Images
  • jolovan wham
    (Gambar: AFP)

Jolovan Wham akan didakwa kerana anjur bantahan haram

SINGAPURA: Pekerja sosial dan aktivis Jolovan Wham akan didakwa di mahkamah pada Isnin (23 Nov) kerana mengadakan bantahan tanpa permit di kawasan larangan.

Dalam kenyataannya, polis turut mendedahkan pada Sabtu (21 Nov) bahawa pada 28 Mac, Wham, 40 tahun, dipercayai mengadakan bantahan tanpa permit berdekatan Kelab Masyarakat Toa Payoh Central dan Pusat Polis Kejiranan Toa Payoh.

Wham kemudian memuat naik gambar dirinya memegang sekeping kadbod dengan lukisan senyuman sebagai tanda sokongan kepada para aktivis perubahan iklim. Dalam catatan Facebook itu, Wham berkata bahawa dia "memegang kadbod berkenaan di Toa Payoh Central, mengambil gambar (berkenaan) lalu meninggalkan tempat itu tidak lama kemudian".

Tuduhan kedua pula adalah bagi kejadian yang berlaku pada 13 Dis 2018, di mana Wham didakwa menganjurkan bantahan di luar bangunan Mahkamah Negara yang lama, dan bantahan itu diadakan di dalam kawasan larangan.

Wham memuat naik sekeping gambar pada hari yang sama, yang menunjukkan dirinya berdiri di luar bangunan tersebut sambil memegang sekeping kertas yang tertera tulisan: "Gugurkan tuduhan terhadap Terry Xu dan Daniel De Costa."

Xu, yang merupakan penyunting laman The Online Citizen dan Daniel De Costa, didakwa pada hari tersebut kerana menerbitkan rencana yang mendakwa para pegawai kanan Pemerintah terbabit dengan rasuah.

Wham boleh dikenakan hukuman denda sehingga S$5,000 bagi setiap tuduhan, yang tertakluk di bawah Akta Ketenteraman Awam.

- CNA/HA/ha

Top