Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Johor rancang bangunkan sektor pertanian, eksport lebih banyak makanan ke S'pura, dedah Menteri Besar

Dalam usaha untuk bangkit semula daripada ekonomi yang terjejas akibat COVID-19, Johor berminat untuk memajukan sektor pertaniannya dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pengeksport makanan utama ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Johor rancang bangunkan sektor pertanian, eksport lebih banyak makanan ke S'pura, dedah Menteri Besar

Koswe Singapura-Malaysia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 22 Nov 2020 11:43AM Dikemas Kini : 22 Nov 2020 11:49AM

JOHOR BAHRU: Dalam usaha untuk bangkit semula daripada ekonomi yang terjejas akibat COVID-19, Johor berminat untuk memajukan sektor pertaniannya dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pengeksport makanan utama ke Singapura.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp pada Khamis (19 Nov), Menteri Besar Johor Hasni Mohammad juga ditanya tentang rancangan kerajaan Johor untuk membantu para peniaga dan penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata kerajaan Johor ingin memberi tumpuan kepada kegiatan pertanian dan mewujudkan wadah-wadah digital yang stabil supaya para penduduk tempatan boleh melibatkan diri dalam ekonomi kerja bebas.

"Saya percaya bahawa Johor selama ini mempunyai kelebihan dalam bidang pertanian dan saya mahu memperluaskannya lagi. Malah, lebih AS$20 bilion dalam bentuk produk makanan dieksport ke Singapura dan jika Johor boleh mengukuhkan kedudukannya, saya yakin industri makanan kita akan menjadi penyumbang utama ekonomi masa depan kita," kata Encik Hasni.

Produk-produk pertanian utama Johor termasuk minyak kelapa sawit, penternakan serta buah-buahan dan sayur-sayuran.

Singapura dilaporkan mengimport sekitar 37 peratus bekalan ayam dan 15 peratus ikan dari Malaysia, selain produk-produk seperti telur, sayur-sayuran dan susu.

Encik Hasni menambah bahawa dengan memperluaskan sektor pertanian, ia akan mempertingkatkan keselamatan makanan negeri tersebut. Ini juga bermakna negeri yang terletak di bahagian selatan Malaysia itu boleh bertindak sebagai "bank makanan" bagi negara-negara lain, termasuk Singapura.

Encik Hasni selanjutnya berkata, fungsi Johor sebagai bank makanan bagi Singapura akan dijadikan sebagai salah satu bidang kerjasama antara kedua-dua jiran itu.

KURANG DATA UNTUK KENAL PASTI PENDUDUK JOHOR YANG PERLU BANTUAN

Semasa mengulas tentang usaha lebih luas untuk membantu Johor bangkit semula daripada pandemik COVID-19, Encik Jasni turut mendedahkan bahawa bahawa ramai penduduk Johor diberhentikan kerja atau sedang menganggur.

Beliau berkata kerajaan negeri bertekad untuk membantu dengan menyediakan peluang kerja atau menawarkan peluang untuk untuk melatih dan mempertingkatkan kemahiran mereka.

Namun, beliau akur bahawa kerajaan Johor mungkin tidak mempunyai data yang secukupnya untuk mengumpul maklumat yang tepat mengenai penduduk yang memerlukan bantuan.

"Satu-satunya isu yang dihadapi Johor adalah kekurangan data. Kami sedia maklum bahawa semua orang terjejas oleh COVID-19, tetapi kami perlu tahu sama ada data kami merangkumi mereka yang memerlukan bantuan kami," kata Encik Hasni.

"Data yang kami ada sekarang tidak meliputi 100 peratus penduduk. Jika ia kurang daripada 50 atau 60 peratus, ini bermakna datanya tidak mencukupi. Saya perlu melakukan sesuatu kerana saya mahu mendampingi sesiapa saja yang memerlukan pertolongan dalam apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan. Jika kami mempunyai data yang lengkap dan tepat, kami boleh melakukan perancangan yang lebih baik," tambah Menteri Besar itu.

PROJEK DUA HALA JOHOR-SINGAPURA

Mengulas tentang projek-projek dua hala Singapura-Malaysia pula, Encik Hasni meluahkan rasa optimis kedua-dua projek kereta api, Laluan Sistem Transit Laju (RTS) dan Kereta Api Laju (HSR) Singapura-Kuala Lumpur, akan membawa manfaat kepada penduduk Johor apabila ia siap kelak.

Matlamat RTS adalah untuk menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura, menampung kira-kira 10,000 penumpang sejam dari setiap arah bagi membantu meredakan kesesakan di Koswe.

Pembinaan stesen Bukit Chagar dijadual bermula pada tengah hari Ahad (22 Nov) menerusi satu upacara pecah tanah yang diadakan secara maya.

"Laluan Sistem Transit Laju (RTS) adalah pengubah keadaan bagi kami kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, kami mempunyai kaedah perjalanan yang canggih dan terkini antara Malaysia dengan Singapura. Jadi saya mengalu-alukan pelancarannya dan ia akan mewujudkan pekerjaan dan merangsang ekonomi," kata Encik Hasni.

Bagi HSR pula, Encik Hasni berkata beliau optimis satu keputusan akan dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini mengenai sama ada kedua-dua belah pihak akan meneruskan fasa pembinaan.

Menurut beliau lagi, projek tersebut adalah sesuatu yang akan memberikan harapan kepada para penduduk tempatan kerana ia akan meningkatkan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi di rantau ini.

Dalam wawancara yang sama, Menteri Besar Johor itu juga menyentuh tentang Pejabat Ekonomi Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, yang dijadual akan dibuka pada suku pertama tahun depan.

Encik Hasni berkata pejabat itu akan memudahkan perniagaan-perniagaan Singapura yang berminat untuk memulakan operasi di Johor di samping menarik pelaburan untuk negeri itu.

Beliau menambah bahawa JETCO juga akan dijadikan wadah untuk para pegawai kerajaan Johor dipinjamkan ke pelbagai agensi di Singapura, supaya mereka boleh belajar dan didedahkan kepada cara-cara baru".

"Kita harus belajar daripada kisah-kisah kejayaan Singapura," kata Encik Hasni.

"Dalam bidang pengurusan air, alam sekitar, bagaimana prasarana tertentu dikendalikan
dan juga dasar-dasar perumahan," tambah beliau lagi.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan