Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jiran lelaki yang maut setelah PMD terbakar dalam lif di Woodlands, dengar bunyi 'jubin pecah'

Encik Muhammad sedang berada di dalam biliknya, apabila beliau terdengar "bunyi aneh" pada lewat Khamis malam(3 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Jiran lelaki yang maut setelah PMD terbakar dalam lif di Woodlands, dengar bunyi 'jubin pecah'

Lif di mana insiden berlaku. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 12:15AM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 12:17AM

SINGAPURA: Encik Muhammad sedang berada di dalam biliknya, apabila beliau terdengar "bunyi aneh" pada lewat Khamis malam(3 Jun).

"(Saya mendengar) bunyi aneh di luar, seperti jubin pecah," katanya kepada Mediacorp.

Semasa keluar ke ruang tamu, beliau melihat asap hitam masuk ke flatnya di tingkat dua Blok 537 Woodlands Drive 16.

Melalui lubang intip di pintunya, beliau mendapati koridor di luar flat "gelap, berasap dan ada cahaya jingga". Encik Muhammad segera menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis.

Tanpa beliau sedari ketika itu, sebuah alat mobiliti peribadi (PMD) terbakar di dalam lif.

Seorang lelaki berusia 20 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami, kata polis.

"Lewat malam tadi, sebuah PMD terbakar di dalam lif di Blok 537. Ia menyebabkan kebakaran yang mencederakan penunggangnya dengan teruk dan kebakaran serius di dalam lif. Penduduk di tingkat bawah dipindahkan," kata AP Vikram Nair ( PAP-Sembawang) pada petang Jumaat.

"Dua keluarga yang melihat mangsa keluar dari lif bergegas untuk membantu memadamkan kebakaran pada tubuhnya.

SCDF kemudian bergerak pantas untuk memadamkan api di dalam lif,”tambahnya.

Encik Muhammad adalah salah satu dari dua keluarga yang membantu memadamkan api, yang berlaku pada kira-kira pukul 11.25 malam pada hari Khamis. Rumah mereka dekat dengan lif.

Selepas beliau menelefon meminta bantuan pihak berkuasa, Encik Muhammad mula menyiapkan tuala dan baldi air.

Apabila beliau keluar ke koridor, Encik Muhammad melihat polis sudah berada bersama mangsa di tangga.

"Saya dan jiran saya, kami memadamkan api di lantai (lif) sahaja," katanya.

Menurut Encik Muhammad lagi, polis meminta beliau memberitahu waris mangsa, yang tinggal di tingkat lebih tinggi mengenai kejadian itu. Ketika Encik Muhammad naik tangga beliau nampak banyak jirannya yang keluar ke koridor.

Cik Fica, yang tinggal di tingkat tiga, berkata beliau sedang berada di dalam biliknya apabila terdengar jeritan dan bunyi seakan orang "bertengkar" dan tidak mengendahkannya.

Beliau kemudian makan di ruang tamu bersama ibu bapanya.

Mereka hanya sedar kebakaran berlaku apabila asap mula memasuki rumah mereka.

"(Koridor) gelap kerana asap," kata Cik Fica, 28 tahun, kepada Mediacorp.

Mereka pada awalnya menyangka asap itu dari dapur mereka, tetapi apabila ayahnya cuba membuka pintu untuk membiarkan asap keluar, lebih banyak asap yang masuk, katanya.

Cik Teo, 70 tahun, yang juga tinggal di tingkat tiga, berkata beliau telah menutup pintu dan tingkapnya ketika pertama kali melihat asap - tetapi ia masih masuk melalui celah-celah. Cik Teo juga terbau plastik yang terbakar.

Seorang penduduk lain, Cik Rose Jabbar, 57 tahun, berkata sebaik beliau sedar ada kebakaran, beliau dengan cepat mencapai beberapa pelitup dan keluar ke tangga bersama ibu dan cucunya.

"Saya tidak mahu mereka menyedut asap," katanya, sambil menambah bahawa keadaan "sangat gelap" di tingkat kedua, kerana asapnya "sangat tebal" dan semua lampu padam.

"Beberapa orang berkata ada sesuatu yang meletup di dalam lif, ada seorang budak lelaki di dalam," katanya.

"Saya kasihan budak itu," tambahnya.

Cik Fica berkata beliau nampak mangsa dibawa ke ambulans. Kulitnya "putih" dari luka kelecuran, walaupun beliau masih bernafas, katanya.

Cik Fica - yang berkata beliau kenal ibu bapa mangsa - berkata mangsa mempunyai beberapa orang adik.

Encik Nair memberitahu Mediacorp melalui telefon pada Jumaat bahawa beliau difahamkan mangsa adalah penunggang penghantaran GrabFood.

Menurutnya, beliau telah mengunjungi datuk dan nenek mangsa pada hari Jumaat, dan telah menghubungi salah satu keluarga yang membantu mangsa.

"(Ini) sangat menyedihkan. Seorang anak muda maut", katanya.

Sumber : CNA/SS/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan