Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jolovan Wham didapati bersalah anjur perhimpunan awam tanpa permit, enggan tandatangan kenyataan polis

Aktivis Jolovan Wham didapati bersalah pada Khamis (3 Jan) kerana menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit dan enggan menandatangani kenyataan polis berhubung acara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Jolovan Wham didapati bersalah anjur perhimpunan awam tanpa permit, enggan tandatangan kenyataan polis

Jolovan Wham di luar Mahkamah Negara pada 13 Dis. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 10:15PM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 10:17PM

SINGAPURA: Aktivis Jolovan Wham didapati bersalah pada Khamis (3 Jan) kerana menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit dan enggan menandatangani kenyataan polis berhubung acara itu.

Wham, 39 tahun, menganjurkan acara 'Civil Disobedience and Social Movements' (Keingkaran Awam dan Gerakan Sosial) di The AGORA di Sin Ming Lane pada 26 Nov 2016.

Dalam acara tersebut, aktivis Hong Kong Joshua Wong Chi-Fung menyampaikan satu ucapan secara langsung menerusi panggilan video. Turut menyampaikan ucapan ialah aktivis Kirsten Han dan Seelan Palay.

Mahkamah diberitahu, Wham meneruskan acara itu meskipun beliau diberitahu oleh seorang pegawai polis bahawa dia memerlukan permit kerana Encik Wong seorang warga asing.

Apabila pengawai penyiasat mengambil keterangan Wham pada 20 Dis tahun itu, dia mengesahkan bahawa ia benar dan tepat tetapi enggan menandatangani kenyataan itu, sambil mengatakan bahawa dia hanya akan menandatanganinya jika dia diberi satu salinan.

Meskipun diberitahu bahawa tindakannya yang enggan menandatangani kenyataan itu merupakan satu kesalahan, Wham masih enggan melakukannya.

Hakim Daerah Kessler Soh berkata keputusan Wham untuk tidak menandatangani kenyataan itu tidak "wajar".

"Saya tidak mendapati pihak pembela mengemukakan pembelaan yang sah," katanya.

Perbicaraan itu dihadiri rakan-rakan dan penyokong Wham, termasuk Han dan Daniel De Costa, yang didakwa pada Disember atas tuduhan menulis satu rencana berunsur fitnah yang dihantar kepada The Online Citizen.

Wham didapati bersalah atas tuduhan menghina mahkamah pada Oktober tahun lalu kerana menulis satu catatan Facebook, yang mendakwa bahawa hakim-hakim Malaysia lebih bebas berbanding hakim-hakim di Singapura bagi kes-kes dengan implikasi politik.

Dia akan kembali ke mahkamah pada 23 Jan untuk hukuman dijatuhkan ke atas sabitan kesalahan terbaru.

Atas kesalahan mengadakan perhimpunan awam tanpa permit, dia boleh didenda sehingga S$5,000.

Bagi kesalahan enggan menandatangani kenyataan polis pula, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan