Images
  • jewel 1
    Jewel Lapangan Terbang Changi. (Gambar-Gambar: Jeremy Long, Gaya Chandramohan)

Jewel dijangka perkukuh kedudukan Changi sebagai lapangan terbang terbaik dunia

SINGAPURA: Jewel - projek terbaru Lapangan Terbang Changi yang dibangunkan sejak lima tahun lalu - kini dianggap sebagai permata lapangan terbang itu yang menampilkan sebuah hutan hujan serta 280 buah kedai dan air terjun buatan tertinggi di dunia. Daya tarikan itu semuanya ditempatkan di dalam bangunan berbentuk kubah kaca yang berkilauan.

Lapangan Terbang Changi bukan sahaja tempat untuk melakukan penerbangan, malah para pengunjung juga berpeluang untuk menonton wayang di sebuah pawagam yang dilengkapi dengan 11 skrin, serta membeli barangan jenama Pokemon di satu-satunya kedai Pokemon di luar Jepun.

Selain itu, para pengunjung juga akan dapat menyaksikan air terjun dalam kompleks berkenaan apabila Jewel membuka pintunya kepada orang ramai pada Rabu (17 Apr).

Kompleks setinggi 10 tingkat itu akan menempatkan lebih 280 kedai serta cawangan makanan dan minuman.


Kompleks yang menelan belanja S$1.7 bilion untuk dibina itu terletak di bekas tapak letak kereta terbuka di hadapan Terminal 1. Ia juga akan menghubungkan Terminal 1, 2 dan 3.

Pengarah Urusan Changi Airport Group (CAG) bagi pengurusan operasi lapangan terbang, Jayson Goh, memberitahu Mediacorp pada Khamis (11 Apr) bahawa Changi sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah "destinasi gaya hidup".


"Bagi penduduk tempatan yang mengunjungi Lapangan Terbang Changi pada hujung minggu, kami berharap Jewel dapat menawarkan lebih banyak pilihan dan memberikan mereka lebih banyak alasan untuk berkunjung ke lapangan terbang ini serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan di sini," kata Encik Goh.

CIRI PENTING LAPANG TERBANG CHANGI

Shukor Yusof, pengasas syarikat runding cara penerbangan Endau Analytics, berkata pelancaran Jewel akan mengukuhkan lagi kedudukan Changi sebagai "lapangan terbang terbaik di dunia".

"Jewel merupakan lanjutan kepada usaha berterusan Lapangan Terbang Changi bagi memastikan lapangan terbang itu bukan sahaja sekadar mengungguli ranking global, tetapi lebih penting lagi ia juga memikat lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Singapura.

"Ia menandakan fasa baru bagi Lapangan Terbang Changi, iaitu 'piéce de resistance' ataupun ciri penting lapangan terbang terbaik di dunia," tambah Encik Yusof.


Beliau berkata demikian sedang Lapangan Terbang Changi dinobat sebagai lapangan terbang terbaik di dunia buat tujuh tahun berturut-turut. Ia juga mendahului senarai itu dari segi kemudahan riadah, berdasarkan tinjuan global oleh Skytrax, sebuah syarikat kajian yang berpangkalan di London.

Ketua Penganalisis Pusat Penerbangan CAPA, Brendan Sobie, bagaimanapun berpendapat bahawa Jewel "bukan antara faktor" yang menentukan rating Changi. Namun, beliau akur bahawa Jewel membawa manfaat kepada CAG dari segi kewangan.

Encik Sobie berkata "pengalaman penerbangan dan transit adalah penting dan harus diambil kira" apabila menentukan rating lapangan terbang itu.

LEBIH BANYAK PRASARANA BAKAL DILANCARKAN

CAG mula memperluaskan Terminal 1 pada 2015, bersempena dengan kerja-kerja binaan bagi Jewel dan kerja-kerja peluasan lain yang dijangka selesai pada pertengahan 2019.

Para pelancong dan pengunjung boleh menjangkakan kaunter pendaftaran yang baru, sebuah zon automasi bagi mendaftarkan diri serta peningkatan pada dewan-dewan keberangkatan dan ketibaan, serta sistem pengurusan bagasi.

Dengan peluasan itu, lapangan terbang tersebut akan berupaya menguruskan lagi tiga juta penumpang setiap tahun (mppa) kepada 24 mppa, menurut CAG lagi.


Dengan Landasan 3 dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi yang bakal dilancarkan, Encik Yusof berkata usaha berterusan untuk membangunkan prasarana akan menjadi strategi pengendali lapangan terbang itu untuk terus berkembang.

CAG memberitahu Mediacorp bahawa kerja-kerja naik taraf di Terminal 2 akan bermula pada suku keempat 2019. Projek itu akan mengambil masa sehingga 15 tahun untuk dijalankan. Apabila siap kelak, ia akan berupaya menguruskan lagi lima juta penumpang kepada 28 juta.

Terminal 5 dijangka mula beroperasi sekitar 2030, dengan keupayaan menguruskan sehingga 50 mmpa semasa fasa awalnya. Dengan itu, Lapangan Terbang Changi berupaya menguruskan sekitar 140 mppa.

Pada 2018, Lapangan Terbang Changi menguruskan 65.6 juta penumpang berbanding 62.2 juta penumpang pada tahun sebelumnya.

- CNA/AI/ai

Top