Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jetstar setuju hentikan 'insurans automatik' bagi pelanggannya

Jetstar Asia Airways tidak lagi akan menyertakan insurans pelancongan secara automatik dalam pembelian para pelanggan dalam tempoh setahun, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (15 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar setuju hentikan 'insurans automatik' bagi pelanggannya

Pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 15 Nov 2018 02:58PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 03:04PM

SINGAPURA: Jetstar Asia Airways tidak lagi akan menyertakan insurans pelancongan secara automatik dalam pembelian para pelanggan dalam tempoh setahun, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (15 Nov).

Sebaliknya, pihak syarikat penerbangan itu akan mengambil pendekatan 'neutral' di mana para penumpang bebas untuk membuat pilihan. Pendekatan itu akan dilaksanakan mulai Oktober 2019.

Langkah itu diambil selepas CASE menggesa syarikat-syarikat penerbangan supaya menjadi lebih telus dalam proses tempahan dan harga tiket.

Menurut CASE, salah satu cabaran yang dihadapi para penumpang adalah insurans pelancongan sering disertakan dalam pembelian tanpa mereka sedari.

Namun, Jetstar sebelum ini enggan menukar sistemnya, sambil menyatakan bahawa "setiap item jelas dinyatakan sepanjang proses tempahan". CASE menyatakan bahawa itu "tidak dapat diterima".

Awal tahun ini, dua syarikat penerbangan, Singapore Airlines dan Scoot Tigerair, tidak lagi secara automatik menyertakan pembelian insurans di laman mereka. Sebaliknya, ia ditawarkan sebagai satu pilihan.

Perniagaan-perniagaan harus dengan jelas menyatakan semua maklumat berkaitan urus niaga perniagaan kepada pembeli, menurut CASE.

"Sebarang barangan atau khidmat, sama ada ia perlu dibayar atau percuma, hanya boleh disertakan dalam pembelian sekiranya pembeli bersetuju," tambahnya.

"Ini bermakna, penyertaan insurans pelancongan dalam pembelian tidak boleh dilakukan kerana pembeli mungkin tidak menyedari ia disertakan secara automatik."

Menurut CASE, para peniaga tidak dilarang daripada menyertakan barang atau khidmat lain dalam pembelian secara automatik dan menggunakan kotak yang sudah dibubuhkan dengan tanda merait sebagai cara meminta izin pelanggan.

Namun, ia "sangat menggalak semua perniagaan supaya beretika apabila menggunakan pemasaran bagi memastikan pelanggan tahu tentang barang dan khidmat yang dibeli".

Bagi para pelanggan pula, CASE menasihati mereka supaya kekal berwaspada ketika membeli-belah secara online dan memeriksa sekiranya ada pembelian khidmat tertentu yang disertakan secara automatik, sebelum membuat pembayaran.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan