Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jetstar Asia akan mula khidmat penerbangan transit melalui S'pura dari 6 bandar

Syarikat penerbangan tambang rendah Jetstar Asia akan mula mengendalikan penerbangan transit melalui Lapangan Terbang Changi mulai 1 Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Jetstar Asia akan mula khidmat penerbangan transit melalui S'pura dari 6 bandar

Gambar fail pesawat Jetstar dipetik pada Mei 2014 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Nov 2020 03:40PM Dikemas Kini : 20 Nov 2020 03:42PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang rendah Jetstar Asia akan mula mengendalikan penerbangan transit melalui Lapangan Terbang Changi mulai 1 Disember ini.

Jetstar merupakan syarikat penerbangan keempat yang melakukan demikian sedang Singapura membuka semula sempadannya secara bertahap-tahap.

Para penumpang dari Bangkok, Ho Chi Minh City, Jakarta, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Phnom Penh boleh melakukan persinggahan di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke sembilan destinasi lain yang ditawarkan syarikat itu jika tempoh sambungan penerbangan adalah dalam masa 48 jam, menurut JetStar Asia pada Jumaat (20 Nov).

Sejak 2 Jun, para pelawat sudah dibenarkan untuk melakukan transit di Lapangan Terbang Changi dengan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan COVID-19.

Penerbangan transit sejauh ini sudah disambung semula oleh tiga syarikat penerbangan di bawah Singapore Airlines Group - SIA, SilkAir dan Scoot.

Para penumpang yang melakukan transit perlu menempah perjalanan lengkap menerusi satu tempahan dan mesti menyemak dengan pihak berkuasa berkenaan sama ada mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan ke negara destinasi mereka, menurut Jetstar Asia dalam kenyataan medianya.

Semasa mendaftar masuk, para penumpang akan menerima gelang tangan yang mesti dipakai sepanjang penerbangan bagi membolehkan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan mengenal pasti mereka.

Dalam pesawat, mereka akan duduk di bahagian depan dan akan turun dahulu.

Setibanya mereka di Singapura, kakitangan lapangan terbang akan bertemu para penumpang transit dan membawa mereka ke ruang menunggu atau hotel.

Mereka yang mempunyai tempoh persinggahan singkat akan dibawa terus ke dewan pelepasan.

Apabila penerbangan seterusnya sudah boleh dinaiki, para penumpang akan dibawa ke pintu masuk dan ke zon yang ditetapkan untuk mereka. Mereka akan menaiki pesawat selepas semua penumpang lain.

Langkah-langkah ini tidak dikenakan ke atas para penumpang transit dari VIetnam memandangkan Singapura sudah menarik balik sekatan sempadan bagi pengunjung dari negara itu, menurut Jetstar.

Semua penumpang yang tiba di Singapura mesti memakai pelitup setiap masa dan menjaga jarak selamat.

Syarikat penerbangan Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura dan dimiliki oleh Qantas Australia, menggantung khidmat penerbangannya pada bulan Mac sebelum menyambung khidmat-khidmat antara Singapura dengan Bangkok, Kuala Lumpur dan Manila pada April.

Ia memperkenalkan semula khidmatnya ke Clark di Filipina, Ho Chi Minh City, Jakarta, Medan dan Pulau Pinang dalam bulan Ogos.

Pada Jun, syarikat penerbangan itu mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan sehingga 180 jawatan pekerjaan - kira-kira 26 peratus daripada tenaga kerjanya - dan melanjutkan cuti tanpa gaji kepada kebanyakan kakitangannya sehingga bulan Disember sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan COVID-19.

Keputusan untuk memperkenalkan semula penerbangan transit menerusi Singapura itu adalah langkah positif bagi pemulihan syarikat tersebut, menurut CEO Jetstar Asia Bara Pasupathi pada Jumaat.

"Sebelum COVID, penerbangan persinggahan dan pemindahan penumpang membentuk sehingga sepertiga jumlah penumpang Lapangan Terbang Changi dan ramai daripada penumpang itu menaiki penerbangan Jetstar Asia," kata Encik Pasupathi.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu sudah bekerjasama dengan Lapangan Terbang Changi untuk "memastikan pengalaman persinggahan yang lancar dan selamat" untuk para penumpang. Ia juga memperkenalkan langkah-langkah tambahan demi memberikan "lebih ketenangan fikiran".

"Khidmat tambang rendah kami memainkan peranan penting dalam membantu para penumpang kami berjumpa semula anggota keluarga, membolehkan mereka kembali bekerja dan melakukan penerbangan penting yang lain," ujar Encik Pasupathi.

"Ia juga membantu untuk mempertingkat masyarakat dan ekonomi di destinasi-destinasi dalam rangkaian khidmat kami dan ini bermakna lebih ramai kakitangan kami dapat kembali bekerja. Ini juga satu berita baik."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan