minta maaf atas dakwaan Menteri MOM 'makan suap'

SINGAPURA: Aktivis Jolovan Wham meminta maaf kerana menuduh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo menerima rasuah berhubung pembinaan kemudahan jagaan masyarakat COVID-19.

Dalam catatan Facebooknya pada Jumaat (22 Mei), Encik Wham mengongsi pernyataan maaf, yang mengakui bahawa tuduhan itu adalah "palsu dan tidak berasas sama sekali".

Merujuk kepada catatan Facebook yang dimuat naik pada 16 Mei, Encik Wham mendakwa Cik Teo "bertindak dengan tidak sepatutnya dan menerima rasuah berhubung pembinaan tempat penginapan darurat oleh Surbana Jurong".

"Saya meminta maaf sepenuhnya kepada Cik Josephine Teo kerana membuat tuduhan itu," katanya pada Jumaat.

"Saya sudah menurunkan kenyataan itu dan berjanji tidak akan menerbitkan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu ini, atau membuat sebarang dakwaan dengan kesan serupa, dalam apa cara sekalipun."

Ini setelah pengguna Facebook Donald Liew memuat naik pernyataan maaf yang serupa kepada Cik Teo, dan mengaku bahawa dakwaan itu adalah "palsu dan tidak berasas".

Kedua-dua lelaki itu diberikan surat tuntutan oleh peguam Cik Teo pada awal minggu ini, yang menuntut mereka supaya menarik balik tuduhan itu secara terbuka.

Suami Cik Teo, Encik Teo Eng Cheong adalah Ketua Eksekutif (Antarabangsa) Surbana Jurong.

Syarikat milik Temasek itu terlibat dalam pembinaan kemudahan jagaan masyarakat di Singapore Expo dan Pusat Pameran Changi. Kemudahan itu menempatkan para pesakit COVID-19 yang mengalami simptom ringan atau tidak bergejala, atau pesakit beransur pulih yang dibenarkan keluar hospital.

Cik Teo sebelum ini berkata bahawa tuduhan mengaut keuntungan dan menerima rasuah yang dilemparkan terhadap beliau dan suaminya adalah "tidak benar, berniat untuk merosakkan nama baik dan sama sekali tidak berasas".

"Mengenai projek-projek ini, Surbana Jurong berurusan secara langsung dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

"Suami saya mahupun saya sendiri tidak terlibat dalam mana-mana proses menawarkan projek itu atau urus niaga kewangannya." kata Cik Teo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi firma guaman Allen & Gledhill pada Rabu (20 Mei).

Kenyataan itu juga menyatakan Encik Wham dan Encik Liew perlu mendermakan S$1,000 setiap seorang kepada Dana Sokongan Pekerja Asing.

Encik Wham dan Encik Liew belum lagi menyatakan sama ada mereka sudah membuat sumbangan derma atau merancang berbuat demikian.

Mediacorp sudah menghubungi Allen & Gledhill untuk menanyakan sama ada Encik Liew dan Encik Wham sudah menderman kepada pertubuhan tersebut.

- CNA/HA/ha

Top