Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jewel lambang ketabahan S'pura kejar idea berani, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan Jewel Lapangan Terbang Changi sebagai simbol ketabahan negara ini untuk mengejar idea yang berani.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Oct 2019 08:47PM Dikemas Kini : 19 Oct 2019 12:25AM

SINGAPURA: Jewel Lapangan Terbang Changi sudah menjadi antara salah satu "ikon dikenali serta-merta" sejak ia dibuka kepada orang ramai beberapa bulan yang lalu, yang turut membantu untuk mengukuhkan lagi reputasi dan daya saing lapangan terbang tersebut, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (18 Okt).

Ia juga meningkatkan daya tarikan Lapangan Terbang Changi sebagai sebuah destinasi pelancong, menurut PM Lee, sambil menarik perhatian bahawa para pemimpin dunia turut memuji-muji kompleks bernilai S$1.7 bilion itu.

"Tahun lalu 65 juta pengunjung menggunakan Lapangan Terbang Changi, termasuk mereka yang melakukan persinggahan di sini," kata PM Lee.

"Saya yakin dengan Jewel, Lapangan Terbang Changi akan dapat memecahkan rekod pada tahun ini," kata PM Lee di perasmian Jewel hari ini.

Sambil menarik perhatian bahawa Jewel sudah menyambut lebih 50 juta pengunjung sejak April - apabila kompleks hiburan dan runcit seluas 135,700 meter persegi itu pertama kali dibuka kepada orang ramai - PM Lee menegaskan bahawa rakyat Singapura 'memang berhak' untuk berasa bangga terhadap kejayaan Jewel.

"Ia dekat di hati rakyat Singapura kerana ia mengingatkan kita tentang betapa pentingnya untuk bercita-cita tinggi dan berani melakukannya, tiada yang mustahil."

Lapangan Terbang Changi juga istimewa di hati rakyat Singapura, menurut PM Lee, yang menyifatkan pembangunan dan kemajuannya sebagai lambang perjalanan Singapura dari sebuah negara dunia ketiga kepada status dunia pertama.

"Siapa yang menduga apabila kita memutuskan untuk memindahkan lapangan terbang kita dari Paya Lebar ke Changi, ia akan menjadi lapangan terbang terbaik di dunia," kata PM Lee.

PM Lee turut berkongsi bahawa pada 2013 beliau perlu membuat keputusan sama ada untuk mendedahkan pelan bagi Jewel dan rancangan lain bagi Lapangan Terbang Changi dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada tahun tersebut.

Kumpulan-kumpulan fokus tidak begitu berminat terhadap idea tersebut, kata PM Lee, sambil menambah bahawa sesetengah pihak berpendapat bahawa menggulung ucapan berkenaan dengan pelan prasarana mungkin dianggap dingin dan kurang sentuhan peribadi.

PM Lee bagaimanapun memutuskan untuk mengumumkannya kerana beliau mahu rakyat Singapura menyedari bahawa Jewel dan Lapangan Terbang Changi bukan sekadar prasarana semata-mata.

"Sebaliknya ia menggambarkan satu idea, satu lambang penting. Kedua-duanya (Jewel dan Lapangan Terbang Changi) mencerminkan bagaimana kita di Singapura perlu berani mewujudkan sesuatu untuk diri kita sendiri," tegas PM Lee.

"Ia melambangkan keberanian dan kita sebagai rakyat Singapura perlu bersatu untuk menjadikannya satu realiti," tambah PM Lee, sambil menarik perhatian bahawa Jewel adalah satu-satunya perkara yang diingati rakyat Singapura daripada ucapannya pada tahun tersebut.

Sumber : CNA/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan