Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jerih payah hidup susah tidak patahkan semangat Farah Abdul Malik kecapi ijazah Cum Laude

Menjadi pelajar cemerlang bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi bagi siswazah baru dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang ditemui BERITAmediacorp baru-baru ini, ada sahaja halangan yang menimpanya. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjadi pelajar cemerlang bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi bagi siswazah baru dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang ditemui BERITAmediacorp baru-baru ini, ada sahaja halangan yang menimpanya. Hanya berbekalkan azam yang kuat dan sokongan keluarga, beliau berjaya menempuhi segala cabaran yang ada.

Menariknya, pengalaman yang dilalui turut mendorongnya untuk membantu masyarakat setempat dengan cara tersendiri.

Berikut kisah inspirasi beliau.

(Gambar: SMU)

FARAH ABDUL MALIK: RAIH IJAZAH CUM LAUDE SMU 

Liku-liku kehidupan tidak sesekali mematahkan semangat gadis berusia 24 tahun bernama Farah Abdul Malik ini.

Beliau melihat sendiri bagaimana keluarganya berdepan dengan kemelut kewangan selepas bapanya dibuang kerja dan perniagaan ibunya pula gulung tikar. Semasa di Menengah 2, rumahnya terpaksa dijual dan dia sekeluarga perlu hidup menumpang - bukan buat sementara waktu, tetapi selama empat tahun lamanya.

10 tahun kemudian, bukan sahaja Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Psikologi) berada dalam genggaman Farah. Bahkan, beliau diiktiraf dengan pencapaian Cum Laude (Kepujian) dari SMU kerana secara konsisten mencatat prestasi baik dalam hampir semua modul yang didudukinya.

Pengiktirafan Cum Laude hanya diberikan kepada para mahasiswa yang meraih nilai purata gred sekurang-kurangnya 3.4 mata dalam sistem gred 4.0 SMU.

INGIN TIUP INSPIRASI KEPADA REMAJA LAIN

Masih jelas dalam ingatan anak bongsu dua beradik ini tentang kesusahan yang dialaminya sehingga pada satu ketika, beliau memutuskan untuk tidak membeli buku yang diperlukan kerana takut ia menjadi beban kepada ibu bapanya.

"Hanya saya seorang dalam kelas yang tidak membeli buku Ten Year Series (TYS) berharga S$8 itu," cerita Farah mengimbas kembali masa-masa sukar kehidupannya ketika masih di Sekolah Perempuan Tanjong Katong.

Namun, dari situlah gadis bertubuh kecil ini mula bangkit dan bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam pelajarannya.

Farah tersentuh apabila guru sekolahnya, Cik Liew Chor Leng memberi buku TYS kepadanya selepas beliau berkongsi tentang masalah yang dihadapi.

"Beliau memberi kata-kata motivasi yang tidak akan saya lupakan. Cik Liew memberitahu saya masalah orang dewasa hanya untuk orang dewasa dan apa yang perlu saya lakukan adalah menjadi seorang pelajar terbaik," ujar Farah.

Pada saat itu, Farah menyedari dirinya perlu menumpukan perhatian kepada kejayaan agar dapat membantu keluarga.

Sepanjang menuntut di sekolah menengah dan maktab rendah, Farah malah perlu mengharungi perjalanan jauh ulang-alik ke sekolah kerana menumpang di rumah mak ciknya yang terletak di Yishun.

"Perjalanan sahaja memakan masa 1 jam 40 minit."

Semua halangan ditempuhinya dengan tabah - dari mendapatkan buku-buku sekolah yang sudah dipakai oleh pelajar lain di sekolah, sehinggalah bertungkus-lumus mencari cara untuk belajar tanpa sebarang tuisyen.

Disebabkan ketekunannya, Farah muncul sebagai antara pelajar terbaik di sekolah menengah dengan meraih 8 gred A dalam peperiksaan GCE 'O', lalu melangkah ke Maktab Rendah Victoria.

"Saya tidak segan untuk berkongsi kisah hidup saya. Saya ingin orang tahu, kesusahan tidak boleh dijadikan sebagai hambatan untuk berjaya," kata Farah.

BUKAN CEMERLANG DALAM PELAJARAN SAJA, JUGA HEBAT DALAM SUKAN, AKTIVITI BELIA

Dalam kesibukan sehariannya, Farah kekal aktif sebagai seorang belia. Beliau rajin mengikuti latihan sukan bola lisut dan pernah menjadi atlit pasukan negara.

"Saya menjadikan sukan sebagai satu cara untuk melupakan semua masalah saya. Mendiang jurulatih saya, Josephine Lim juga selalu memastikan saya menjadi lebih yakin diri dalam dan luar bidang sukan," tambah Farah.

Dek pelibatannya yang aktif sebagai seorang belia, Farah dipilih untuk mengikuti Program Belia Asia Tenggara dan Jepun bersama Majlis Belia Kebangsaan (NYC) pada 2016. Beliau antara belia yang mewakili Singapura untuk mengikuti pelayaran selama 52 hari bagi menyelami budaya di rantau ini.

Bagai tidak mengenal erti lelah, pengalaman hidupnya pula mendorong beliau untuk membantu belia-belia lain. Bersama abangnya yang kini merupakan lulusan sarjana Universiti Teknologi Nanyang, mereka bersama-sama menubuhkan perusahaan sosial dipanggil Sky High Educators. Beliau mendapatkan khidmat para mahasiswa untuk menawarkan tuisyen pada kos yang lebih dimampui.

Buat masa ini, sekitar 300 belia terdaftar di bawah daya usahanya itu. Tidak hanya menyediakan khidmat tuisyen, Sky High Educators juga memperluaskan khidmatnya dengan mengadakan program di beberapa tempat yang mana para belia membantu pelajar-pelajar untuk menyelesaikan kerja rumah mereka.

INGIN KEJAR IMPIAN DALAM BIDANG YANG DIMINATI

Farah masih lagi menuntut di SMU untuk mendapatkan Ijazah Sarjana pula. Pencapaian akademiknya sejauh ini memuaskan. Malah, jika Farah mengekalkan prestasinya, beliau akan meraih Ijazah Sarjana dengan Kepujian Tinggi (Magna Cum Laude) pada tahun depan.

"Selepas lulus nanti, saya ingin menceburi bidang wawasan pelanggan (consumer insights) kerana saya memang minat tentang psikologi di sebalik pilihan para pelanggan," kongsi Farah.

Gadis itu juga mengikuti pengajian dalam bidang pemasaran kerana begitu tertarik dengan pelajaran yang diraih selepas mengikuti latihan amali dengan Universal Studios Singapore.

"Semua pencapaian saya berkat sokongan dan dorongan semua di sekitar saya - terutama sekali ibu bapa, abang dan mak cik saya."  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan