Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jiran Melayu & Cina ini hidup rukun; bertolak ansur jalin hubungan tetangga

Di saat memerlukan, jiranlah orang yang paling dekat untuk kita meminta bantuan, lebih-lebih lagi jika berlaku kecemasan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di saat memerlukan, jiranlah orang yang paling dekat untuk kita meminta bantuan, lebih-lebih lagi jika berlaku kecemasan.

Pengalaman sedemikian rupa tatkala berlaku kecemasan amat menyentuh hati Encik Zulkifli Ismail sehinggakan ke hari ini hubungan beliau bersama dengan jirannya begitu erat dan mesra sekali.

Beberapa tahun yang lalu ketika anak kecilnya perlu berulang-alik ke hospital, jirannya, Encik Jason Yang dengan rela hati menawarkan keretanya untuk digunakan pada bila-bila masa saja.

“Dulu anak saya batuk-batuk berlendir, saya mahu panggil ambulans tetapi nanti dia akan dibawa ke NUH (Hospital Universiti Nasional) sedangkan dia sudah terbiasa ke KK (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK),” cerita beliau.

Insiden sedemikian mengingatkan Encik Zulkifli, 37 tahun, betapa pentingnya menjaga silaturahim dengan jiran tetangga tanpa mengira kaum dan agama.

JIRAN RAPAT & MESRA

Malah, sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Encik Yang bermurah hati meminjamkan keretanya kepada Encik Zulkifli untuk kunjung-mengunjung.

“Jangan buang duitlah. Pakai saja kereta ini. Isi minyak saja. Tidak perlu bayar apa-apa,” kata jirannya yang berbangsa Cina itu kepada beliau.

Meskipun rasa segan, penduduk Keat Hong Close yang bekerja sebagai teknisyen itu amat bersyukur dengan tawaran jirannya itu memandangkan kos kereta sewa “melambung tinggi” terutamanya menjelang cuti umum.

“Tak semua orang kasi pinjam kereta walaupun jiran,” tambah beliau.

Bapa dua anak itu dan jirannya adalah antara penghuni pertama flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan kejiranan mereka dengan kedua-duanya tinggal bertentangan satu sama lain.

Sepanjang lima tahun lalu, mereka mesra hidup berjiran.

Setiap Hari Raya, jika ada kelebihan, isterinya akan memasak untuk jiran mereka yang memang menggemari lauk-pauk Melayu. Anak-anak mereka pula sering bermain di koridor depan rumah dan saling menyambut hari lahir satu sama lain.

Meskipun sibuk dengan kehidupan dan keluarga masing-masing, mereka tetap mencari masa untuk bertegur sapa agar kekal erat dan muhibah.

“Kadangkala cuma bertemu bila mahu buang sampah – tempat buang sampah kita di lobi lif. Apabila kita berjumpa, kita mesti berbual,” ujar beliau.

SALING HORMAT-MENGHORMATI, BERTOLAK ANSUR

Selain mencari peluang untuk bertanya khabar, Encik Zulkifli juga berkata adalah penting untuk memupuk sikap hormat-menghormati dan bertolak ansur.

Katanya, kadangkala mungkin terdapat gangguan seperti bunyi bising. Namun, sebagai jiran yang saling memahami, tidak perlu naik berang atau membuat aduan.

“Ini semua ‘give and take’. Kadang-kadang kita buat gangguan dan kadang-kadang mereka pula buat gangguan. Tak perlu sikit-sikit mahu buat aduan,” nasihat beliau.

Ditanya pandangannya tentang insiden-insiden berbaur perkauman baru-baru ini, Encik Zulkifli menegaskan tidak ada tempat bagi sikap sedemikian dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama di Singapura.

“Tidak ada maknanya untuk bersikap diskriminasi terhadap orang lain. Jangan biarkanlah isu perkauman di Singapura. Bagi saya semua bangsa sama. Harus sama-sama dihormati,” nasihat beliau.

Sememangnya, beliau dan jirannya yang berusia 40-an tahun itu adalah antara contoh hubungan jiran tetangga yang dialu-alukan dalam masyarakat majmuk negara kita, lebih-lebih lagi sedang Singapura menyambut Hari Keharmonian Kaum baru-baru ini.

Malah, mereka juga merancang untuk terus berjiran dalam jangka panjang.

“Saya ada tanya, sama ada dia mahu berpindah atau tidak. Dia kata tidak!”, dedah Encik Zulkifli.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan