Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jewel di Lapangan Terbang Changi siap ikut jadual pada 2019

Kerja-kerja menanam ceracak, menggali dan membina struktur bagi kelima-lima tingkat bawah dan atas tanah bagi kompleks Jewel di Lapangan Terbang Changi sudah selesai dengan pembangunan S$1.7 bilion itu dijangka dibuka pada 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Jewel di Lapangan Terbang Changi siap ikut jadual pada 2019

Jewel di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Olivia Song)

Diterbitkan : 24 Dec 2017 05:07PM Dikemas Kini : 24 Dec 2017 05:13PM

SINGAPURA: Kerja-kerja menanam ceracak, menggali dan membina struktur bagi kelima-lima tingkat bawah dan atas tanah bagi kompleks Jewel di Lapangan Terbang Changi sudah selesai dengan pembangunan S$1.7 bilion itu dijangka dibuka pada 2019.

Changi Airport Group (CAG) memberitahu Mediacorp bahawa sejauh ini, 65 peratus daripada kerja-kerja pembinaan Jewel sudahpun selesai.

Buat masa ini, antara kerja-kerja utama yang dijalankan termasuk pembinaan jejambat yang menghubungkan Jewel dengan Terminal 2 dan 3 serta pemasangan kaca dan keluli di bahagian luar Jewel.

Mulai suku pertama tahun depan, daya tarikan permainan seperti Jaring Langit, Gelungsur Discovery dan Kanopi Pagar akan dibina.

Pelbagai pokok, pakis dan tumbuh-tumbuhan yang bakal membentuk Lembah Hutan (Forest Valley) seluas 22,000 meter persegi akan dipindahkan ke komplex itu mulai suku kedua 2018 apabila bahagian luar dan sistem penyaman udara sudah siap dipasang.

"(Jewel) akan merubah pengalaman para penumpang. Ia akan menarik rakyat tempatan juga," kata Penolong Profesor, Terence Fan, seorang penganalisis pengangkutan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Ia dengan sendirinya adalah sebuah perubahan kerana kita biasanya melihat lapangan terbang sebagai hanya berkait dengan pelancongan, tetapi dengan Jewel sebagai destinasi beli-belah, kita sudah tentu akan mendapati rakyat tempatan pun mengunjungi tempat itu bukan sahaja untuk kegiatan yang berkaitan dengan penerbangan."

Dengan pembangunan Jewel, Terminal 1 Lapangan Terbang Changi juga sedang menjalani kerja-kerja lanjutan.

CAG menarik perhatian bahawa kerja-kerja pembangunan di situ sudah siap sekitar 60 peratus dengan dewan ketibaan dan pengambilan bagasi yang lebih luas serta tingkatan pada kawasan daftar masuk di dewan pelepasan.

Antaranya adalah kaunter daftar masuk manual yang akan digantikan dengan sistem automatik.

Peluasan itu akan membolehkan Terminal 1 menampung lagi 3 juta penumpang setiap tahun sekaligus meningkatkan jumlahnya kepada 24 juta orang menjelang 2019.

TERMINAL 4 TERIMA HAMPIR SEJUTA PENUMPANG

Kompleks Jewel merupakan projek besar seterusnya yang menyusul selepas pelancaran Terminal 4 pada 31 Oktober tahun ini.

Sejauh ini, hampir 900,000 penumpang sudah mengunjungi terminal tersebut yang menampilkan sistem-sistem imigresen dan penyerahan bagasi automatik.

Terminal yang paling kecil berbanding terminal yang lain itu dijangka menyambut seramai 16 juta penumpang setiap tahun.

Encik Abbas Ismail, pengurus kursus diploma pengurusan dan khidmat penerbangan di Politeknik Temasek berkata bahawa para perancang dapat menguji teknologi-teknologi baru di Terminal 4 agar dapat membantu dalam pembangunan Terminal 5 kelak.

"Sekiranya berjaya dilaksanakan di T4, Terminal 5 akan jauh berbeza berbanding terminal-terminal lain di seluruh dunia," kata Encik Abbas.

HARUS LEBIH DARIPADA HANYA TERMINAL BESAR UNTUK BERDAYA SAING

Terminal 5 yang dijangka siap hujung 2020-an, akan dapat menampung sekitar 50 ribu penumpang setiap tahun.

Malah, Terminal 5 akan menjadi antara terminal terbesar di dunia. Saiz Terminal 1,2 dan 3 jika digabungkan juga tidak dapat mencapai ukuran Terminal 5.

Namun, para penganalisis menarik perhatian bahawa ianya tidak cukup sekadar mempunyai terminal yang besar untuk berdaya saing.

"Persaingannya bukan hanya berdasarkan terminal-terminal yang besar, kita harus terus memastikan bahawa kita boleh menampung (penumpang yang banyak), menawarkan khidmat yang cekap (dan) memastikan kos ditetapkan pada kadar yang minimum bagi pengguna, terutama sekali bagi syarikat penerbangan. Bagi menarik syarikat-syarikat penerbangan yang mendatangkan penumpang, kita harus memastikan bahawa syarikat penerbangan menawarkan kos penerbangan yang rendah," tegas Encik Abbas.

Satu lagi cabaran adalah untuk mendapatkan tenaga manusia dan melatih mereka untuk mengendalikan lapangan terbang demikian.

Selain itu, pakar-pakar tidak menafikan bahawa kerja-kerja peluasan akan mengambil masa dan maklum bahawa Singapura harus terus memanfaatkan pasaran baru untuk kekal berdaya saing pada jangka pendek.

Ini termasuk pasaran Asia Utara dan China serta meneroka penerbangan jauh bajet untuk mengekalkan status Singapura sebagai hab penerbangan yang menjadi pilihan orang ramai. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan